Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM HAJI DAN KORBAN SIRI KE-31 : MEMAKAI PAMPERS KETIKA SEDANG BERIHRAM BAGI MENGERJAKAN IBADAH UMRAH

IF HAJI 31

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya dan keluarga akan berangkat menunaikan umrah tak lama lagi. Suami saya adalah OKU (strok) akan bersama-sama menunaikan ibadah umrah InsyaAllah. Suami saya boleh berjalan tetapi tidak segagah seperti orang sihat, ingatannya OK, solat atas kerusi, pertuturannya OK, makan dan minum juga OK. Dia dapat mengurus diri ke tandas. Akan tetapi suami saya menggunakan pampers apabila keluar rumah, hendak ke mana-mana sebab dia tidak lagi gagah untuk berjalan jauh. Perjalanan kami dijadualkan ke Makkah terlebih dahulu. Jadi, persoalan saya :

Bolehkah suami saya memakai pampers semasa dalam ihram dan bolehkah dia memakai seluar dalam bagi mengemaskan pampersnya? Juga, bagaimana sekiranya kain ihramnya terkena air kencing semasa menukar pampersnya? Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan satu hadis daripada Ibn Abbas RA, katanya :

وَقَّتَ رَسُول الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمْ لأهل المدينة ذَا الْحُلَيْفَةِ، وَلأهْلِ الشَّامِ الْجُحْفَةَ، وَلأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ، وَلأَهْلِ الْيَمَنِ يَلَمْلَمَ. وَقَالَ: هُنَّ لَهُنَّ، وَلِمن أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ مِمَّنْ أَرَادَ الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ وَمَنْ كَانَ دُونَ ذَلِكَ فَمِنْ حَيْثُ أَنْشَأَ، حَتَّى أَهْلُ مَكَّةَ مِنْ مَكَّةَ

Maksudnya : “Bahawa Rasulullah SAW menetapkan Zulhulaifah sebagai miqat bagi penduduk Madinah, Juhfah bagi penduduk Syam, Qarnu bagi penduduk Najad, Yalamlam bagi penduduk berkenaan dan penduduk negeri yang lain yang melaluinya untuk mengerjakan haji dan umrah. Sesiapa yang tinggal di kawasan selepas miqat tersebut, berihramlah di tempat dia memulakan perjalanannya, sebagaimana penduduk Makkah berihram di Makkah itu sendiri.” [HR al-Bukhari (2861)]

Kesemua miqat tersebut ialah miqat bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah, yang datang dari luar Makkah. Sementara mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah Haram untuk berihram umrah ke Tanah Halal yang terdekat walaupun selangkah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131)

Larangan semasa ihram

Kemudian, kita juga mesti mengetahui bahawa seseorang yang berada di dalam keadaan berihram perlulah menjaga larangan-larangan yang telah ditetapkan oleh syara’ dan sekiranya melanggar larangan-larangan tersebut, maka individu tersebut akan dikenakan dam mengikut jenis larangan yang telah dilakukan olehnya. Terdapat sedikit perbezaan antara perkara-perkara yang dilarang terhadap lelaki yang berihram dan perempuan yang berihram.

Larangan-larangan bagi orang yang sedang memakai ihram merangkumi 10 perkara. Antaranya ialah larangan memakai pakaian yang berjahit bagi lelaki. (Lihat Nail al-Raja’ bi Syarh Safinah al-Naja’, hlm.206 dan al-Fiqh al-Manhaji, 2/133)

Ibnu Munzir telah menyebut bahawa ulama telah ijma’ terhadap larangan memakai baju, serban, seluar, khuf (stoking kulit) dan baranis (jubah yang ada penutup kepala) bagi orang lelaki yang berihram. (Lihat al-Ijma’, hlm. 63) Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma yang mana seorang lelaki telah datang bertemu Rasulullah SAW dan bertanyakan tentang pakaian apa yang perlu dipakai oleh orang yang sedang berihram dan jawab Baginda SAW :

لاَ يَلْبَسُ الْقُمُصَ وَلاَ الْعَمَائِمَ وَلاَ السَّرَاوِيلاَتِ وَلاَ الْبَرَانِسَ وَلاَ الْخِفَافَ، إِلاَّ أَحَدٌ لاَ يَجِدُ نَعْلَيْنِ فَلْيَلْبَسْ خُفَّيْنِ، وَلْيَقْطَعْهُمَا أَسْفَلَ مِنَ الْكَعْبَيْنِ، وَلاَ تَلْبَسُوا مِنَ الثِّيَابِ شَيْئًا مَسَّهُ الزَّعْفَرَانُ أَوْ وَرْسٌ

Maksudnya : “Jangan dipakai baju, serban, seluar, jubah yang ada penutup kepala, khuf (stoking kulit) kecuali jika seseorang tidak mendapati selipar maka pakailah khuf yang telah dipotong apa yang menutup bahagian buku lali dan janganlah memakai pakaian yang telah terkena za’faran atau wars (sejenis minyak wangi).” [HR al-Bukhari (1542)]

Para ulama turut menyatakan bahawa termasuk dalam kategori larangan tersebut apa yang menyerupainya (pada maknanya) seperti jubah, baju besi, baju (jenis lain) dan yang seumpamanya.  Tidak boleh bagi seorang yang berihram menutupi badannya dengan pakaian yang biasa dipakai (mengikut bentuk badan) dan menutupi anggotanya dengan apa yang biasa dipakai (mengikut bentuk anggota tersebut) seperti baju untuk badan, seluar untuk sebahagian badan, sarung tangan untuk tangan, khuf untuk kaki dan yang seumpamanya. (Lihat al-Mughni, 3/281)

Imam al-Nawawi memberikan penjelasan bahawa diharamkan memakai atau menggunakan pakaian yang mengikut bentuk badan atau anggota disebabkan oleh ia meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut, sama ada pakaian tersebut (dicantumkan) secara jahitan atau tidak seperti baju, seluar, jubah dan lain-lain. (Lihat al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 148-149)

Oleh sebab itu, dilarang bagi lelaki memakai sebarang pakaian yang berjahit yang meliputi (menutupi) mengikut badan atau anggota tersebut seperti singlet, baju dalam atau seluar dalam.

Adapun, sekiranya tidak ada pada pakaian tersebut makna meliputi (menutupi) sebagaimana yang disebutkan, maka tidak mengapa menggunakannya sekalipun ia berjahit seperti menggunakan baju atau jubah sebagai selimut ketika tidur. (Lihat al-Idhoh fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, hlm. 150)

Perkara-perkara yang diharamkan semasa ihram menjadi haram sekiranya ia memenuhi syarat-syarat berikut :

  1. Haram bagi seseorang yang telah ihram melakukan perkara-perkara yang diharamkan, jika dengan sengaja, diketahui haramnya, dengan ikhtiyarnya (pilihan) sendiri serta telah mukallaf.
  2. Tidak haram jika tidak memenuhi syarat di atas.

(Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/307)

 

Memakai cawat atau pampers

Bagi seseorang yang telah lanjut usia atau ada keuzuran, dibenarkan untuk memakai cawat yang tidak bersambung atau berjahit. (Lihat Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, Tabung Haji, hlm. 72) Begitulah juga dengan pampers, kerana ia bukanlah termasuk dalam kategori pakaian berjahit sebagaimana yang telah kita bahaskan di atas.

Selain daripada itu, tidak disyaratkan bagi seseorang yang sedang berihram untuk sentiasa berada dalam keadaan suci melainkan bagi dua perkara, iaitu ketika solat dan tawaf.

Ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW :

لا تُقْبَلُ صَلاةٌ بغيرِ طُهُورٍ

Maksudnya : “Tidak diterima solat seseorang itu sekiranya dia dalam keadaan tidak suci (daripada hadas).”

[HR Muslim (224)]

Manakala mengenai tawaf, Syeikh Daud al-Fatani menyebutkan bahawa antara syarat sah tawaf ialah suci daripada hadas kecil dan besar dan daripada najis yang tidak dimaafkan. (Lihat Matla’ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/282-283) Begitu juga, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji ada menyatakan bahawa bagi syarat sah tawah hendaklah mempunyai semua syarat, sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/140-141)

Hal ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW :

الطَّوَافُ صَلاَةٌ إِلاَّ أَنَّ اللهَ تَعَالَى أَحَلَّ فِيْهِ الكَلاَمَ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فَلاَ يَتَكَلَّمَ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya : “Tawaf adalah sebagaimana solat kecuali Allah SWT membenarkan perbuatan berkata-kata ketika tawaf. Sesiapa bercakap, hendaklah bercakap dengan perkara yang baik-baik.” [HR al-Tirmizi (975)]

Oleh itu, seseorang yang hendak melaksanakan dua ibadah ini (solat dan tawaf) hendaklah memastikan dirinya suci daripada sebarang hadas, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat.

Justeru, bagi mereka yang memakai lampin atau pampers hendaklah menukar lampin atau pampers yang dipakai (sekiranya ada najis) setiap kali hendak melakukan dua ibadah ini (solat dan tawaf) dan memperbaharui wuduk mereka.  Hal ini kerana sekiranya pampers atau lampin itu mempunyai najis, maka ia tidak boleh dibawa mendirikan solat dan tawaf.

Seandainya seseorang itu, benar-benar mengalami kesukaran untuk terlalu kerap ke tandas untuk berwuduk dan bersuci, maka di sini kami ada beberapa cadangan (syor) yang boleh dia lakukan :

  • Dia boleh menjamakkan solatnya (tanpa qasar) iaitu antara solat Zohor dan Asar serta Maghrib dan Isyak. Perkara ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas R.Anhuma, katanya :

صَلّى رَسولُ اللهِ ﷺ الظُّهْرَ والْعَصْرَ جَمِيعًا بالمَدِينَةِ، في غيرِ خَوْفٍ، وَلا سَفَرٍ. قالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذلكَ؟ فَقالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبّاسٍ كما سَأَلْتَنِي، فَقالَ: أَرادَ أَنْ لا يُحْرِجَ أَحَدًا مِن أُمَّتِهِ.

Maksudnya : “Rasulullah SAW mendirikan solat Zohor, dan Asar secara jama’ ketika berada di Madinah, bukan disebabkan oleh takut atau musafir. Abu al-Zubair berkata : Aku bertanya kepada Sa’id kenapa baginda SAW melakukan sedemikian. Sa’id menjawab : Aku bertanya kepada kepada Ibnu Abbas sebagaimana yang engkau bertanya kepada aku, lalu beliau menjawab : Baginda mahu untuk tidak membebankan seorang pun daripada umatnya.” [HR Muslim (705)]

  • Dia boleh memilih untuk solat di hujung waktu bagi solat yang pertama dan awal waktu bagi solat yang kedua. Contohnya, dia solat Zohor akhir waktu dan solat Asar di awal waktu. Ini dapat mengelakkan atau mengurangkan dia daripada perlu terlalu kerap ke tandas dalam masa yang sama dia masih dapat solat dalam waktunya tanpa perlu dijamakkan.

Manakala bagi tawaf, tidak disyaratkan pada tawaf muwalah (berturutan) antara bilangan pusingannya kerana menurut mazhab Syafie hukumnya hanyalah sunat sekalipun dia melakukannya banyak kali tanpa sebarang keuzuran. Begitu juga, sekiranya dia memisahkannya dalam tempoh yang panjang (lama) juga tidak membatalkan tawafnya yang sebelumnya (bilangan yang telah dilakukan), akan tetapi hukumnya adalah makruh. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 2/353)

Justeru, tidak ada masalah sekiranya seseorang itu mengambil sedikit masa bagi menyelesaikan ibadah tawafnya disebabkan perlu bersuci (mengambil wuduk) atau ke tandas bagi membersihkan dirinya.

Ini adalah sekiranya dia bukan daripada orang yang Daim al-Hadath iaitu seseorang yang sentiasa berhadas dan hadasnya tidak terputus dalam waktu solat sekadar dalam masa yang membolehkan dia bersuci dan bersolat.

Sekiranya jemaah haji atau umrah tersebut merupakan seseorang yang Daim al-Hadath dia dinasihatkan untuk menerima pakai pandangan muqabil al-Asoh demi mengelakkan masyaqqah iaitu tidak perlu bersuci sekiranya najis yang keluar tidak meleleh melampaui alat penahan seperti tuala wanita atau seumpamanya, malah memadai dengan memeperbaharui wuduk sahaja. (Lihat Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-32, Kertas Kerja Pertama, hlm. 1)

Kesimpulannya

Tuntasnya, setelah kami meneliti pandangan para ulama serta dalil-dalil mereka, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :

  • Tidak dibenarkan memakai seluar dalam bagi lelaki ketika sedang berihram kerana ia termasuk dalam larangan pakaian berjahit.
  • Dibolehkan memakai cawat atau pampers bagi mereka yang memerlukan (ada keuzuran), dengan syarat ia tidak bersambung atau berjahit (mengikut bentuk anggota atau badan) sebagaimana yang telah ditakrifkan oleh para ulama.
  • Bagi ibadah umrah dan haji tidak disyaratkan bagi sahnya ibadah tersebut perlunya sentiasa berada dalam keadaan suci melainkan untuk dua perkara iaitu solat dan tawaf. Hendaklah dia pastikan dirinya berada dalam keadaan suci. Begitu juga, pakaian serta pampers atau cawat yang dipakainya bersih daripada sebarang najis sebelum melaksanakan ibadah berkenaan.

Semoga Allah SWT memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memahami agamaNya serta mengamalkan syariahNya dengan sebaik mungkin.