Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-203: SOLAT ISYAK MENDAPAT GANJARAN LAILATUL QADAR

 

Soalan: Apakah dengan solat Isyak di masjid pada 10 malam terakhir akan mendapat ganjaran orang yang berqiyam pada malam al-Qadar?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Ramadhan merupakan satu bulan di mana Allah SWT anugerahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW yang penuh dengan tawaran-tawaran yang hebat dan lumayan. Ini termasuklah sepuluh malam terakhir yang terdapat padanya satu malam yang ganjaran lebih baik daripada seribu bulan. Berdasarkan soalan di atas, kami ingin menukilkan sebuah hadith daripada Sahih Ibn Khuzaimah:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

 

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ الْآخِرَةَ فِي جَمَاعَةٍ فِي رَمَضَانَ فَقَدْ أَدْرَكَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang solat Isyak yang terakhir (Isyak merupakan solat fardhu terakhir yang wajib ditunaikan atau solat Isyak yang sebenar dalam waktunya) dengan cara berjemaah pada bulan Ramadhan maka dia telah mendapatkan Lailatul al-Qadar”. [Riwayat Ibn Khuzaimah (2195)]

 

Kebanyakan ulama’ mengatakan kelebihan malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah. Antaranya, Imam al-Syafie RA mengatakan disunatkan seseorang itu bersungguh-sungguh pada siang harinya (hari Lailatul Qadar) sebagaimana dia bersungguh-sungguh pada malamnya. Imam al-Syafie RA berkata lagi pada mazhabnya yang lama:

 

مَنْ شَهِدَ الْعِشَاءَ وَالصُّبْحَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ، فَقَدْ أَخَذَ بِحَظِّهِ مِنْهَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyaksikan (hadir) menunaikan solat Isyak dan Subuh pada malam al-Qadar maka dia telah mendapat bahagiannya daripada malam tersebut”. [Lihat: Raudhah al-Tholibin, 390/2]

 

Di samping itu, tidak diketahui nas yang bertentangan dengan hal ini di dalam mazhab Imam al-Syafie yang baru. Dengan itu, setiap yang dinaskan di dalam mazhab yang lama yang mana tidak berlaku percanggahan di dalam mazhab yang baru samada yang bertentangan dengannya atau juga yang bertepatan dengannya maka itu adalah mazhabnya. Tambahan pula, Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan waktu bermulanya malam al-Qadar adalah selepas terbenamnya matahari dan berakhir apabila terbitnya fajar berdasarkan ayat terakhir di dalam surah al-Qadar. Ini juga merupakan pendapat ashab kami (ulama’ al-Syafi’eyyah) ketika menafsirkan ayat tersebut. [Lihat: Fath al-Bari, 451/6]

 

Kami cenderung untuk mengatakan bahawa ganjaran malam al-Qadar akan diperolehi bagi sesiapa yang mendirikan solat Isyak secara berjemaah kerana itu telah dikira sebagai qiyam dan telah bermula waktu malam al-Qadar. Walaubagaimanapun, kita dituntut untuk mencari dan berusaha bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amal ibadah pada sepuluh malam terakhir berdasarkan hadith-hadith sahih lain. Antara ganjaran lain yang disediakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya pada malam al-Qadar adalah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu. Ini dijelaskan di dalam sebuah hadith yang sahih:

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW:

 

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa berqiyam pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu”. [Riwayat al-Bukhari (1901)]

 

Penutup

Kesimpulannya, malam al-Qadar adalah satu malam yang istimewa disediakan oleh Allah SWT secara khusus oleh umat Nabi Muhammad SAW sahaja. Di samping itu, marilah sama-sama kita penuhkan amalan-amalan kita pada sepuluh hari atau malam terakhir di bulan Ramadhan ini dengan amalan-amalan seperti membaca al-Quran, berdoa, bersedekah dan amalan-amalan kebaikan yang lain kerana di dalam hari-hari tersebut pasti akan ditemui malam al-Qadar. Di sini kami ingin kongsikan sebuah hadith yang menunjukkan akan kesungguhan Nabi SAW dalam beribadah:

 

  • Daripada Aisyah RA, beliau menceritakan bahawa:

 

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”. [Riwayat Muslim (2009)]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam