Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 592: KEDUDUKAN HADIS BERKAITAN HAK TERHADAP ANAK

KEDUDUKAN_HADIS_BERKAITAN_HAK_TERHADAP_ANAK.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti. Maaf mengganggu. Mohon bantuan daripada tuan tentang status hadis ini. Dalam hadis diriwayatkan Abu al-Hasan RA: Suatu hari, seseorang bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak anakku daripadaku?” Baginda menjawab: “Engkau memperelokkan nama dan pendidikannya, kemudian engkau tempatkannya di tempat yang baik.”

Adakah hadis ini sahih & hadis ni daripada mana? Bantuan tuan amat saya hargai. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Riwayat berkenaan hak-hak kepada anak dengan lafaz ini “قال رجلٌ: يا رسول الله ما حق ابني هذا؟ قال صلى الله عليه واله: تحسن اسمه وأدبه، وتضعه موضعاً حسناً” tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis muktabar. Bahkan ditemui dalam kitab Wasa’il al-Syiah yang dikarang oleh Muhammad bin al-Hasan al-Hurr al-‘Amili seorang yang berfahaman Syiah.

Oleh itu, dilarang menyandarkan riwayat ini kepada Nabi SAW dan tidak boleh disebar dan dijadikan hujah. Walaupun begitu, terdapat hadis lain yang boleh dijadikan sandaran dalam perkara ini iaitu hadis Abu Hurairah RA meskipun sanadnya daʻif tetapi ia mempunyai sokongan(syahid) daripada jalur yang lain.

Huraian Jawapan

Lafaz riwayat yang dimaksudkan dalam persoalan di atas adalah seperti berikut:

قال رجلٌ: يا رسول الله ما حق ابني هذا؟ قال صلى الله عليه واله: تحسن اسمه وأدبه، وتضعه موضعاً حسناً

Maksudnya: Seseorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah SAW apakah hak anak aku ini? Baginda SAW menjawab: Engkau memperelokkan nama serta pendidikannya dan menempatkannya pada tempat yang baik.

Walau bagaimanapun, riwayat ini tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis muktabar. Namun riwayat ini ditemui dalam kitab Wasa’il al-Syiah[1] yang dikarang oleh Muhammad bin al-Hasan al-Hurr al-‘Amili seorang yang berfahaman Syiah.[2]

Berkenaan perkara ini, terdapat hadis lain yang menyebutkan Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa:

إنّ مِنْ حقِّ الوَلَدِ على وَالِدِهِ أنْ يُعَلِّمَهُ الكِتابَةَ وأنْ يُحَسِّنَ اسْمَهُ وأنْ يُزَوِّجَهُ إِذا بَلَغَ

Maksudnya: Sesungguhnya antara hak anak yang mesti diberikan oleh ayahnya ialah diajarkan menulis (serta membaca), diberikan nama yang baik dan menikahkannya apabila telah baligh.[3]

Menurut beliau antara pengajaran yang boleh diambil daripada hadis ini ialah ibu bapa hendaklah menamakan anak mereka dengan nama yang baik serta disukai oleh Allah SWT. Dilarang menamakan anak dengan nama-nama syaitan, buruk atau seumpamanya.[4] Perkara ini bertepatan dengan hadis Abu al-Darda’ yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Oleh yang demikian perelokkanlah nama kamu.[5]

Riwayat Abu Daud (4948)

Selain itu, antara hak anak juga ialah memberikan pendidikan yang baik dan sewajarnya kepada mereka. Bahkan, ibu bapa perlu menggembirakan anak-anak atau memberikan izin kepada anaknya untuk menikah bila tiba masanya.[6] Al-Munawi menyebutkan bahawa hadis ini sanadnya daʻif tetapi mempunyai sokongan(syahid) daripada jalur lain. [7]

Dalam hal ini, Ahmad al-Siddiq al-Ghumari berpandangan bahawa riwayat yang menjadi sokongan tersebut ialah riwayat Muhammad bin Makhlad al-Duri.[8] Riwayat yang dimaksudkan ialah:

إن من حق الولد على والده ثلاث خصال: أن يحسن أدبه، وأن يحسن اسمه، وأن يعفه إذا بلغ.

Maksudnya: Sesungguhnya antara hak anak yang mesti diberikan oleh ayahnya tiga perkara, iaitu: memperbaiki adabnya, mencantikkan namanya dan memaafkannya apabila dia telah baligh.

Sanad riwayat ini mempunyai perawi bernama ‘Ali bin Syazan atau lebih dikenali dengan panggilan Ibn Abi Mukramah. Menurut al-Daraqutni, ‘Ali bin Syazan merupakan perawi yang daʻif.[9]

Kesimpulan

  1. Riwayat berkenaan hak-hak kepada anak dengan lafaz ini “قال رجلٌ: يا رسول الله ما حق ابني هذا؟ قال صلى الله عليه واله: تحسن اسمه وأدبه، وتضعه موضعاً حسناً” tidak dijumpai dalam mana-mana karya hadis Ahli Sunnah Waljamaah.
  2. Ditemui dalam kitab Wasa’il al-Syiah yang dikarang oleh Muhammad bin al-Hasan al-Hurr al-‘Amili seorang yang berfahaman Syiah. Oleh itu, dilarang menyandarkan riwayat ini kepada Nabi SAW dan tidak boleh disebar dan dijadikan hujah.
  3. Walaupun begitu, terdapat hadis lain yang boleh dijadikan sandaran dalam perkara ini iaitu hadis Abu Hurairah RA meskipun sanadnya daʻif tetapi ia mempunyai sokongan(syahid) daripada jalur yang lain.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Hurr al-‘Amili, Tafsil Wasa’il al-Syiʻah ila Tahsil Masa’il al-Syariʻah (t.tp.: Mu’assasah Ali al-Bait (Alaihim al-Salam) li Ihya’ al-Turath, 1414), jld. 21: hlm. 479.

[2] Al-Sayyid Jawwasyh al-Syahrastani, “Tarjamah al-Syeikh Muhammad bin al-Hasan al-Hurr al-ʻAmili, laman sesawang Syabakah Rafid, dicapai pada 14 Ogos 2023, https://tinyurl.com/5h3tcwkv.

[3] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Jamiʻ al-Saghir wa Ziyadatih, laman sesawang Nida’ al-Iman, dicapai pada 14 Ogos 2023, https://tinyurl.com/5cd5tm32. Rujuk juga al-Albani, Sahih wa Daʻif al-Jamiʻ al-Saghir wa Ziyadatih (kitab elektronik-al-Maktabah al-Syamilah), hadis no. 4815, hlm. 4815.

[4] Al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1356), jld. 2: hlm. 538.

[5] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t.), no. hadis 4948, jld. 4: hlm. 287.

[6] Al-Munawi, Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir (Mesir: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 1356), jld. 2: hlm. 538.

(إن من حق الولد على والده) ومثله الجد أو الأب عند فقده فإن فقد فالأم وإن علت (أن يعلمه الكتابة) أي الخط لأنه عون له على الدنيا والدين وكذا يعلمه القراءة والآداب وكل ما يضطر إلى معرفته من الأمور الضرورية (وأن يحسن اسمه) بأن يسميه بأحب الأسماء إلى الله تعالى أو بنحو ذلك ولا يسميه باسم شيء من أسماء الشياطين ونحوها مما نهى عنه (وأن يزوجه) أو يسريه (إذا بلغ) الحلم فإنه بالتزويج أو التسري يحفظ عليه شطر دينه كما سيجيء في خبر وفيه إشارة إلى أن على الآباء تعليم أبنائهم حسن الأدب الذي شرع الشرع والعقل فضله واتفقت الكلمة على شكر أهله وأجرة تعليمه الكتابة ونحوها من ماله ثم على أبيه وإن علا ثم أمه وإن علت

[7] Ibid.

بإسناد ضعيف لكن له شاهد

[8] Ahmad bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari, al-Mudawi li ‘Ilal al-Jamiʻ al-Saghir wa Syarhi al-Munawi (Kaherah: Dar al-Kutubi, 1996), jld. 2: hlm. 547.

قلت: كأنه يشير إلى ما رواه محمد بن مخلد الدوري في جزئه

[9] Muhammad Mahdi al-Musallami et al., Mausuʻah Aqwal Abi al-Hasan al-Daraqutni fi Rijal al-Hadith wa ‘Ilalihi (Beirut: ‘Alim al-Kutub, 2001), jld. 2: hlm. 463.

قال الدَّارَقُطْنِيّ: علي بن شاذان، أبو الحسن، عن أبي بدر وغيره، ضعيف.