Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

IH 399 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Betulkah kalau orang yang baring semasa azan mayatnya nanti berat. Mohon pencerahan ustaz. Terima kasih ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Azan adalah antara syiar Islam yang agung yang tidak boleh diabaikan oleh umat Islam. Ianya dilaungkan pada setiap kali solat fardu. Kalimah-kalimah yang terdapat di dalam azan adalah kalimah-kalimah yang mengajak umat Islam supaya menghahayati tauhid. Menyeru umat agar segera menunaikan solat dan mengajak agar bersama-sama menuju kejayaan di dunia dan di akhirat.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, memang terdapat sebuah hadis yang menyebut supaya bangun ketika mendengar laungan azan. Hadis tersebut berbunyi :

إذا سَمِعْتُمُ النِّداءَ فَقُومُوا فإِنَّها عَزْمَةٌ مِنَ الله

Maksudnya :” Jika kalian mendengar seruan azan maka bangunlah. Ia adalah hak dan kefarduan daripada Allah.”

Hadis ini dinukilkan oleh Abu Nua’im Al-Asbahani di dalam Hilyah Al-Awliya’ Wa Tabaqat Al-Asfiya’ (2/174) dan Al-Dailami di dalam Al-Firdaus Bi Ma’thur Al-Khitab (2/266). Abu Nua’im berkata :

Muhammad Bin Muammar menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Ahmad Bin Ya’kub menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Al-Walid Bin Salamah menceritakan kepada kami daripada Yunus Bin Yazid daripada Ibnu Syihab Al-Zuhri daripada Sa’id Bin Musyyab daripada Uthman Bin Affan…”

Berikut adalah perincian perawi-perawi yang meriwayatkan hadis ini :

  1. Muhammad Bin Muammar Bin Muhammad Bin Abdullah Al-Sami. Beliau meriwayatkan hadis daripada Yahya Bin Hafs Al-Kufi dan Muhammad Bin Makhlad. Al-Khatib pernah menyebut berkenaan beliau akan tetapi tidak pula dinyatakan kritikan mahupun pujian. Beliau meninggal dunia pada tahun 350H. (Rujuk Akhbar Asbahan, 2/284 ; Tarikh Baghdad, 3/304)
  2. Ahmad Bin Ya’qub adalah seorang perawi yang berasal daripada Turmuz. Al-Hafiz Al-Iraqi menukilkan kenyataan Al-Daruqutni bahawa beliau ada seorang perawi yang lemah. (Rujuk Zayl ‘ala Mizan Al-‘Itidal hlm 79).
  3. Al-Walid Bin Salamah meriwayatkan hadis daripada Umar Bin Qays dan lain-lain lagi. Ibnu Abi Hatim menyatakan bahawa hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau hilang. Bahkan Ibnu Abi Hatim dan Al-Hafz Ibnu Hajar Al-Asqalani menyatakan bahawa beliau adalah seorang pendusta. ( Rujuk Al-Jarh Wa Al-Ta’dil, 9/6 ; Lisan Al-Mizan, 6/222)
  4. Yunus Bin Yazid Bin Abi Al-Najjad Al-Aili. Beliau merupakan seorang perawi yang thiqah namun riwayat-riwayat hadis yang beliau ambil daripada Al-Zuhri kebanyakannya beliau ada melakukan sedikit kesilapan. Jika beliau riwayat selain daripada Al-Zuhri maka kesilapan beliau lebih banyak. Beliau wafat pada tahun 100 H. (Rujuk Tahzib Al-Tahzib, 11/450).

Secara ringkasnya kami cenderung mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang palsu kerana di dalam sanad hadis ini terdapat seorang perawi yang bernama Al-Walid Bin Salamah. Beliau dihukum sebagai pendusta oleh kebanyakan ulama yang pakar di dalam ilmu ‘ilal dan Jarh Al-Ta’dil.

Bahkan hadis-hadis yang mengatakan bahawa sesiapa yang berbaring ketika azan atau ketika mendengar azan maka mayatnya akan menjadi berat adalah hadis-hadis yang palsu. Perkara ini telah dinyatakan oleh Sheikh Ali Al-Halabi ketika beliau diajukan soalan berkenaan hadis-hadis yang menyebut tentang hadis-hadis yang melarang baring ketika mendengar laungan azan.

Walaupun tidak salah berbaring ketika mendengar azan jangan kita menjadi lalai untuk menjawab azan yang dilaungkan. Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda :

إِذَا سَمِعْتُمُ النِّدَاءَ فَقُولُوا مِثْلَ ما يَقُولُ الْمُؤَذِّنُ

Maksudnya :” Jika kalian mendengar seruan azan maka katakanlah seperti mana yang dikatakan oleh tukang azan.

Riwayat Al-Bukhari (611)

Lebih daripada itu, apabila mendengar seruan azan maka buatlah persiapan untuk segera menuju ke masjid atau surau yang berdekatab bagi menunaikan solat secara berjemaah. Banyak kelebihannya. Di antaranya apa yang pernah disebutkan oleh Nabi SAW di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah. Baginda bersabda:

مَنْ تَطَهَّرَ فِى بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِىَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً

Maksudnya :”Sesiapa yang bersuci di rumahnya (berwuduk dan sebagainya) kemudian dia berjalan menuju ke mana-mana rumah Allah (masjid atau surau) untuk menunaikan kefarduan yang telah diwajibkan oleh Allah maka salah satu langkahnya akan menghapuskan dosa dan langkah yang lain akan menaikkan darjatnya.”

Riwayat Muslim (1553)

Semoga Allah memberikan kita taufiq dan hidayah untuk mengamalkan Islam di dalam segenap kehidupan kita. Wallahu’alam.