Soalan
Apakah status hadis selawat nabi 80 kali setiap hari Jumaat dihapus dosanya 80 tahun. Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Hadis yang meriwayatakan berkenaan kelebihan selawat sebanyak 80 kali akan dihapuskan dosanya selama 80 tahun telah terbukti sanadnya bermasalah dan dihukumkan sebagai daif jiddan serta tidak dapat dinaik taraf. Meskipun begitu, ia tidak menafikan anjuran untuk memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW terutamanya pada hari Jumaat. Hal ini kerana, terdapat hadis sahih yang menggalakkan perkara tersebut.
Huraian Jawapan
Setelah membuat carian maka hadis ini mempunyai dua jalur periwayatan iaitu jalur daripada Abu Hurairah RA dan Anas bin Malik RA.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الصَّلَاةُ عَلَيَّ نُورٌ عَلَى الصِّرَاطِ فَمَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً غُفِرَتْ لَهُ ذُنُوبُ ثَمَانِينَ عَامًا
Maksudnya: “Selawat ke atasku adalah cahaya ketika berada di Sirat. Sesiapa yang berselawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali diampunkan dosa-dosanya selama 80 tahun.”
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Syahin dalam al-Targhib melalui jalur ‘Aun bin ‘Umarah, daripada Sakan al-Burjumi, daripada Hajjaj bin Sinan, daripada ‘Ali bin Zaid, daripada Saʻid bin al-Musayyib, daripada Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW. Hasil penelitian mendapati dalam sanad hadis ini terdapat perawi yang bermasalah iaitu Hajjaj bin Sinan merupakan seorang perawi yang matruk (perawi yang ditohmah berdusta).
Selain itu, ‘Ali bin Zaid bin Judʻan al-Basri turut dikritik oleh ulama hadis. Antara sebabnya ialah beliau keliru dan tidak konsisten dalam periwayatannya. Al-Saʻdi pula menyebutkan bahawa ‘Ali bin Zaid bin Judʻan hadisnya bermasalah dan dia seorang yang daif serta tidak dijadikan hujah. Dalam sanad hadis ini juga terdapat perawi bernama ‘Aun bin ‘Umarah al-Qaisi yang turut dikritik sebagai munkar al-hadis dan seorang yang daif bahkan Abu Hatim al-Razi menyebutkan bahawa aku mengenalinya namun aku tidak meriwayatkan hadis-hadis beliau.
Justeru hadis ini dengan jalur ini dihukumkan sebagai daif jiddan. Namun bagi hadis ini terdapat sokongan daripada jalur periwayatan Anas bin Malik RA. Anas bin Malik RA meriwayatkan bahawa:
كُنْتُ وَاقِفًا بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: " مَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَ ثَمَانِينَ عَامًا، فَقِيلَ لَهُ: كَيْفَ الصَّلاةُ عَلَيْكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: تَقُولُ: اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ، وَتَعْقِدُ وَاحِدَةً
Maksudnya: “Aku berdiri di hadapan Rasulullah SAW lalu baginda bersabda: Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 80 kali pada hari Jumaat Allah SWT akan mengampunkan dosanya selama 80 tahun. Seseorang bertanya kepada Baginda SAW: Bagaimanakah selawat ke atasmu wahai Rasulullah SAW? Baginda bersabda: Engkau ucaplah: Ya Allah, limpahkanlah rahmat ke atas Muhammad SAW, hamba-Mu, Nabi-Mu dan Rasul-Mu yang merupakan seorang Nabi yang ummi. Engkau anggap bahawa bacaan tersebut sebagai sekali (bacaan selawat). ”
Hadis ini diriwayatkan dalam Tarikh Baghdad oleh al-Khatib al-Baghdadi. Dalam sanad hadis ini terdapat seorang perawi yang bermasalah iaitu Wahb bin Daud bin Sulaiman Abu al-Qasim al-Mukhrami yang tidak thiqah. Al-Hafiz al-Zahabi dalam al-Mughni fi al-Duʻafa’ menganggap hadis ini merupakan pemalsuan yang dilakukan oleh Wahb bin Daud.
Oleh itu, sanad hadis yang menjadi sokongan ini juga dianggap bermasalah dan dihukumkan sebagai sangat daif meskipun tidak sampai ke tahap palsu sekalipun. Kedua-dua riwayat ini tidak saling menguatkan antara satu sama lain disebabkan syadid al-daʻf (kedaifan yang parah) dan tidak dapat dinaik taraf.
Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa selawat ke atas Nabi SAW sangat digalakkan terutamanya pada hari Jumaat. Perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aus bin Aus bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ
Maksudnya: Sesungguhnya antara hari yang paling baik ialah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku. Sesungguhnya selawat kamu akan dibentangkan kepadaku.
(Riwayat Abu Daud)
Kesimpulan
Hadis yang meriwayatkan berkenaan kelebihan selawat sebanyak 80 kali akan dihapuskan dosanya selama 80 tahun telah terbukti sanadnya bermasalah dan dihukumkan sebagai daif jiddan serta tidak dapat dinaik taraf.
Meskipun begitu, ia tidak menafikan anjuran untuk memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi SAW terutamanya pada hari Jumaat. Hal ini kerana, terdapat hadis sahih riwayat Abu Daud yang menggalakkan perkara tersebut. Wallahuaʻlam.
Rujukan:
1. Ibn Syahin, al-Targhib fi Fada’il al-Aʻmal wa Thawaba Zalik, ed. Muhammad Hasan (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 2004), hadis no. 22, hlm. 14.
2. Ibn Hajar al-‘Asqalani, Lisan al-Mizan (al-Hind: Dar al-Maʻarif al-Nizamiyyah, 1971), jld. 2: hlm. 178.
قال الأزدي متروك انتهى
3. Ahmad bin ‘Adi al-Jurjani, al-Kamil fi Duʻafa’ al-Rijal, ed. ‘Abd al-Fattah Abu Sinah (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1997), jld. 6: hlm. 334.
حَدَّثَنا شُعْبَة، حَدَّثَنا علي بْن زيد قبل أن يختلط.
4. Ibid., jld. 6: hlm. 335.
علي بْن زيد بصري واهي الحديث ضعيف لا يحتج بحديثه.
5. Syams al-Din al-Zahabi, Mizan al-Iʻtidal fi Naqd al-Rijal, ed. ‘Ali Muhammad al-Bijawi (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1963), jld. 3: hlm. 306.
وقال أبو حاتم: ضعيف، منكر الحديث، أدركته ولم أكتب عنه.
6. Abu Bakr Ahmad bin ‘Ali al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, ed. Basyar ‘Awwad Maʻruf (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami, 2002), jld. 15: hlm. 636.
وكان ضريرا، ولم يكن ثقة
7. Syams al-Din al-Zahabi, al-Mughni fi al-Duʻafa’, ed. Nur al-Din ‘Itr (kitab elektronik Maktabah Syamilah), jld. 2: hlm. 727.
عَن أنس من صلى عَليّ يَوْم الْجُمُعَة ثَمَانِينَ مرّة غفر لَهُ ذنُوب ثَمَانِينَ عَاما قَالَ الْخَطِيب لم يكن بِثِقَة ثمَّ أورد لَهُ حَدِيثا من وَضعه
8. Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t.), hadis no. 1531, jld. 2: hlm. 88.