Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-191: ILMU ITU DENGAN BELAJAR

 

Soalan: Apakah sahih hadith ini “Sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, hadith di atas amat masyhur dan sering kita mendengarnya ia diungkapkan oleh para ustaz atau penceramah. Untuk itu, di sini kami sertakan matan hadith yang dimaksudkan:

 

  • Daripada Abi Darda’ RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمِ

Maksudnya: “Adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya”. [Riwayat al-Thabarani (2663) di dalam Mu’jam al-Awsath]

 

Selain itu, hadith seperti ini juga diriwayatkan oleh sahabat yang lain. Berikut adalah beberapa hukum terhadap hadith yang diriwayatkan oleh Abi Darda’ RA:

 

  • Imam al-Iraqi mengatakan bahawa hadith riwayat Abu Darda’ sanadnya adalah dhaif ketika mengtakhrijkan kitab Ihya’. [Lihat: al-Mughni, 850/2]
  • Imam al-Suyuthi menghukum hadith ini sebagai dhaif. [Jami’ al-Saghir, 221/1]
  • Imam Ibn al-Jauzi menilai hadith ini tidak sahih. [Lihat: al-‘Ilal, 223/2]
  • Imam al-Ajlouni mengatakan sanadnya terdapat Muhammad bin al-Hasan seorang kazzab (pendusta) tetapi Imam al-Baihaqi meriwayatkan di dalam al-Madkhal daripada Abu Darda’ secara mawquf. [Lihat: Kasyf al-Khafa’, 215/1]

 

Walaupun hadith riwayat Abu Darda’ ini dhaif tetapi di sana terdapat syahid atau syawahid bagi hadith ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muawiyah bin Abi Sufiyan. Beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:

 

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمَ وَالْفِقْه بِالتَّفَقُّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya dan fiqh itu dengan memahaminya”. [Riwayat al-Thabarani (929) di dalam Mu’jam al-Kabir]

 

Hadith riwayat Muawiyah ini sanadnya adalah hasan berdasarkan Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. [Lihat: Fath al-Bari, 161/1] Tambahan pula, Imam al-Haithami mengatakan bahawa riwayat Muawiyah ini terdapat padanya perawi yang tidak dinamakan. Akan tetapi, ‘Utbah bin Abi Hakim telah dihukum thiqah (dipercayai) oleh Abu Hatim, Abu Zur’ah dan Ibn Hibban. Tambahan pula, ‘Utbah ini dihukum dhaif oleh jemaah daripada ulama’. [Lihat: Majma’ al-Zawaid, 128/1]

 

Setelah melihat sebahagian perbahasan para ulama’ di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith di atas adalah sahih dengan syawahidnya iaitu dengan sokongan hadith daripada Muawiyah bin Abi Sufiyan.

 

Penutup

Kesimpulannya, terdapat lagi beberapa hadith-hadith sahih yang menceritakan akan kelebihan menuntut ilmu. Tambahan pula, kita perlulah sentiasa membetulkan niat kita dalam setiap perkara yang kita lakukan terutamanya dalam menuntut ilmu dan kita juga perlulah beramal dengan ilmu yang kita telah pelajari kerana ilmu yang bermanfaat merupakan amalan yang tidak akan terputus walaupun diri seseorang itu telah meninggal dunia. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita ilmu-ilmu yang bermanfaat dan memberi kita kefahaman dalam agama ini agar kita dapat sampaikannya kepada orang lain. Amin.

 

Wallahua’lam