SOALAN
Assalamualaikum. Saya pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan Hemodialisis secara berkala, namun saya sangat teringin untuk menunaikan ibadah haji. Soalan saya, apakah status kewajipan saya menunaikan haji, adakah ia tetap wajib atau bagaimana?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Tidak wajib ke atas pesakit yang mengidap penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang untuk menunaikan haji. Walau bagaimanapun, mereka masih diwajibkan untuk melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan dari sudut kewangan.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ
Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.
(Surah Ali Imran: 97)
Imam al-Nawawi menerangkan tentang maksud istita’ah (kemampuan) tersebut merangkumi lima perkara iaitu mempunyai kenderaan, bekalan atau kewangan yang mencukupi, aman dalam perjalanan, sihat tubuh badan dan mampu untuk sampai dalam masa haji. Hal ini sepertimana yang disebutkan dalam kitab Raudhah al-Talibin bahawa:
الِاسْتِطَاعَةُ نَوْعَانِ: اسْتِطَاعَةُ مُبَاشَرَةٍ بِنَفْسِهِ، وَاسْتِطَاعَةُ تَحْصِيلِهِ بِغَيْرِهِ. فَالْأُولَى تَتَعَلَّقُ بِخَمْسَةِ أُمُورٍ: الرَّاحِلَةُ، وَالزَّادُ، وَالطَّرِيقُ، وَالْبَدَنُ، وَإِمْكَانُ السَّيْرِ.
Maksudnya: Istita’ah (kemampuan melaksanakan haji) ada dua jenis: Pertama, kemampuan secara langsung dan kedua kemampuan dengan bantuan orang lain. Justeru bagi jenis pertama, ia merangkumi lima perkara iaitu kemampuan dari sudut kenderaan, bekalan, aman dalam perjalanan, sihat tubuh badan dan mampu sampai padanya.[1] (Rujuk Raudhah al-Talibin, 3:4)
Berdasarkan pernyataan di atas, ia menunjukkan bahawa kesihatan tubuh badan merupakan salah satu daripada syarat kemampuan untuk melaksanakan haji. Oleh yang demikian, sesiapa yang menghidapi penyakit kronik yang tidak memungkin mereka untuk pergi menunaikan haji, maka tiada kewajipan ke atas mereka. Ini kerana mereka tidak dikira sebagai golongan yang berkemampuan.
Hal ini juga sepertimana diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada kali ke-84, bahawa:
- Pesakit yang mengidap penyakit kronik yang tidak ada harapan sembuh seperti pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis dan seumpamanya tidak wajib menunaikan ibadah haji;
- Pesakit kronik adalah wajib melaksanakan badal haji sekiranya berkemampuan daripada sudut kewangan; dan
- Sekiranya telah sembuh daripada sakit kronik, individu tersebut wajib menunaikan ibadah haji jika berkemampuan.
- Kertas ini akan dibawa ke Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk dibincangkan.
Kesimpulan
Pesakit yang mengidap penyakit kronik antaranya pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan hemodialisis secara berkala, tidak diwajibkan ke atas mereka untuk melaksanakan ibadah haji.
Sebaliknya, mereka diwajibkan melaksanakan badal haji jika berkemampuan dari sudut kewangan.
WaAllahu a’lam.
[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Raudhah al-Talibin wa Umdah al-Muftīn, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 1991), jld. 3, hlm. 4.