Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-89: HUKUM MEMAKAI NIQAB KETIKA MELAKUKAN TAWAF SUNAT

HUKUM_MEMAKAI_NIQAB_KETIKA_MELAKUKAN_TAWAF_SUNAT.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya berkenaan tawaf sunat. Persoalan saya, adakah boleh memakai niqab ketika melakukan tawaf sunat? Harap sudi menjawab persoalan ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum wanita memakai niqab ketika melakukan tawaf sunat boleh disimpulkan dalam dua keadaan. Pertama, jika dia memakainya tanpa keperluan maka hukumnya adalah makruh. Kedua, jika dia memakainya kerana sesuatu keperluan seperti melindungi wajahnya daripada dilihat oleh lelaki ajnabi atau sebagainya maka hukumnya adalah harus.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj :29)

Tawaf merupakan ibadah yang mempunyai syarat-syarat yang wajib dipenuhi. Sekiranya ia tidak dipenuhi, maka ibadah tawaf menjadi tidak sah. Dalam menjawab persoalan yang diajukan, maka amat penting untuk difahamkan terlebih dahulu syarat-syarat sahnya sesuatu tawaf.

Syarat-Syarat Sah Tawaf

Berdasarkan ulasan Syeikh Zain bin Ibrahim Sumait dalam al-Taqrirat al-Sadidah berkenaan dengan syarat-syarat tawaf maka dapat disimpulkan seperti berikut:[1]

  1. Menutup aurat.
  2. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian dan tempat tawaf.
  3. Kedudukan kaabah mestilah di sebelah kiri.
  4. Permulaan ibadah tawaf bermula dari hajarul aswad. Mestilah merangkumi keseluruhan badan ketika permulaan tawaf di hajarul aswad, jika sebaliknya maka tidak sah tawafnya.
  5. Mestilah mencukupi tujuh pusingan. Sekiranya syak pada bilangannya maka ambillah bilangan yang sedikit seperti solat.
  6. Melakukan tawaf di dalam masjid. Sekiranya di luar kawasan masjid maka batal tawafnya. Sah sekiranya pada tingkat kedua dan sutuh (bumbung) masjid. Ini merupakan ijmak ulama.
  7. Mestilah diluar kawasan kaabah, Syazarwan dan Hijr Ismail. Disyaratkan melakukan tawaf di luar kawasan kaabah dengan keseluruhan anggota badannya.

Jika dilihat pada rumusan syarat tawaf di atas, disebutkan bahawa seseorang yang ingin melakukan tawaf mestilah menutup aurat.

Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili disyaratkan menutup aurat ketika tawaf ini sama sepertimana syarat sah bagi menunaikan solat.[2] Dalam hal ini, dapat difahami bahawa menutup aurat yang dimaksudkan ialah meliputi seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua telapak tangan.

Oleh itu, memakai niqab tanpa keperluan ketika melakukan tawaf sunat dalam keadaan bukan berihram hukumnya adalah makruh. Perkara ini sebagaimana yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj di bawah tajuk sunat-sunat tawaf bahawa makruh wanita memakai niqab ketika melakukan tawaf.[3] Namun jika ada keperluan seperti mengelakkan daripada dipandang lelaki ajnabi maka hukumnya adalah harus.[4]

Kesimpulan

Hukum wanita memakai niqab ketika melakukan tawaf sunat boleh disimpulkan dalam dua keadaan.

  1. Jika dia memakainya tanpa keperluan maka hukumnya adalah makruh. Kedua,
  2. Jika dia memakainya kerana sesuatu keperluan seperti menjaga wajahnya daripada dilihat lelaki ajnabi atau sebagainya maka hukumnya adalah harus.

Wallahuaʻlam.

Rujukan:

[1] Hasan bin Ahmad al-Kaff, al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah – Qism al-‘Ibadat (al-Riyad: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003), 480-481.

شروط الطواف : عشرة :

(۱) سَتْرُ العورة .

(۲) الطهارة عن الحدثين، فلو لمسته امرأة أجنبية بطل وضوؤه وبطل طوافه، وذلك عسير في الزحام، فلا بأس بتقليد الإمام مالك في ذلك، فعَلَيْهِ - عندما يتوضأ - أن يدلك أعضاءه ويمسح جميع رأسه .

(۳) الطهارة عن النجاسة في الثوب والبدن والمكان .

(٤) جَعْلُ البيت عن يساره ولو محمولاً، والحكمة في ذلك : ليكون البيت في جهة القلب .

(٥) الابتداء من الحجر الأسود.

(٦) محاذاة الحجر بجميع بدنه، فإذا بدأ مِنَ الحجر، مُقدِّماً جُزءاً من بدنه عليه إلى جهة الباب فلا يصح لعدم المحاذاة بجميع البدن .

(۷) كونه سبعاً يقينا.

(۸) كونه داخل المسجد.

(۹) كونه خارج البيت والشاذروان وحجر إسماعيل.

(١٠) عدم صرفه لغيره، كأن مشى مسرعاً ليرى صاحبه، ولا يضر التشريك في النية.

[2] Muhammad al-Zuhaili, al-Muʻtamad fi al-Fiqh al-Syafiʻi (Dimasyq: Dar al-Qalam, 2013), jld. 2: hlm. 344.

يشترط في الطواف ما يشترط لصحة الصلاة ، ومن ذلك ستر العورة، وذلك كسترها في الصلاة بالنسبة للرجل والمرأة،

[3] Al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj ila Maʻrifah Maʻani Alfaz al-Minhaj (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994), jld. 2: hlm. 252.

وَيُكْرَهُ أَنْ يُبْصَقَ فِيهِ، وَأَنْ يَجْعَلَ يَدَيْهِ وَرَاءَ ظَهْرِهِ مُكْتَنِفًا، وَأَنْ يَضَعَ يَدَهُ عَلَى فَمِهِ إلَّا فِي حَالَةِ التَّثَاؤُبِ فَإِنَّ ذَلِكَ يُسْتَحَبُّ، وَأَنْ يُشَبِّكَ أَصَابِعَهُ أَوْ يُفَرْقِعَهَا، وَأَنْ يَكُونَ حَاقِنًا أَوْ حَاقِبًا أَوْ بِحَضْرَةِ طَعَامٍ تَتُوقُ إلَيْهِ نَفْسُهُ، وَأَنْ تَكُونَ الْمَرْأَةُ مُنْتَقِبَةً وَيُكْرَهُ فِيهِ الْأَكْلُ وَالشُّرْبُ وَكَرَاهَةُ الشُّرْبِ أَخَفُّ

[4] ‘Abd al-Hamid al-Syirwani, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyai al-Syirwani wa al-‘Abbadi (t.tp.: t.p, 1983), jld. 4: hlm. 94.

وَكَوْنُ الْمَرْأَةِ مُنْتَقِبَةً وَلَيْسَتْ مُحْرِمَةً وَيَظْهَرُ حَمْلُهُ عَلَى تَنْقِيبٍ بِلَا حَاجَةٍ بِخِلَافِهِ لَهَا كَوُجُودِ مَنْ يَحْرُمُ نَظَرُهُ إلَيْهَا