Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 588: NAS BERKENAAN PUSAR LEBIH DARIPADA SATU PETANDA KEPADA KENAKALAN DAN KEDEGILAN?

NAS_BERKENAAN_PUSAR_LEBIH_DARIPADA_SATU_PETANDA_KEPADA_KENAKALAN_DAN_KEDEGILAN.jpg

 

Soalan

Salam, ada tak ayat al-Quran atau hadis berkenaan pusar kepala, betul kah yg dikata pasal orang yang mempunyai pusar lebih dari satu ni akan lebih nakal, degil dan lain-lain.

Ringkasan Jawapan

Tidak dijumpai mana-mana nas dalam agama yang menyebutkan berkenaan anak-anak yang mempunyai dua pusar di kepala anak petanda kenakalan. Oleh itu, dua pusar di kepala bukan petanda kepada kenakalan mahupun bala. Hal ini kerana, setiap manusia yang dilahirkan ke atas muka bumi ini fitrahnya adalah baik dan suci merangkumi semua aspek. Oleh yang demikian ibu bapa memainkan peranan dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka sama ada menuju ke arah kebaikan mahupun sebaliknya. Bak kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Setelah melakukan penelitian maka tidak dijumpai nas daripada al-Quran, hadis mahupun kalam ulama yang menyebutkan bahawa orang yang mempunyai pusar kepala lebih daripada satu petanda kepada kenakalan dan kedegilan. Bahkan, perkataan yang disering ditularkan berkenaan pusar lebih daripada satu ini tanda kepada kenakalan dan kedegilan hanya pengamatan orang dahulu dalam kalangan masyarakat melayu sahaja namun tiada asas sama sekali, sama ada dalam konteks syariat mahupun sains.

Setiap manusia yang baru dilahirkan ke atas muka bumi ini fitrahnya adalah baik dan suci. Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanya lah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.”[1]

Riwayat al-Bukhari

Berdasarkan hadis di atas, ibu bapa berperanan dalam mendidik anak-anak mereka untuk menjadi manusia yang berguna. Anak-anak perlu diasuh dengan didikan agama yang baik semenjak usia kecil supaya apabila besar hidup mereka akan terpandu dengan jati diri serta akhlak yang mulia. Bak kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya” kerana anak-anak kecil diibaratkan kain putih, maka ibu bapa berperanan mencorakkannya.

Perlu diingat bahawa dalam Islam setiap dakwaan yang dilontarkan mestilah terbina atas bukti atau dalil, sama ada dalil tersebut adalah dalil syarak atau dalil yang berbentuk fakta saintifik ataupun kajian ilmiah. Oleh itu, terdapat satu kaedah berdialog menyebutkan:

إن كُنتَ نَاقِلاً فالصّحّة، وإن كُنتَ مُدّعِيًا فالدَّلِيلُ

Maksudnya: Jika kamu menukilkan sesuatu maka pastikan ia benar, dan jika kamu membuat dakwaan maka hendaklah mengemukakan bukti.[2]

Kesimpulan

Tidak dijumpai mana-mana nas dalam agama yang menyebutkan berkenaan anak-anak yang mempunyai dua pusar di kepala anak petanda kenakalan. Oleh itu, dua pusar di kepala bukan petanda kepada kenakalan mahupun bala. Hal ini kerana, setiap manusia yang dilahirkan ke atas muka bumi ini fitrahnya adalah baik dan suci merangkumi semua aspek. Maka ibu bapa yang berperanan membentuk dan mencorakkan kehidupan anak-anak mereka sama ada menuju ke arah kebaikan mahupun sebaliknya. Bak kata pepatah Melayu “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. 

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 1385, jld. 2: hlm. 100.

[2] Soleh bin ‘Abdullah, Usul al-Hiwar wa Adabih fi al-Islam (Mekah: Dar al-Mannarah, 1994), hlm. 14.