Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-361: STATUS KISAH HAMIL PEREMPUAN MANDUL DI ZAMAN NABI MUSA AS

 

ih361_15291523.png

 

 

Soalan: Apakah status kisah ini berkaitan mukjizat doa dan kelebihan mengucapkan perkataan “Ya al-Rahim.”?      

Seorang wanita telah datang kepada Nabi Musa. Wanita itu berkata: “Doalah kepada Tuhanmu agar mengurniakan kepadaku seorang zuriat.” Lalu Nabi Musa meminta kepada Allah akan hal itu. Allah menjawab: “Wahai Musa! Aku telah menetapkannya sebagai seorang wanita yang mandul.” Nabi Musa menyampaikan hal itu kepada wanita tersebut. Selepas beberapa waktu berlalu, Nabi Musa mendapati wanita itu mengendong seorang anak kecil. Nabi Musa bertanya: “Siapakah anak yang bersama dengan kamu itu?.” Wanita itu menjawab: “Ini adalah anakku yang mana Allah telah mengurniakannya kepadaku.” Kemudian Nabi Musa bertanya kepada Allah: “Bukankah Engkau telah tetapkan wanita itu sebagai seorang yang mandul?.” Allah menjawab: “Wahai Musa! setiap kali kutentukan dia adalah seorang yang mandul, dia akan berkata (berdoa): “Wahai al-Rahim (Yang Maha Penyayang)! Setiap kali Kamu tetapkan kepadaku sebagai seorang yang mandul, Wahai Zat Yang Maha Penyayang. Dengan itu, kasih sayang-Ku melebihi daripada ketentuan-Ku.”

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan kepada sang Penciptanya dalam setiap keadaan dan masa. Justeru itu, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian kita. Allah SWT juga menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

 

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

al-Ghafir:60

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

 

Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf di antara orang islam. [Lihat: Tafsir Ibn ‘Asyur, 183/24]

Berdasarkan kepada kisah di atas, kami sama sekali tidak menemui asalnya dan begitu juga kami tidak mendapatkan kisah ini daripada kitab-kitab yang muktabar. Justeru itu, kami cenderung kepada ketidaksahihan kisah ini dan kita tidak boleh sama sekali menisbahkannya kepada Nabi Musa AS.

 

Penutup

Kesimpulannya, kisah tersebut adalah tidak sahih kerana tidak diketahui sumbernya. Tambahan pula, doa merupakan senjata buat orang beriman dan doa sememangnya boleh mengubah taqdir sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith. Akhirnya, semoga Allah SWT menggolongkan kita daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang doanya dimustajabkan. Amin.

 

Wallahu’alam