SOALAN:
Bolehkah ibadah korban dilakukan menggunakan lembu yang testisnya satu sahaja? Adakah dikira sebagai lembu haiwan yang cacat? Mohon penjelasan dari pihak Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Tq.
RINGKASAN JAWAPAN:
Kecacatan pada testis haiwan tidaklah termasuk dalam kategori kecacatan haiwan yang menghalang pelaksanaan ibadah korban pada haiwan itu, kerana kecacatan ini tidak mengurangkan daging haiwan tersebut. Justeru, lembu yang mempunyai kecacatan pada testis ini dikira sah dan boleh untuk dijadikan sebagai haiwan korban.
HURAIAN JAWAPAN:
Kita disunatkan untuk melaksanakan ibadah korban dengan memilih haiwan-haiwan yang terbaik dan sempurna fizikalnya. Pemilihan haiwan-haiwan korban yang baik dan sempurna adalah satu bentuk manifestasi dalam membesarkan syiar Allah SWT ketika melaksanakan ibadah korban,[1] seperti firman Allah SWT:
ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ
Terjemahan: " Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin "
(Surah al-Hajj: 32)
Kecacatan Yang Tidak Dibolehkan Untuk Ibadah Korban
Di dalam sebuah hadis, al-Bara' bin 'Azib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menjelaskan mengenai kecacatan-kecacatan haiwan yang tidak boleh dijadikan sebagai haiwan korban dalam sabda Baginda SAW seperti berikut:
أَرْبَعٌ لَا تَجُوزُ فِي الْأَضَاحِيِّ: الْعَوْرَاءُ الْبَيِّنُ عَوَرُهَا، وَالْمَرِيضَةُ الْبَيِّنُ مَرَضُهَا، وَالْعَرْجَاءُ الْبَيِّنُ ضَلْعُهَا، وَالْكَسِيرُ الَّتِي لَا تُنْقِي
Terjemahan: "Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban: iaitu haiwan yang buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang terlalu kurus sehingga tidak ada sum-sum pada tulangnya"
(Riwayat Abu Daud)
Berdasarkan kepada hadis ini, para fuqaha bersepakat bahawa haiwan yang hendak dikorbankan mestilah tidak mempunyai kecacatan yang jelas dan ketara.[2] Namun begitu, para fuqaha juga turut berbeza pandangan dalam memperincikan bentuk-bentuk kecacatan haiwan yang tidak boleh dijadikan sebagai haiwan korban.
Imam al-Nawawi meletakkan parameter kecacatan haiwan yang tidak dibolehkan untuk dikorbankan adalah pada kecacatan yang jelas kelihatan, dan kecacatan yang mengurangkan daging haiwan korban tersebut.[3] Berdasarkan parameter ini, Imam al-Nawawi menyenaraikan kecacatan haiwan yang tidak boleh dikorbankan seperti berikut:[4]
- Haiwan yang sangat kurus.
- Haiwan yang gila, sehingga menyebabkan haiwan tersebut dalam keadaan kurus kerana tidak meragut rumput.[5]
- Haiwan yang terputus sebahagian telinga, kerana kecacatan ini akan menyebabkan kekurangan daging yang boleh dimakan.[6]
- Haiwan yang tempang, mengalami masalah penglihatan, sakit, atau berkudis, iaitu kecacatan-kecacatan tersebut tampak ketara. Namun jika kecacatan itu terlalu sedikit yang tidak mengurangkan daging dengan ketara, maka haiwan tersebut sah dan boleh dijadikan sebagai haiwan korban.[7]
Begitu juga sah untuk dikorbankan haiwan yang mengalami kecacatan sedikit yang tidak menyebabkan kekurangan dagingnya, seperti haiwan yang tiada tanduk, koyak telinganya, atau seumpamanya, selagi kecacatan tersebut tidak memberi kesan terhadap dagingnya.[8]
Hukum Ibadah Korban Menggunakan Binatang Yang Tidak Mempunyai Testis
Di antara kecacatan yang boleh berlaku pada haiwan-haiwan juga adalah kecacatan yang dikenali sebagai cryptorchidism, iaitu satu keadaan haiwan yang sejak lahir mengalami kecacatan pada kedua-dua testis, atau salah satunya yang tidak turun ke bahagian skrotum. Keadaan ini boleh berlaku disebabkan faktor genetik dan juga faktor persekitaran.[9] Haiwan yang mengalami kecacatan sebegini akan menyebabkan kemandulan, dan kedua-dua atau salah satu testisnya akan tidak kelihatan.
Di dalam permasalahan ini, Imam Ibn Hajar al-Haythami menjelaskan bahawa binatang yang mempunyai kecacatan pada testisnya tidak menjadi halangan untuk dikorbankan, kerana kecacatan dari sudut ini tidak mengurangkan daging haiwan tersebut, bahkan menambahkan lagi isi dagingnya.[10]
Oleh kerana kecacatan pada testis haiwan ini tidak memberi kesan pada kurangnya daging haiwan tersebut, dan kecacatan ini bukan dari kategori kecacatan yang jelas boleh kelihatan, maka kecacatan ini tidak dikategorikan sebagai kecacatan yang menyebabkan haiwan tersebut tidak boleh dijadikan haiwan korban. Justeru, lembu yang mempunyai kecacatan pada testis ini dikira sah dan boleh untuk dijadikan sebagai haiwan korban.
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penjelasan dan perincian di dalam artikel ini, maka perkara-perkara berikut boleh dirumuskan sebagai kesimpulan:
- Kita disunatkan untuk melaksanakan ibadah korban dengan memilih haiwan-haiwan yang terbaik dan sempurna fizikalnya.
- Para fuqaha bersepakat bahawa haiwan yang hendak dikorbankan mestilah tidak mempunyai kecacatan yang jelas dan tampak ketara.
- Kategori kecacatan haiwan yang tidak mengabsahkan ibadat korban ialah kecacatan yang jelas kelihatan dan mengurangkan daging haiwan tersebut.
- Kecacatan pada testis haiwan tidaklah termasuk dalam kategori kecacatan haiwan yang menghalang pelaksanaan ibadah korban pada haiwan tersebut.
WaLlahu A’lam.
Rujukan:
[1] Ibn Qudamah al-Maqdisi (1985), al-Mughni. Lubnan: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabiy, 9:348.
ويسن استسمان الأضحية واستحسانها ; لقول الله تعالى : { ذلك ومن يعظم شعائر الله فإنها من تقوى القلوب } . قال ابن عباس : تعظيمها استسمانها واستعظامها واستحسانها .
[2] Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf (1392H), al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj. Beirut: Dar Ihya' al-Turath al-'Arabiy, 13:120.
وَأَجْمَعُوا عَلَى اسْتِحْبَابِ اسْتِحْسَانِهَا وَاخْتِيَارِ أَكْمَلِهَا وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّ الْعُيُوبَ الْأَرْبَعَةَ الْمَذْكُورَةَ فِي حَدِيثِ الْبَرَاءِ وهو المرض والعجف والعور والعرج البين لاتجزى التضحية بها وكذا ماكان فِي مَعْنَاهَا أَوْ أَقْبَحَ كَالْعَمَى وَقَطْعِ الرِّجْلِ وَشِبْهِهِ
[3] Al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf (2005). Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Beirut: Dar al-Fikr, 320.
وشرطها سلامة من عيب ينقص لحما...ولا يضر يسيرها ...
[4] Ibid.
فلا تجزىء عجفاء ومجنونة ومقطوعة بعض إذن وذات عرج وعور ومرض وجرب بين ولا يضر يسيرها ولا فقد قرون وكذا شق الإذن وخرقها في الأصح. قلت: الصحيح المنصوص يضر يسير الحرب.
[5] Shams al-Din Muhammad al-Khatib al-Shirbiniy (1994), Mughni al-Muhtaj ila Ma'rifah Ma'ani al-Minhaj, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 6:128.
(وَ) لَا (مَجْنُونَةٌ) وَهِيَ الَّتِي تَدُورُ فِي الْمَرْعَى وَلَا تَرْعَى إلَّا قَلِيلًا فَتَهْزُلُ، وَتُسَمَّى أَيْضًا التَّوْلَاءَ
[6] Ibid.
(وَ) لَا (مَقْطُوعَةُ بَعْضِ أُذُنٍ) وَإِنْ كَانَ يَسِيرًا لِذَهَابِ جُزْءٍ مَأْكُولٍ.
[7] Ibid.
(وَلَا يَضُرُّ يَسِيرُهَا) أَيْ يَسِيرُ الْأَرْبَعِ لِعَدَمِ تَأْثِيرِهِ فِي اللَّحْمِ.
[8] Ibid.
(وَلَا) يَضُرُّ (فَقْدُ قَرْنٍ) خِلْقَةً، وَتُسَمَّى الْجَلْحَاءَ، وَلَا كَسْرُهُ مَا لَمْ يَعِبْ اللَّحْمَ، وَإِنْ دَمِيَ - بِالْكَسْرِ - لِأَنَّ الْقَرْنَ لَا يَتَعَلَّقُ بِهِ كَبِيرُ غَرَضٍ، فَإِنْ عِيبَ اللَّحْمُ ضَرَّ كَالْجَرَبِ وَغَيْرِهِ... (وَكَذَا) لَا يَضُرُّ (شَقُّ أُذُنٍ وَ) لَا (خَرْقُهَا وَ) لَا (ثَقْبُهَا فِي الْأَصَحِّ) بِشَرْطِ أَنْ لَا يَسْقُطَ مِنْ الْأُذُنِ شَيْءٌ بِذَلِكَ كَمَا عُلِمَ مِمَّا مَرَّ؛ لِأَنَّهُ لَا يَنْقُصُ بِذَلِكَ مِنْ لَحْمِهَا شَيْءٌ
[9] Ahmed Tibary (2021), Male Genital Abnormalities of Animals. Diakses pada 23 Mei 2024: https://www.merckvetmanual.com/reproductive-system/congenital-and-inherited-anomalies-of-the-reproductive-system/male-genital-abnormalities-of-animals
[10] Ibn Hajar al-Haythami (2000), al-Minhaj al-Qawim Sharh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 308.
ولا يؤثر فوات خصية وقرن لأنه لا ينقص اللحم بل الخصاء يزيده