Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-86: MEWAKILKAN ORANG LAIN UNTUK MELONTAR JAMRAH BAGI YANG TIDAK MAMPU

MEWAKILKAN_ORANG_LAIN_UNTUK_MELONTAR_JAMRAH_BAGI_YANG_TIDAK_MAMPU.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya kalau saya sakit dan tidak mampu untuk pergi melontar hari tasyriq, adakah saya boleh wakilkan orang lain?

Ringkasan Jawapan

  1. Orang yang sakit tiada harapan untuk sembuh sebelum terbenam matahari 13 Zulhijjah wajib untuk mewakilkan orang lain untuk melontar jamrah.
  2. Wakil tersebut mestilah melontar jamrah untuk dirinya dahulu, kemudian baru melakukan lontaran yang diwakilkan kepadanya.
  3. Jika orang yang sakit tersebut sembuh sebelum tamat waktu melontar, dia tidak wajib mengulangi lontaran yang sudah dilakukan oleh wakil, namun wajib melakukan lontaran yang belum dilakukan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Melontar tiga jamrah pada hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah merupakan salah satu perkara wajib dalam ibadah haji. Jika ia tidak dilakukan, haji seseorang itu tetap sah, namun dikenakan dam dan berdosa jika ditinggalkan tanpa uzur[1].

Waktu melontar mengikut pandangan muktamad mazhab syafi'i bermula dari gelincir matahari iaitu apabila masuk waktu Zohor pada setiap hari tasyriq tersebut dan berakhir apabila terbenam matahari 13 Zulhijjah iaitu seperti yang berikut:

  1. Waktu melontar 11 Zulhijjah bermula dengan masuknya waktu zohor 11 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah
  2. Waktu melontar 12 Zulhijjah bermula dengan masuknya waktu zohor 12 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah
  3. Waktu melontar 13 Zulhijjah bermula dengan masuknya waktu zohor 13 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah[2].

Walau bagaimanapun, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan tidak mengambil pandangan ini, sebaliknya mengambil pendapat kedua mazhab syafi'i yang mengatakan bahawa waktu melontar bermula apabila masuk waktu subuh pada hari-hari tasyriq tersebut sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah. Hal ini demi maslahat jemaah haji yang menghadapi kesesakan yang teruk jika ia dilakukan selepas zohor.

Dengan yang demikian, jika seseorang itu tidak melakukan lontaran pada hari pertama, dia boleh melakukannya pada hari seterusnya selagi belum tamat waktu melontar dengan syarat mesti mengikut urutan iaitu dimulakan dengan lontaran untuk hari pertama dahulu, kemudian lontaran hari kedua dan ketiga.

Sebagaimana manasik haji yang lain, melontar jamrah ini wajib dilakukan oleh diri sendiri dan tidak sah untuk dilakukan oleh orang lain melainkan apabila orang tersebut uzur seperti ditimpa sakit yang menyebabkan dia tidak boleh pergi melontar sendiri. Kata Imam al-Nawawi:

الْعَاجِزُ عَنِ الرَّمْيِ بِنَفْسِهِ لِمَرَضٍ أَوْ حَبْسٍ، يَسْتَنِيبُ مَنْ يَرْمِي عَنْهُ

Maksudnya: “Orang yang tidak mampu untuk melontar sendiri disebabkan sakit atau sekatan, hendaklah dia wakilkan kepada orang lain untuk melontar bagi pihaknya.”

Seterusnya, Imam al-Nawawi juga telah menjelaskan lebih lanjut tentang sakit yang mengharuskan untuk wakilkan orang lain, kata beliau:

وَإِنَّمَا تَجُوزُ النِّيَابَةُ لِعَاجِزٍ بِعِلَّةٍ لَا يُرْجَى زَوَالُهَا قَبْلَ خُرُوجِ وَقْتِ الرَّمْيِ

Maksudnya: “Mewakilkan orang lain (untuk melontar itu) hanya diharuskan bagi orang yang tidak mampu kerana sakit yang tiada harapan untuk sembuh sebelum tamat waktu melontar.”

Menurut Sheikh Muhammad al-Zuhaili, orang yang ditimpa sakit yang tiada harapan sembuh sebelum waktu terakhir melontar iaitu terbenam matahari 13 Zulhijjah wajib mewakilkan orang lain untuk melakukan lontaran bagi pihaknya sama ada dengan upah atau tanpa upah[3]. Wakil tersebut wajib melakukan lontaran untuk dirinya dahulu sebelum melontar bagi pihak orang yang mewakilkan dirinya[4].

Di samping itu, jika seseorang itu telah mewakilkan orang lain untuk melontar jamrah kerana sakit, kemudian ditakdirkan dia kembali sihat sebelum tamat waktu melontar, maka dia wajib untuk melakukan sendiri lontaran yang belum dilakukan oleh wakil, manakala lontaran yang telah dilakukan oleh wakil sunat untuk diulangi semula[5]. Tambahan pula, disunatkan untuk orang yang ingin mewakilkan orang lain untuk menyerahkan sendiri batu-batu kepada wakil tersebut sambil bertakbir.[6]

Kesimpulan

Orang yang sakit tiada harapan sembuh sebelum terbenam matahari 13 Zulhijjah wajib mewakilkan orang lain untuk melontar jamrah.

Wakil tersebut mestilah melontar jamrah untuk dirinya dahulu, kemudian baru melakukan lontaran yang diwakilkan kepadanya.

Jika orang yang sakit tersebut sembuh sebelum tamat waktu melontar, dia tidak wajib mengulangi lontaran yang sudah dilakukan oleh wakil, namun wajib melakukan lontaran yang belum dilakukan.

WaAllahua’lam.

 

Rujukan:

[1] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Idhah fi Manasiki al-Hajji wa al-‘Umrah, (Beirut: Dar al-Basha’ir al-Islamiyyah, 1994), 377

وَأَما الْوَاجِبَاتُ: فَمَنْ تَرَكَ مِنْهَا شَيْئاً لَزِمَهُ دَمٌ وَيَصِحُّ الْحَجُّ بِدُونِهِ سَوَاءٌ تَرَكَهَا عَمْداً أوْ سَهْواً لكِنَّ الْعَامِدَ يأثَمُ إِذَا قُلْنَا إِنَّهَا وَاجِبةٌ

[2] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, Al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah, (Tarim: Dar al-Mirath al-Nabawiyyah, 2003), 496.

وقته: من زوال كلّ يوم من أيام التشريق إلى غروب شمس البوم الثالث عشر، فيدخل رمي اليوم الأولي (11): من زوال شمسه ويستمر إلى أخر أيام التفريق، ويدخل رمي اليوم الثاني: (12) من زوال شمسه ويستمر إلى آخر أيام التشريق، ويدخل رمي اليوم الثالث (31) من زوال شمسه إلى غروبها، فيختلفون في وقت الدخولَ ويتفقونَ في وقت المخرج.

[3] Muhammad al-Zuhaili, Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafi’I, (Damsyik: Dar al-Qalam, 2011), 2:388

من عجز عن الرمي لعلة لا يرجى زوالها قبل فوت الرمي كمرض أو حبس، استناب من يرمي عنه وجوبا

[4] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991), 3:115.

وَلَا يَصِحُّ رَمْيُ النَّائِبِ عَنِ الْمُسْتَنِيبِ إِلَّا بَعْدَ رَمْيِهِ عَنْ نَفْسِهِ

[5] Ali bin Muhammad bin Muhammad al-Baghdadi al-Mawardi, Al-Hawi al-Kabir fi Fiqhi Mazhabi al-Imam al-Shafi’I, (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah), 4:204

وَإِنْ صَحَّ فِي أَيَّامِ مِنًى وَجَبَ عَلَيْهِ أَنْ يَرْمِيَ مَا بَقِيَ مِنَ الرَّمْيِ وَيُسْتَحَبُّ لَهُ أَنْ يُعِيدَ مَا رُمِيَ عَنْهُ لِيَكُونَ مُبَاشِرًا لَهُ فِي وَقْتِهِ وَلَا يَجِبَ عَلَيْهِ

[6] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 3:115.

وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يُنَاوِلَ النَّائِبَ الْحَصَى إِنْ قَدَرَ، وَيُكَبِّرُ هُوَ.