Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-166 : DUNIA ADALAH PENJARA BAGI ORANG MUKMIN

Soalan: Apakah status hadith dunia merupakan penjara bagi orang mukmin?

 Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Berdasarkan soalan di atas, hadith yang dimaksudkan adalah:

  • Daripada Abu Hurairah RA berkata, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ، وَجَنَّةُ الْكَافِرِ

Maksudnya: “Dunia merupakan penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang yang kafir”.

Sumber Hadith

Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam Musnad-nya (8289), Imam Muslim di dalam Sahih-nya (2956), Imam al-Tirmidzi di dalam Jami’-nya (2324) dan Imam Ibn Majah di dalam Sunan-nya (4113).

Hukum Hadith

  • Imam Muslim meletakkan hadith ini di dalam Sahihnya maka ini bermakna hadith ini adalah sahih.
  • Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini hasan sahih.
  • Imam Ibn Hibban meletakkan hadith ini di dalam sahihnya.
  • Syeikh al-Arna’outh mengatakan hadith ini sanadnya sahih mengikut syarat Imam Muslim ketika mentaqiqkan Musnad Ahmad.

Makna Hadith

Imam al-Nawawi berkata makna hadith ini bahawa setiap orang mukmin dipenjara dan dihalang di dunia ini daripada syahwat yang haram dan makruh. Orang mukmin itu juga mukallaf (dituntut) untuk melakukan perbuatan ketaatan yang berat. Namun begitu, apabila dia meninggal maka dia akan berehat daripada semua ini. Dan semua itu akan berubah sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT kepadanya daripada nikmat-nikmat yang berkekalan dan juga kerehatan yang sebenarnya tanpa berkurang apa pun. Adapun orang yang kafir, mereka juga memperoleh apa yang mereka lakukan di dunia dalam keadaan sedikit dan kehidupan yang tidak sempurna atau samar-samar. Apabila dia meninggal, dia akan diazab buat selama-lamanya dan akan berada di dalam kepayahan yang abadi. Lihat al-Minhaj (93/18).

Imam al-Munawi dalam mensyarahkan hadis ini dalam Faid al-Qadir (3/546), telah menyebut sebuah kisah yang diambil daripada para ulama: “al-Hafiz Ibn Hajar (al-Asqalani) Ketika dia menjadi Ketua Qadi berjalan pada suatu hari melintasi sebuah pasar. Ketika itu beliau dalam sebuah rombongan penunggang haiwan kenderaan yang besar, cantik lagi mengagumkan. Tiba-tiba meluru ke arahnya seorang lelaki Yahudi, penjual minyak biji rami. Pakaiannya kotor dengan minyak, dan kelihatan semakin lusuh dan buruk. Dia lantas memegang kekang baghal Imam Ibn Hajar dan berkata: “Wahai Syeikh al-Islam! Engkau mendakwa bahawa Nabi kalian berkata: “Dunia itu penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir,” lantas, penjara mana yang engkau berada sekarang? Dan syurga mana yang aku berada sekarang?” Jawab Ibn Hajar: “Aku jika dibandingkan apa yang Allah janjikan bagiku di akhirat nanti daripada kenikmatan syurga, seakan aku sekarang berada di penjara, manakala engkau pula, jika dibandingkan dengan apa yang Allah janjikan bagi engkau di Akhirat, seolah-olah sekarang engkau berada dalam syurga.” Lalu Yahudi itu masuk Islam.

Berkaitan taklif (tanggungjawab), Imam al-Marwazi pernah menceritakan bahawa: Aku pernah bertanya kepada Imam Ahmad: “Bagaimana keadaan anda pagi hari ini?”. Beliau menjawab: “Bagaimana kira-kira keadaan seorang hamba pada pagi hari, di mana Rabbnya menuntut dirinya untuk melaksanakan berbagai kewajipan, Nabinya menuntut dirinya untuk menjalankan al-Sunnah, sementara dua malaikat menuntut dirinya untuk beramal dengan benar, di sisi yang lain, jiwanya menuntut dirinya untuk menurut hawa nafsu dan iblis pula menuntutnya untuk melakukan perbuatan keji, malaikat maut pula melihat dirinya untuk mencabut rohnya, sementara keluarganya menuntut daripadanya untuk mencari nafkah”.

 

Penutup

Huraian dan syarah hadis di atas menunjukkan bahawa orang beriman itu di dunia diperintahkan untuk taat kepada perintah dan meninggalkan larangan Allah, sebagai ujian untuk mendapatkan rahmat Allah berupa kebahagiaan di akhirat. Ini tidak menafikan peluang bagi seorang manusia, sama ada Islam atau bukan, untuk mendapatkan kekayaan dunia denga usaha dan peluang. Hadis ini juga tidak menjadi halangan untuk orang Islam untuk berbuat baik dengan orang bukan Islam dan membawa mereka untuk masuk Islam seperti mana yang diungkapkan dalam kisah Ibn Hajar di atas.

 

Kesimpulannya, kita perlulah berusaha dan beramal dengan bersungguh-sungguh di dunia ini kerana dunia ini bersifat sementara. Selain itu, kita juga perlulah menjadikan dunia ini sebagai lading untuk kite beramal. Berdasarkan firman Allah SWT:

مَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الْآخِرَةِ نَزِدْ لَهُ فِي حَرْثِهِ ۖ وَمَن كَانَ يُرِيدُ حَرْثَ الدُّنْيَا نُؤْتِهِ مِنْهَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِن نَّصِيبٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) faedah di akhirat, maka Kami akan memberinya serta kami tambahkan pada faedah yang dikehendakinya. Dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, maka Kami akan beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan). Dan dia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun (di akhirat kelak)”. [al-Syura:20]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.

 

Wallahua’lam