Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 555 : ANAK YANG MELIHAT KEDUA IBU BAPA DENGAN PANDANGAN KASIH SAYANG AKAN MENDAPAT PAHALA HAJI MABRUR

ih555

Soalan:

Assalamualaikum.Saya ada satu persoalan. Saya pernah dengar satu hadis yang menyebut bahawa anak yang baik yang melihat kepada kedua ibu bapanya dengan penuh rahmat dan kasih sayang, dia akan mendapat pahala haji mabrur setiap kali memandang ibu bapanya. Adakah ada hadis ini ?Mohon pencerahan. Terima kasih.

Ringkasan jawapan:

Hadis tersebut diriwayatkan di dalam al-Mu’jam fī Asāmī Shuyūkh Abī Bakr al-Isma’ilī oleh Ahmad bin Ibrahīm al-Isma’ilī  (m. 371 H) dan Imam al-Baihaqī (m. 458 H) di dalam Syu’ab al-Imān melalui dua jalur riwayat iaitu riwayat ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas dan riwayat al-Ḍaḥḥāk daripada Ibn ‘Abbas.

Jalur riwayat ’Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas ialah jalur yang lemah kerana terdapat dua orang perawi yang sering dikritik oleh ulama hadis. Pertama ialah Muhammad bin Humaid al-Rāzī yang dikritik oleh Imam al-Bukhari. Beliau sering melakukan kesilapan dalam periwayatan khususnya jika beliau meriwayatkan hadis daripada ulama negerinya, Ray. Kedua ialah Zāfir bin Sulaiman al-Quhustānī yang dikritik halafannya khususnya ketika berada di Ray. Jalur riwayat al-Ḍaḥḥāk daripada Ibn ‘Abbās pula ialah jalur yang terlalu lemah kerana terdapat perawi yang dikritik iaitu Nahshal bin Sa’īd. Beliau perawi yang (ditinggalkan periwayatannya) bahkan Ishak bin Rahawayh menilai beliau sebagai pendusta. Selain itu, terdapat perawi majhul yang tidak dapat dikenal pasti peribadinya melalui kitab-kitab al-Rijāl. Walaupun riwayat ini dianggap sebagai mutaba’āt (riwayat sokongan) kepada jalur riwayat ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas namun riwayat ini tidak dapat menaik taraf jalur tersebut begitu juga sebaliknya.

Walaupun hadis ini disifatkan terlalu lemah, bukan bermakna menafikan kelebihan berbuat baik kepada kedua ibu bapa seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dan kebanyakan hadis-hadis yang sahih.

Huraian jawapan:

Hadis tersebut terdapat dalam beberapa kitab hadis antaranya di dalam al-Mu’jam fī Asāmī Shuyūkh Abī Bakr al-Isma’ilī oleh Ahmad bin Ibrahīm al-Isma’ilī  (m. 371 H)[1]. Beliau menukilkan sanad dan matan seperti berikut:

حَدَّثَنَا أَبُو جَعْفَرٍ أَحْمَدُ بْنُ الْحُسَيْنِ الْحَذَّاءُ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ حُمَيْدٍ، حَدَّثَنَا زَافِرُ بْنُ سُلَيْمَانَ حَدَّثَنَا الْمُسْتَلِمُ بْنُ سَعِيدٍ عَنِ الْحَكَمِ بْنِ أَبَانَ، عَنْ عِكْرِمَةَ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ‌مَا ‌مِنْ ‌وَلَدٍ ‌بَارٍّ ‌يَنْظُرُ ‌إِلَى ‌وَالِدَيْهِ ‌نَظْرَةَ رَحْمَةٍ؛ إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِكُلِّ نَظْرَةٍ حَجَّةً مَبْرُورَةً. قَالُوا: وَإِنْ نَظَرَ كُلَّ يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ؟ قَالَ: نَعَمْ اللَّهُ أَكْثَرُ وَأَطْيَبُ

Maksudnya : “Abū Ja’far Ahmad bin al-Husain al-Hazzā’ telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : Muhammad bin Humaid telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Zāfir bin Sulaimān telah menceritakan kepada kami, beliau berkata : al-Mustalim bin Sa’īd telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada al-Hakam bin Abān daripada Ikrimah daripada Ibn ‘Abbās bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada anak yang baik yang melihat kepada kedua ibu bapanya dengan pandangan kasih saying melainkan Allah akan tuliskan untuknya pahala haji mabrur bagi setiap pandangan. Para sahabat bertanya: Walaupun dia melihat setiap hari seratus kali? Baginda menjawab:Ya. Ganjaran Allah lebih banyak dan lebih elok.“

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqī (m. 458 H) di dalam Syu’ab al-Imān[2]. Beliau menukilkan dua sanad yang berbeza. Sanad yang pertama beliau menukilkan sanad yang sama seperti yang dinukilkan oleh Abu Bakar al-Isma’ilī iaitu melalui jalur Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas. Sanad yang kedua pula melalui jalur al-Ḍaḥḥāk daripada Ibn ‘Abbas yang menjadi mutāba’āt (riwayat sokongan) kepada jalur Ikrimah. Al-Baihaqī menukilkan sanad tersebut seperti berikut:

 ‌أخبرنا ‌أبو ‌عبد ‌الله ‌الحافظ ‌في ‌التاريخ أنا محمد بن حامد حدثني مكي بن عبدان نا الحسن بن هارون نا منصور بن جعفر نا نهشل بن سعيد عن الضحاك عن ابن عباس قال: قال رسول الله صلّى الله عليه وسلّم...

Maksudnya: “Al-Hafiz Abu Abdullah telah memberitahu kepada kami dalam kitab beliau al-Tarikh[3], beliau berkata : Muhammad bin Hāmid telah memberitahu kepada kami, beliau berkata: Makkī bi ‘Abdān telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: al-Hasan bin Hārūn telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Manṣūr bin Ja’far telah menceritakan kepada kami, beliau berkata: Nahsyal bin Sa’īd telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada al-Ḍaḥḥāk daripada Ibn ‘Abbās, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda…”[4]

Jika diteliti hadis ini diriwayatkan melalui dua jalur sanad daripada Ibn ‘Abbas RA. Pertama ialah jalur ‘Ikrimah daripada Ibn ‘Abbas dan kedua ialah jalur al-Ḍaḥḥāk daripada Ibn ‘Abbās. Rajah berikut menjelaskan perkara tersebut.

 

sanad anak yang baik melihat kepada ibu dapat pahala haji

Analisis sanad

Justeru sanad hadis ini perlu dianalisis bagi menentukan keabsahan riwayatnya. Pada asasnya hadis ini diriwayatkan melalui jalur ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbās. Kemudian jalur riwayat tersebut disokong (mutāba’āt) oleh jalur al-Ḍaḥḥāk daripada Ibnu ‘Abbās.

1. Jalur riwayat ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbās

  • Abu Ja’far Ahmad bin al-Husain bin Naṣr al-Hazzā‘ (m. 299 H) ialah seorang perawi thiqah (yang dipercayai kredibilitinya). Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Daraqutnī seperti yang dinukilkan oleh Abu al-Qāsim Hamzah al-Sahmī (m. 427 H).[5] Abu al-Fidā Ibn Quṭlūbaghā (m. 879 H) turut menyenaraikan beliau sebagai perawi yang thiqah.[6]
  • Muhammad bin Humaid al-Rāzī Abu Abdullah (m. 248 H) ialah seorang perawi yang dikritik kredibilitinya oleh ulama hadis. Antara yang mempertikaikan kredibiliti beliau ialah Imam al-Bukhari (m. 256 H).[7] Abu Zur’ah (m. 264 H) pernah meriwayatkan banyak hadis daripada beliau kemudian meninggalkan riwayat tersebut.[8] Secara tidak langsung, apa yang dilakukan oleh Abu Zur’ah ialah satu isyarat kritikan terhadap riwayat Muhammad bin Humaid. Ibn Hibban menyebut beliau antara perawi yang banyak meriwayatkan hadis-hadis Maqlub (yang tertukar sanad dan matan) daripada perawi yang thiqah secara bersendirian. Beliau menggariskan satu kaedah daripada Ibn Warah[9] berkenaan cara berinteraksi dengan riwayat Muhammad bin Humaid al-Rāzī :

إذا حدث عن العراقيين يأتي بأشياء مستقيمة، وإذا حدث عن أهل بلده مثل إبراهيم بن المختار وغيره أتى بأشياء لا تعرف

Maksudnya:“ Jika beliau meriwayatkan daripada ulama hadis Iraq, maka apa yang beliau riwayatkan ialah hadis yang sahih. Akan tetapi jika beliau riwayatkan daripada ulama di negerinya (Ray) seperti Ibrahim bin al-Mukhtār dan lain-lain, sebenarnya beliau meriwayatkan hadis-hadis yang tidak diketahui.“[10] Dalam riwayat ini, beliau meriwayatkan daripada Zāfir bin Sulaiman yang berasal daripada Ray. Imam al-Zahabi menilai beliau sebagai seorang perawi yang lemah. Ya’qub bin Shaibah mengatakan bahawa Muhammad bin Humaid al-Rāzī banyak melakukan kesalahan dalam periwayatan.[11]

  • Zāfir bin Sulaiman Abu Sulaiman al-Quhustānī al-Iyadī ialah seorang perawi yang Saduq namun begitu beliau juga dikritik dari sudut hafalannya khususnya ketika beliau berada di Ray. Perkara ini dinyatakan oleh Zakariya bin Yahya al-Sājī (m. 307 H).[12] Imam al-Nasaie (m. 302 H) turut menyatakan bahawa Zāfir banyak melakukan kesalahan dan kekeliruan dalam periwayatan hadis.[13] Ibn ‘Adī menyatakan :

‌وكان ‌أحاديثه ‌مقلوبة ‌الإسناد ‌مقلوبة ‌المتن ‌وعامة ‌ما ‌يرويه، ‌لَا ‌يُتَابَعُ ‌عَليه ويكتب حديثه مع ضعفه

Maksudnya:“ Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh beliau tertukar (maqlub) sanad dan matan. Secara umum, apa yang diriwayatkan oleh beliau tidak boleh disokong, hadisnya boleh diriwayatkan akan tetapi pada masa yang sama hadis itu ialah hadis lemah.“[14]

  • Mustalim bin Sa’īd al-Wasiṭī al-Thaqafī ialah seorang perawi yang thiqah. Harb bin Ismail al-Karmānī (m. 280 H) pernah bertanya kepada Imam Ahmad bin Hanbal tentang Mustalim, Imam Ahmad menjawab :

شيخ ثقة من اهل واسط قليل الحديث

Maksudnya: Seorang pakar yang thiqah daripada negeri Wasit(kawasan di Iraq dan berdekatan dengan Iran). Beliau antara yang sedikit meriwayatkan hadis.“[15] Beliau turut dinilai thiqah oleh Imam Yahya bin Ma’in, Yahya bin Sa’īd al-Qaṭṭān dan Imam Abu Daud.[16]

  • Al-Hakam bin Abān al-‘Adnī (m. 254 H) ialah seorang perawi thiqah seperti yang dinukilkan oleh al-‘Ijlī.[17] Yahya bin Ma’in, Abu Zur’ah dan kebanyakan ulama hadis menilai beliau sebagai perawi yang thiqah.[18]

Justeru, jalur riwayat ’Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas ialah jalur yang lemah kerana terdapat dua orang perawi yang sering dikritik oleh ulama hadis. Pertama ialah Muhammad bin Humaid al-Rāzī yang dikritik oleh Imam al-Bukhari. Beliau sering melakukan kesilapan dalam periwayatan khususnya jika beliau meriwayatkan hadis daripada ulama negerinya, Ray. Kedua ialah Zāfir bin Sulaiman al-Quhustānī yang dikritik halafannya khususnya ketika berada di Ray.

2.Jalur al-Ḍaḥḥāk daripada Ibnu ‘Abbās

  • Muhammad bin Muhammad bin Hāmid Abu Naṣr (m.346 H). Beliu seorang perawi yang thiqah.[19]
  • Makkī bin ‘Abdān bin Muhammad bin Bakr bin Muslim Abū Hātim al-Nisabūrī (m. 325 H). Beliau pernah meriwayatkan daripada Abdullah bi Hāshim al-Ṭusī dan Muhammad bin Yahya al-Zuhlī.[20] Beliau seorang perawi yang thiqah (yang dipercayai kredibilitinya) seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Zahabī (m. 748 H).[21]
  • Al-Hasan bin Hārun yang terdapat dalam sanad ini tidak dapat dikenal pasti peribadinya.
  • Manṣūr bin Ja’far al-Sulamī al-Nisabūrī ialah ayah kepada seorang perawi thiqah terkenal iaitu al-Husain bin Manṣūr bin Ja’far.[22] Namun begitu, ayah beliau, Manṣūr bin Ja’far seorang yang tidak dikenali (majhul) dan tidak disebutkan dalam mana-mana kitab al-Rijal (perihal perawi hadis)
  • Nahshal bin Sa’īd bin Wardān ialah seorang perawi yang sering meriwayatkan hadis yang mengandungi kesalahan dan kesilapan. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Imam al-Bukhārī.[23] Yahya bin Ma’in menyebut bahawa Nashal bukan daripada kalangan perawi yang thiqah.[24] Ishak bin Rahawayh (m.238 H) menilai beliau sebagai pendusta.[25] Beliau juga disifatkan sebagai seorang perawi yang ditinggalkan periwayatannya (matruk) dan lemah hafalan.[26]

Justeru, jalur riwayat al-Ḍaḥḥāk daripada Ibn ‘Abbās juga ialah jalur yang terlalu lemah kerana terdapat perawi yang dikritik iaitu Nahshal bin Sa’īd. Beliau perawi yang (ditinggalkan periwayatannya) bahkan Ishak bin Rahawayh menilai beliau sebagai pendusta. Selain itu, terdapat perawi majhul yang tidak dapat dikenal pasti peribadinya melalui kitab-kitab al-Rijāl. Walaupun riwayat ini dianggap sebagai mutaba’āt (riwayat sokongan) kepada jalur riwayat ‘Ikrimah daripada Ibnu ‘Abbas namun riwayat ini tidak dapat menaik taraf jalur tersebut begitu juga sebaliknya.

Walaupun hadis ini terlalu lemah, bukan bermakna menafikan kelebihan berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Bahkan berbuat baik kepada ibu bapa da menggembirakan mereka ialah satu perintah daripada Allah SWT. Allah berfirman:

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَٱلْيَتَٰمَىٰ وَٱلْمَسَٰكِينِ

Maksudnya : “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin…”[27]

Allah SWT berfirman lagi :

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ إِحْسَٰنًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُۥ وَفِصَٰلُهُۥ ثَلَٰثُونَ شَهْرًا

Maksudnya : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan...”[28]

Banyak lagi ayat di dalam al-Quran yang menjelaskan perintah berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Ibn Mas’ūd pernah bertanya kepada Nabi SAW :

‌أَيُّ ‌الْعَمَلِ ‌أَحَبُّ ‌إِلَى ‌اللهِ؟ قَالَ: الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا. قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ. قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ. قَالَ: حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوِ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي

Maksudnya : “Apakah amalan yang paling dicintai oleh Allah? Nabi SAW menjawab : Solat pada waktunya. Ibn Mas’ud bertanya lagi : Kemudian? Nabi menjawab :Berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Ibn Mas’ud bertanya lagi: Kemudian apa? Baginda menjawab : Jihad di jalan Allah. Ibn Mas’ud berkata : Baginda menyebut perkara-perkara tersebut. Jika saya minta tambah Baginda akan tambah.”[29]

NOTA HUJUNG :

[1] Al-Isma’īlī al-Jurjānī, Abū Bakr Ahmad bin Ibrāhīm (1990), al-Mu’jam fī Asāmī Shuyūkh Abī Bakr al-Isma’ilī, ed. Dr Ziyad Mansur, Madinah Munawwarah: Maktabah al-Ulūm wa al-Hikam, j.1 h.320.

[2] Abu Bakr al-Baihaqī, Ahmad bin al-Husain (2003), Syu’ab al-Imān, ed. Dr Abd al-Alī Abd al-Humaid Hamid, Riyadh: Maktabah al-Rusyd, Mumbai: al-Dar al-Salafiyah, j.10 h.265 no 7472. Beliau berkata : أخبرنا أبو منصور أحمد بن علي الدامغاني وأبو الحسن علي بن عبد الله البيهقي قالا: حدثنا أبو بكر الإسماعيلي، حدثنا أبو جعفر أحمد بن الحسين الحذاء، أخبرنا محمد ابن حميد، حدثنا زافر بن سليمان حدثنا المستلم بن سعيد، عن الحكم بن أبان عن عكرمة عن ابن عباس أن رسول الله صلى الله عليه وسلم  قال

[3] Tarikh Nīsābūr oleh al-Abu Abdillah al-Hakim al-Nīsābūrī.

[4] Ibid., j.6 h.186.

[5] Abu al-Qāsim al-Sahmī, Hamzah bin Yusuf (1984), Suālāt Hamzah bin Yusuf al-Sahmī li al-Daraqutnī, ed. Muwaffaq bin Abdullah, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif, h.146. Beliau berkata : سألت الدارقطني عن أبي جعفر ‌أحمد ‌بن ‌الحسين ‌بن ‌نصر الحذاء العسكري روى عن علي بن المديني وغيره فقال ثقة

[6] Abu al-Fidā al-Suduni, Zayn al-Dīn bin Quṭlūbaghā (2011), al-Thiqāt min man lam Yaqa’ fī al-Kutub al-Sittah, ed. Shadī bin Muhammad Āli Nu’man, j.1 h.324.

[7] Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (t.t), al-Tarīkh al-Kabīr, Hyder Abad: Dairah al-Ma’arif al-Uthmaniyah, j.1 h.69. Imam al-Bukhari berkata: فِيهِ نَظَرٌ   ‌مُحَمد ‌بْن ‌حُمَيد، أَبو عَبد اللهِ، الرّازِيُّ سَمِعَ يَعقُوب القُمِّيّ، وجَرِيرًا.

[8] Abu Ja’far al-‘Uqailī, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’āfā al-Kabīr, ed. Abd al-Mu‘ṭi Qal’ajī, Beirut: Dar al-Maktabah al-Ilmiyah, j.4 h.61. al-‘Uqailī menyebut : حَدَّثَنِي إِبْرَاهِيمُ بْنُ يُوسُفَ قَالَ: كَتَبَ أَبُو زُرْعَةَ، وَمُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمٍ ، عَنْ ‌مُحَمَّدِ ‌بْنِ ‌حُمَيْدٍ، حَدِيثًا كَثِيرًا، ثُمَّ تَرَكَا الرِّوَايَةَ

[9] Muhammad bi Muslim al-Rāzī. Beliau wafat pada tahun 270 hijrah.

[10] Ibn Hibban, Muhammad bin Hibban (2000), al-Majruhīn, ed. Hamdi Abd al-Majid al-Salafi, Riyadh: Dar al-Ṣami’ī, j.2 h.321.

[11] Shamsuddin al-Zahabī, Muhammad bin Ahmad (1963), Mizān al-‘Itidāl fī Naqd al-Rijāl, ed. Ali Muhammad al-Bijawī, Lubnan: Dar al-Ma’rifah, j.3 h.530. قال يعقوب بن شيبة: كثير المناكير

[12] Abu Muhammad, Abd al-Ghani bin Abd al-Wāhid (2016), al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Shadi bin Muhammad Ali Nu’man, Kuwait: Syarikat Ghuras li al-Di’ayah wa al-Ilan wa al-Nasyr wa al-Tauzi‘, j.5 h.7. Imam al-Zahabi menukilkan : وقال زكريا بن يحيى الساجي: كان يكون بالري فيه الوَهْمِ

[13] Abu Abdurrahman, Ahmad bin Shu’aib (1976), al-Ḍu’afā wa al-Matrūkīn, ed. Mahmud Ibrahim Zayed, Aleppo: Dar al-Wai’i, h.43. Beliau menyebut:  عنده حديث منكر

[14] Ibn ‘Adī, Abdullah bin Adī (1997), al-Kāmil fī al-Ḍu’afā, ed. Adil Ahmad, Ali Muhammad Mu’awwaḍ, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyah, j.4 h.206.

[15] Ibn Abi Hatim, Abdurrahman bin Muhammad (1952), al-Jarh wa al-Ta’dil, India: Tib’ah Majlis Dairah al-Ma’arif al-‘Uthmaniyah, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabī, j.8 h.438.

[16] Ibid., j.8 h.353. Nas ucapan ialah seperti berikut : وقال أبو داود كان صدوقًا، ثقة  قال يحيى بن سَعِيد، ويحيى بن مَعِين: هو ثقة

[17] Abu al-Hasan, Ahmad bin Abdullah (1984), Tarīkh al-Thiqāt, Saudi: Dar al-Baz, h.126. Beliau menyatakan: ‌الحكم ‌بن ‌أبان: عدني ثقة، صاحب سنة

[18] Al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, j.4 h.254

[19] Al-Wadi’i, Muqbil bin Hādī (2004), Rijāl al-Hākim fī al-Mustadrak, San’a: Maktabah San’ā al-Athāriyah, j.2 h.282

[20] Abu al-Hasan, Muslim bin Hajjāj (1984), al-Kunā wa al-Asmā, ed. Abd al-Rahim al-Qushqarī, Madinah Munawwarah: Imadah al-Bahth al-Ilmi bi al-Jami’ah al-Islamiyah, j.1 h.28.

[21] Shamsuddin al-Zahabī, Muhammad bin Ahmad (2006), Siyar al-Alām al-Nubalā, Kaherah: Dar al-Hadīth, j.11 h.383. Beliau menyebut : ابن محمد بن بكر بن مسلم، المُحَدِّثُ، الثِّقَةُ، المُتْقِن، أَبُو حَاتِمٍ التَّمِيْمِيّ النَّيْسَابُوْرِيُّ

[22] Al-Mizzi, Yusuf bin Abdurrahman (1980), Tahzīb al-Kamāl fī Asmā al-Rijāl, ed. Dr Bashār Awwad Ma’ruf, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.6 h.481.

[23] Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2019), al-Tārīkh al-Kabīr, ed. Muhammad bin Salih al-Dabasī, Riyadh: al-Nashir al-Mutamayyiz, j.9 h.538. Beliau menyatakan : أَحَادِيثُهُ مَنَاكِيرُ وَهُوَ نَيْسَابُورِيُّ.

[24] Al-‘Uqailī, Muhammad bin ‘Amr (1984), al-Ḍu’afā al-Kabīr, ed. Abdul Mu‘ṭi Qal’ajī, Beirut: Dar al-Maktabah al-Ilmiyah, j.4 h.309. حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ قَالَ: حَدَّثَنَا عَبَّاسٌ قَالَ: سَمِعْتُ يَحْيَى، يَقُولُ: ‌نَهْشَلُ ‌بْنُ ‌سَعِيدٍ الْخُرَاسَانِيُّ لَيْسَ بِثِقَةٍ

[25] al-Jarh wa al-Ta’dil, j. 8 h.496. نا عبد الرحمن قال سمعت ابى يقول قال اسحاق بن راهويه نشهل كذاب

[26] Ibid. Ibn Abī Hātim menyebut: ثنا عبد الرحمن قال سألت ابى عن نهشل الذى يروى عن الضحاك فقال: ليس بقوى، متروك الحديث، ضعيف الحديث

[27] Surah al-Baqarah : 83

[28] Surah al-Ahqaf : 15

[29] Riwayat al-Bukhari no 527, Abu Abdullah, Muhammad bin Ismail (2001), Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, Beirut: Dar Ṭuq al-Najah, j.1 h.112.