Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

 

ih453_15291523.png

 

Soalan: Apakah maksud hadith tidaklah berzina atu meminum arak seseorang itudalam keadaan dia beriman?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, hadith yang dimaksudkan merupakan hadith yang sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Syakhain iaitu Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam ktab sahih mereka:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

لَا يَزْنِي الزَّانِي حِينَ يَزْنِي وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَسْرِقُ حِينَ يَسْرِقُ وَهُوَ مُؤْمِنٌ، وَلَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ حِينَ يَشْرَبُهَا وَهُوَ مُؤْمِنٌ

Maksudnya: “Tidaklah seorang pengzina itu berzina sedangkan dia dalam keadaan dia beriman. Tidaklah seorang pencuri itu mencuri sedangkan dia dalam keadaan dia beriman dan tidaklah seorang peminum arak itu meminum arak dalam keadaan dia beriman.” [Riwayat al-Bukhari (5578) dan Muslim (100)]

 

Imam al-Baihaqi ada memuatkan hadith ini di dalam kitabnya Syu’ab al-Iman yang membicarakan berkaitan cabang-cabang iman. Ini kerana, hadith ini menceritakan sebahagian daripada cabang-cabang iman sepertimana yang Nabi SAW sifatkan iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabangnya.

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

 

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

Maksudnya: Iman itu mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling afdhalnya ialah ucapan “لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ” dan yang paling rendahnya adalah membuang apa yang menyakitkan dari jalan. Dan malu itu sebahagian daripada iman. [Riwayat Muslim (162)]

 

Hadith ini bermaksud sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi bahawa para ulama berselisih pendapat dalam memahami makna hadith ini. Akan tetapi, pendapat yang tepat di sisi ahli tahqiq adalah seseorang itu tidak akan melakukan maksiat dalam keadaan imamnya sempurna. Untuk itu, maksud penafian di dalam hadith ini adalah menafikan kesempurnaan sebagaimana yang disebutkan “Tidak ada ilmu melainkan yang bermanfaat dan tidak ada kehidupan melainkan kehidupan akhirat.”

Tambahan pula, ijma’ para ulama bahawa pengzina, pencuri, pembunuh dan selain daripada mereka adalah termasuk di dalam perbuatan dosa besar selain dari syirik yang tidak menyebabkan mereka kufur (terkeluar daripada agama) dengan sebab melakukannya, bahkan ia menunjukkan akan kelemahan iman. Sekiranya mereka bertaubat, maka akan gugurlah hukuman ke atas mereka. Namun, sekiranya mereka terus kekal melakukan dosa-dosa besar tersebut, maka terserah kepada kehendak Allah untuk mengampunkan mereka lalu dimasukkan ke dalam syurga atau mengazab mereka terlebih dahulu sebelum memasukkan mereka ke dalam syurga. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 41-42/2]

Selain itu, hadith ini melarang keras orang yang melakukan dosa besar dan menakutkan mereka akan balasan yang akan dikenakan disebabkan perbuatan tersebut serta ancaman akan hilangnya iman daripadanya ketika mereka melakukan perbuatan tersebut. Ini kerana, perbuatan tersebut akan melemahkan imannya kerana iman akan terus menjadi lemah dan berkurang disebabkan oleh maksiat yang dilakukan sehingga dikhuatiri pelakunya akan terjatuh ke dalam kekufuran. [Lihat: Fath al-Mun’im, 1/212]

 

Penutup

Kesimpulannya, melakukan dosa-dosa besar tidaklah menyebabkan terbatalnya atau terkeluarnya seseorang itu daripada agama Islam melainkan perbuatan syirik kepada Allah SWT. Tambahan pula, penafian di dalam hadith di atas bermaksud penafian dari sudut kesempurnaan iman seseorang yang melakukan dosa atau maksiat. Hal ini disebabkan iman akan bertambah dengan ketaatan dan akan berkurang dengan maksiat atau dosa yang dilakukan sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama. Untuk itu, kita ditunut untuk sentiasa memelihara diri kita daripada melakukan dosa-dosa atau maksiat kepada Allah agar keimanan yang ada di dalam diri kita merupakan keimanan yang sempurna. Akhirnya, semoga Allah SWT menetapkan hati, lidah dan perbuatan kita di atas keimanan serta ketaatan kepada-Nya semata-mata. Amin.

 

Wallahua’lam