Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 230: UMUR BALIGH MENURUT 4 MAZHAB DAN HAD UMUR YATIM

 

Soalan: Apakah had umur seseorang anak yatim itu wajib itu dinafkahkan? Adakah ia berdasarkan umur balighnya atau sebaliknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Allah SWT telah menjadikan baligh itu sebagai salah satu tanda sempurnanya akal. Para ulama berselisih pendapat dalam menentukan umur baligh seseorang:

Ulama bermazhab al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf daripada ulama bermazhab Hanafi, dengan pandangan keduanya itu juga difatwakan di dalam mazhab dan al-Awza’ie menyatakan bahawa umur baligh adalah sempurna 15 tahun qamariyyah bagi lelaki dan wanita (sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama bermazhab al-Syafie) berdasarkan khabar (riwayat) daripada Ibn Umar.

عُرِضْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ أُحُدٍ وَأَنَا ابْنُ أَرْبَعَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَلَمْ يُجِزْنِي وَلَمْ يَرَنِي بَلَغْتُ، وَعُرِضْتُ عَلَيْهِ يَوْمَ الْخَنْدَقِ وَأَنَا ابْنُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً، فَأَجَازَنِي، وَرَآنِي بَلَغْتُ

Maksudnya: “Aku menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Uhud ketika aku berusia 14 tahun dan Nabi SAW tidak mengizinkanku kerana Baginda SAW tidak menganggapku telah baligh. Aku juga menyerahkan diriku kepada Nabi SAW pada peperangan Khandak ketika aku berusia 15 tahun dan Nabi SAW mengizinkanku kerana Baginda SAW menganggapku telah baligh.

[Riwayat Ibn Hibban (4728) dan ia mempunyai asal di dalam al-Sahihayn]

Berkata Imam al-Syafie bahawa Nabi SAW telah menolak 17 orang daripada kalangan sahabat yang mana usia mereka pada ketika itu adalah 14 tahun kerana Baginda SAW menganggap mereka belum lagi baligh. Kemudian Baginda SAW didatangi anak-anak yang berusia 15 tahun lalu Baginda SAW membenarkan mereka. Antaranya Zaid bin Thabit, Rafi’ bin Khadij dan Ibn Umar.

وَرُوِيَ عَنْ أَنَسٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَال: إِذَا اسْتَكْمَل الْمَوْلُودُ خَمْسَ عَشْرَةَ سَنَةً كُتِبَ مَا لَهُ وَمَا عَلَيْهِ، وَأُخِذَتْ مِنْهُ الْحُدُودُ

Maksudnya: “Apabila sempurnanya umur anak itu 15 tahun maka akan ditulis apa yang dilakukannya dan apa yang dikenakan ke atasnya serta akan dikenakan hudud.” [Riwayat ini dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam al-Talkhis al-Habir pada 106/3 dan Imam al-Baihaqi meniali riwayat ini adalah dhaif]

Ulama al-Malikiyyah mengatakan umur baligh adalah sempurnanya 18 tahun, dikatakan juga dengan persetubuhan atau dengan bermimpi (keluar mani) berdasarkan sabda Nabi SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلاَثٍ: عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ

Maksudnya: “Diangkat pena pada 3 perkara: Antaranya daripada budak sehingga dia bermimpi.”

[Riwayat Abu Daud (4401)]

Ataupun apabila datangnya haid (bagi wanita) berdasarkan sabda Nabi SAW:

لاَ يَقْبَل اللَّهُ صَلاَةَ حَائِضٍ إِلاَّ بِخِمَارٍ

Maksudnya: “Allah SWT tidak akan menerima solat orang yang telah berhaid melainkan dengan menutup kepala.” [Riwayat Ahmad dan ashab al-Sunan melainkan al-Nasaie dan juga Ibn Khuzaimah dan al-Hakim daripada Aisyah R.anha] [Riwayat ini sanadnya adalah hasan sebagaimana yang dinilai oleh Syeikh Syuaib al-Arna’outh]

Atau dengan mengandung dan juga dengan tumbuhnya bulu ari-ari di bawah perutnya.

Al-Hattab ada mendatangkan 5 pandangan di dalam mazhab, antaranya riwayat yang mengatakan 18 tahun, 17 tahun dan sebahagian pensyarah kitab al-Risalah menambah kepada 16 tahun, 19 tahun dan diriwayatkan oleh Ibn Wahab 15 tahun menurut riwayat Ibn Umar.

Adapun Abu Hanifah menyatakan bahawa umur baligh seseorang budak lelaki itu mengikut pada umur adalah 18 tahun dan budak perempuan pula adalah 17 tahun. Disebabkan itu Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ

al-Isra’:34

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).”

Telah berkata Ibn Abbas RA, umur 18 tahun (dalam menentukan had baligh) adalah amat sedikit ahli ilmu yang cenderung kepadanya. Akan tetapi, ia diterima sebagai langkah berhati-hati. Ini adalah umur yang paling tua bagi had baligh budak lelaki dan budak perempuan pula lebih cepat balighnya berbanding budak lelaki maka kami kurangkan setahun (iaitu 17 tahun). [Lihat: al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, 15-17/2]

Kesimpulannya,  secara umumnya mazhab al-Syafie dan Ahmad melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 15 tahun qamariyyah berdasarkan dalil-dalil di atas. Adapun, mazhab al-Maliki dan al-Hanafi melihat had umur baligh seseorang itu adalah pada usia 18 tahun.

Berdasarkan soalan di atas iaitu berkaitan had umur yatim, di sini kami nukilkan satu akta daripada Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah seperti berikut:

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984

Seksyen 79 memperuntukkan:

“Perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang lain, melanjutkan

munasabah, bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.”

Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Kami cenderung kepada pendapat di dalam mazhab al-Hanafi dan al-Maliki dalam menentukan had umur baligh iaitu pada usia 18 tahun, khususnya dalam isu nafkah kepada anak yatim. Ini kerana, kebiasaannya di Malaysia anak yang berusia bawah 18 tahun ini belum lagi bersedia untuk hidup secara bersendiri (berdikari) serta menafkahkan dirinya sendiri. Tambahan pula, kami juga bersetuju bahawa pihak mahkamah boleh memanjangkan tempoh nafkah tersebut kepada anak yatim tersebut dengan melihat kepada maslahah seperti nafkah, pendidikan dan kerjaya anak yatim tersebut sehingga had umur yang tertentu seperti 21 tahun dan sebagainya.