Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-289: HUKUM SUAMI TIDAK BEKERJA DAN MENJADI SURI RUMAH

289 IF suami suri rumah2.JPG

Soalan:

Salam Dato’ Seri, saya telah berkahwin 8 tahun yang lepas dan dikurniakan 2 orang cahaya mata. Suami seorang yang baik dan bertanggungjawab. Akan tetapi, 6 bulan yang lepas, suami telah diberhentikan kerja kerana masalah kewangan syarikat. Dan kini saya menanggung perbelanjaan keluarga memandangkan suami kehilangan punca pendapatan. Situasi ini menyebabkan sedikit ketegangan dalam rumah tangga. Walaubagaimanapun, suami membantu urusan kerja rumah dan anak-anak ke sekolah.

Soalan saya, apakah hukum suami menjadi "house husband" dan isteri menanggung perbelanjaan keluarga?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asalnya wajib suami menafkahi isteri dan anak-anaknya. Namun jika isteri menafkahi suami dan anak-anaknya, maka itu adalah ihsan dan pahala yang besar ke atasnya. Tanggungjawab suami menafkahi isteri ini disebut dalam al-Quran:

Daripada Jabir RA, bahawa Rasulullah ﷺ:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلأَهْلِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَىْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Riwayat al-Bukhari (6763) dan Muslim (997)

Berkata para pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (4/170-179), seorang suami wajib menafkahkan isteri dan anak-anak kandungnya yang tidak mampu mencari nafkah sendiri atas faktor masih kecil, sakit, cacat atau gila.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: Kemudian, jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.

(Surah al-Talaq: 6)

Ayat ini menjelaskan bahawa perempuan yang menyusukan anak orang lain wajib diberi upah oleh bapa kepada anak tersebut. Ini bermakna kewajipan memberi nafaqah kepada anak lebih utama dilaksanakan oleh bapa. Allah SWT berfirman:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap, iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu, dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

(Surah al-Baqarah: 233)

Dalam ayat ini, menisbahkan anak kepada bapanya yang menggunakan huruf lam ikhtisas membawa makna bapa dikhususkan bertanggungjawab memberi nafaqah kepada anak-anaknya. Oleh itu, kewajipan bapa memberi nafaqah kepada ibu yang menyusukan anaknya menunjukkan bahawa kewajipannya memberi nafaqah kepada anak-anak adalah lebih utama.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنْ هِنْدًا بِنْتُ عُتْبَةَ قَالَتْ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أَبَا سُفْيَانَ رَجُلٌ شَحِيحٌ وَلَيسَ يُعْطِينِي مَا يَكْفِينِي وَوَلَدِي إِلاَّ مَا أَخَذْتُ مِنْهُ وهو لا يَعْلَم، فقال: خُذِي مَا يَكْفِيكِ وَوَلَدَكِ بِالْمَعْرُوف

Maksudnya:Hindun binti ‘Utbah berkata: “Wahai Rasulullah! Abu Sufyan ialah seorang lelaki yang bakhil dan tidak pernah memberi aku belanja yang mencukupi untukku dan anakku melainkan yang aku ambil daripadanya tanpa pengetahuannya.” Rasulullah SAW bersabda: “Ambillah perbelanjaan untukmu dan anakmu secukupnya.

Riwayat al-Bukhari (5049) dan Muslim (1714)

Manakala nafkah kepada isteri lebih utama berbanding anak-anak. Dalil firman Allah ﷻ:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) ke atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafaqah) sebahagian dari harta mereka.

(Surah al-Nisa’:34)

Daripada Jabir RA, katanya:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ ...وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ

Maksudnya:Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah...Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafaqah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.  

Riwayat Muslim (1218)

Berkata pengarang al-Fiqh al-Manhaji (4/181-182) dengan fenomena wanita bekerja untuk menafkahi keluarga:

Beberapa perkara akan berlaku kesan daripada tindakan tersebut, iaitu:

  • Perempuan terpaksa melibatkan diri untuk bekerja dan mencari rezeki. Akibatnya, mereka terpaksa bersaing dengan golongan lelaki dalam pelbagai bidang pekerjaan.Jika ini berlaku, golongan perempuan pasti terdedah kepada perkara yang negatif serta penyelewengan. Keadaan yang berlaku hari ini adalah bukti paling jelas terhadap kenyataan itu. Kesannya, rumahtangga yang memerlukan seseorang untuk mengurus dan menjaga hal ehwalnya serta mendidik anak-anak tidak dapat dipenuhi. Malah, rumahtangga menjadi tidak terurus. Rumahtangga yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan, pencetus kedamaian, tempat berehat dan berkumpul, kini bertukar menjadi punca masalah dan kacau bilau.
  • Jika rumahtangga dibina atas satu daripada dua rukun yang telah dinyatakan, sudah pasti hak berada di tangan isteri sama ada secara bersama atau bersendirian. Undang-undang ekonomi dan sosial menyatakan, sesiapa yang mengeluarkan belanja, maka dialah yang berkuasa. Dalam perbincangan tajuk telah dinyatakan bahawa terdapat hikmah yang amat besar apabila hak berada di tangan suami.

Nafaqah kepada isteri mempunyai kadar tertentu. Walau bagaimanapun, jumlah dan jenisnya berbeza berdasarkan kemampuan suami. Kedudukan isteri dari segi kekayaan, kemiskinan, keturunan dan lain-lain tidak mempengaruhi kadar tersebut kerana faktor yang diambil kira ialah kemampuan suami. Perkara ini merujuk kepada pemberi nafaqah yang bukan penerimanya. Firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafaqah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafaqah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Melihat kepada dalil-dalil di atas, kami menyatakan bahawa wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin menafkahkan keluarganya dengan segala upaya tanpa berharap kepada pendapatan isteri. Sekurang-kurangnya hendaklah lelaki itu berusaha menyediakan atau menyumbang tempat tinggal yang selamat dengan peralatan-peralatan asas seperti tempat tidur, duduk dan memasak, makanan dan minuman, pakaian yang sesuai dan menutup aurat, dan alat dan bahan kebersihan, untuk isteri dan anak-anaknya. Kegagalan menyediakan atau berusaha membantu keluarga akan merendahkan martabat seorang lelaki yang dipertanggungjawabkan dalam Syarak untuk menjaga keluarganya. Sekiranya seorang lelaki itu enggan dan tidak mahu berusaha menafkahi keluarga dalam keperluan asas, maka isteri memiliki hak untuk menfasakhkan perkahwinan dan itu tidak termasuk perkara dosa. Hal ini berdasarkan hadith daripada Abi Hurairah RA, katanya:

فِي الرَّجُلِ لاَ يَجِدُ مَا يُنْفِقُ عَلَى امْرَأَتِهِ قَالَ يُفَرَّقُ بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Nabi bersabda tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai sesuatu untuk diberi nafaqah kepada isterinya: “Pisahkan mereka berdua.”

Riwayat al-Daraqutni (3/297)

Justeru, kami cenderung menyatakan bahawa hukum suami menjadi suri rumah adalah tidak digalakkan jika tidak diredhai oleh isteri. Namun jika isteri meredhainya, maka itu dibenarkan seperti mana diharuskan untuk suami memakan mahar isteri sekiranya dibenarkan. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Ke-198 : Hukum Suami Menggunakan Mahar Yang Telah Diberikan Kepada Isteri.

Kami mengambil kesempatan di sini untuk menyatakan beberapa perkara:

  • Tindakan Puan membantu keluarga adalah satu tindakan terpuji dan pengorbanan yang wajib diterima kasih oleh suami.
  • Puan juga hendaklah bersyukur kerana masih mempunyai suami yang baik sekalipun beliau diuji tanpa pekerjaan. Ini kerana, ada juga terdapat kemalangan dalam kehidupan berkeluarga apabila suami bukan dari kalangan yang baik.
  • Hendaklah Puan bersabar dalam situasi seperti ini dan sentiasa berbincang dengan penuh harmoni antara suami isteri.
  • Jelaskan yang bahawa matlamat kehidupan adalah mencari mardhatillah dan kebahagiaan dalam hidup. Insya Allah, kabus yang sukar ini akan berlalu pergi berganti dengan cahaya kebahagiaan hidup.
  • Suami hendaklah sentiasa berusaha dan mencuba untuk mencari pekerjaan dalam menafkahkan kepada isteri serta keluarganya.
  • Kehidupan bukanlah sentiasa dalam keadaan tenang tetapi di sana adanya badai yang memerlukan sebuah kebijaksanaan, hikmah, ketenangan dan kecerdikan untuk penyelesaian dalam melayari bahtera kehidupan agar ia selamat dan sejahtera.
  • Banyakkan berdoa kepada Allah semoga dimurahkan rezeki seperti banyakkan istighfar, qiamullail, sedekah dan membantu mereka yang memerlukan.

Saya berdoa kepada Allah agar Puan dan keluarga dapat hidup dengan penuh ketenangan. Semoga rumahtangga Puan menjadi seperti yang diharapkan Baiti Jannati. Jangan lupa membaca doa seperti:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)