Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-87: HUKUM CACAT CELA PADA HAIWAN YANG TELAH DINAZAR UNTUK KORBAN

HUKUM_CACAT_CELA_PADA_HAIWAN_YANG_TELAH_DINAZAR_UNTUK_KORBAN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya telah bernazar untuk korbankan seekor kambing milik saya untuk Aidiladha tahun ini. Kemudian kambing tersebut telah terkena penyakit yang menyebabkan kakinya tempang. Adakah saya boleh sembelih kambing tersebut untuk korban nazar itu atau saya kena beli kambing lain?

Ringkasan Jawapan

Jika seseorang itu telah menetapkan haiwan yang tertentu (ta’yin) dengan berkata “aku menjadikan haiwan ini sebagai korban” atau telah bernazar untuk menjadikan haiwan yang tertentu sebagai korban kemudian berlaku kecacatan pada haiwan tersebut, maka hukumnya sah untuk ia dijadikan korban dan tidak perlu diganti dengan haiwan lain.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Para ulama berijmak bahawa disunatkan untuk memilih haiwan yang terbaik dan paling sempurna untuk dijadikan korban. Mereka juga bersepakat bahawa haiwan yang dijadikan korban mestilah tidak ada sebarang aib atau cacat cela yang ketara seperti yang buta mata, mempunyai sakit yang ketara, ketara tempang kakinya dan yang kurus kering[1]. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bara’ ibn al-‘Azib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أربعٌ لا تجوزُ في الأضاحي العوراءُ البيِّنُ عَوَرُها والمريضةُ البيِّنُ مرَضُها والعرجاءُ البيِّنُ ظَلَعُها والكسيرةُ التي لا تُنقِي

Maksudnya: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban iaitu binatang yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya”.

(Riwayat Abu Daud)

Kecacatan-kecacatan yang memberi kesan kepada sah atau tidak binatang korban telah diperincikan dalam artikel berikut:

i. Irsyad Al-Fatwa Khas Haji Dan Korban Siri Ke - 67 : Adakah Sah Haiwan Sembelihan Korban Yang Ditebuk Telinganya?[2]

ii. Irsyad Fatwa Haji Dan Korban Siri Ke- 44 : Adakah Sah Haiwan Sembelihan Korban Yang Buta?[3]

iii. Irsyad Al-Fatwa Khas Haji Dan Korban Siri Ke – 64 : Adakah Sah Haiwan Korban Yang Terpatah Tanduk?[4]

Walau bagaimanapun, para ulama mengecualikan syarat ini dalam keadaan apabila kecacatan itu berlaku selepas seseorang telah menetapkan haiwan yang tertentu (ta’yin) dengan berkata “aku menjadikan haiwan ini sebagai korban” atau telah bernazar untuk menjadikan haiwan yang tertentu itu sebagai korban. Dalam hal ini, Imam An-Nawawi ada mengatakan:

لَوْ قَالَ: جَعَلْتُ هَذِهِ الشَّاةَ ضَحِيَّةً، أَوْ نَذَرَ التَّضْحِيَةَ بِشَاةٍ مُعَيَّنَةٍ، فَحَدَثَ بِهَا قَبْلَ وَقْتِ التَّضْحِيَةِ عَيْبٌ يُمْنَعُ ابْتِدَاءُ التَّضْحِيَةِ، لَمْ يَلْزَمْهُ شَيْءٌ بِسَبَبِهِ كَتَلَفِهَا. وَلَا تَنْفَكُّ هِيَ عَنْ حُكْمِ الْأُضْحِيَّةِ، بَلْ تُجْزِئُهُ عَنِ التَّضْحِيَةِ، وَيَذْبَحُهَا فِي وَقْتِهَا[5]

Maksudnya: “Jika seseorang itu mengatakan: “Aku menjadikan kambing ini sebagai korban” atau dia bernazar untuk berkorban dengan seekor kambing tertentu, kemudian terjadi kecacatan yang menghalang korban dilakukan sebelum waktu korban, maka dia tidak dikenakan apa-apa atas sebab itu sebagaimana juga apabila haiwan tersebut mati, dan kambing tersebut juga tidak gugur daripada hukum korban. Bahkan ia sah sebagai korban dan dia boleh menyembelihnya pada waktu korban”

Kesimpulan

Jika seseorang itu telah menetapkan haiwan yang tertentu (ta’yin) dengan berkata “aku menjadikan haiwan ini sebagai korban” atau telah bernazar untuk menjadikan haiwan yang tertentu sebagai korban kemudian berlaku kecacatan pada haiwan tersebut, maka hukumnya sah untuk ia dijadikan korban dan tidak perlu diganti dengan haiwan lain.

WaAllahua’lam

 

Rujukan: 

[1] Yahya Ibn Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, (Beirut: Dar al-Ihya al-Turath al-‘Arabiy, t.t) 13:120.

‌وَأَجْمَعُوا عَلَى اسْتِحْبَابِ اسْتِحْسَانِهَا وَاخْتِيَارِ أَكْمَلِهَا ‌وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّ الْعُيُوبَ الْأَرْبَعَةَ الْمَذْكُورَةَ فِي حَدِيثِ الْبَرَاءِ وهو المرض والعجف والعور والعرج البين لاتجزى التضحية

[2] https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-haji-korban-cat/5335-irsyad-al-fatwa-khas-haji-dan-korban-siri-ke-67-adakah-sah-haiwan-sembelihan-korban-yang-ditebuk-telinganya#_ftn1

[3] https://www.muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-haji-korban-cat/4872-irsyad-fatwa-haji-dan-korban-siri-ke-44-adakah-sah-haiwan-sembelihan-korban-yang-buta?fbclid=IwAR1Bfc9BsC5NQLPu_Iroo1fjhwPiQ71Ooh_inSRtxdlG8865Gp0-au2C3h0

[4] http://103.233.160.120/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-haji-korban-cat/5332-irsyad-al-fatwa-khas-haji-dan-korban-siri-ke-64-adakah-sah-haiwan-korban-yang-terpatah-tanduk

[5] Yahya bin Sharaf al-Nawawi, Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islami, 1991), 3:216.