Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-90: ADAKAH PERLU BAGI JEMAAH HAJI MENGERJAKAN SOLAT SUNAT AIDILADHA?

ADAKAH_PERLU_BAGI_JEMAAH_HAJI_MENGERJAKAN_SOLAT_SUNAT_AIDILADHA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Mufti. Di sini saya ada sedikit soalan berkenaan solat sunat Aidiladha. Sebagai mana yang diketahui, solat sunat aidiladha dilakukan pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun. Jadi adakah solat ini perlu dikerjakan oleh umat Islam yang mengerjakan ibadat haji di Makkah? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

  1. Umat Islam yang sedang mengerjakan ibadat haji pada hari ke-10 Zulhijjah tidak disunatkan untuk solat aidiladha secara berjemaah namun masih disunatkan untuk mengerjakannya secara bersendirian.
  2. Hal ini kerana para jemaah dituntut untuk menumpu serta menyelesaikan segala urusan yang melibatkan manasik haji seperti bertahallul, melontar ketiga-tiga jamrah dan seumpamanya.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga hari kiamat.

Solat sunat aidiladha merupakan solat sunat hari raya yang mana ia dianjurkan oleh Islam kepada umatnya untuk mengerjakan pada hari raya aidiladha. Bahkan para ulama menghukumkan ibadat ini dalam kategori sunat muakkad sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qasim di dalam kitab Fath al-Qarib:

(وصلاة العيدين) أي الفطر والأضحى (‌سنةٌ ‌مؤكدة)

Maksudnya: “Solat dua hari raya iaitu solat aidilfitri dan solat aidiladha ialah sunat muakkad.”[1]

Melalui nukilan di atas, jelas bahawa solat sunat hari raya merupakan ibadat yang dituntut untuk dikerjakan pada kedua-dua hari raya tersebut. Namun begitu, persoalan yang timbul adakah individu yang mengerjakan haji juga dituntut untuk mengerjakan solat aidiladha. Menurut Imam al-Nawawi, golongan sedang mengerjakan haji tidak disunatkan solat hari raya namun harus dilakukan secara sendirian bukan berjemaah. Perkara ini bersandarkan bahawa Rasulullah SAW tidak mengerjakan solat sunat hari raya bersama para sahabat ketika berada di Mina tatkala mengerjakan ibadat haji.[2]

Manakala Sheikh al-Bujairimi memperincikan solat hari raya aidiladha didirikan secara berjemaah oleh jemaah haji hukumnya lebih afdal ditinggalkan.[3] Tambah beliau lagi:

فَإِنْ صَلَّوْهَا جَمَاعَةً كَانَ خِلَافَ السُّنَّةِ

Maksudnya: “Jika dia (jemaah haji) mengerjakan solat secara berjemaah maka ia adalah khilaf al-sunnah (perkara yang lebih baik ditinggalkan).”

(Rujuk Hasyiat al-Bujarimi: 2/219)

Selain itu, terdapat hikmah di sebalik perkara ini iaitu untuk meringankan para jemaah haji dalam urusan hal ehwal tahalul mereka dan pergerakan menuju ke Makkah berbanding menyibukkan diri solat sunat hari raya dan mendengar khutbah.[4]

Kesimpulan:

Umat Islam yang sedang mengerjakan ibadat haji pada hari ke-10 Zulhijjah tidak disunatkan untuk solat sunat hari raya aidiladha secara berjemaah namun masih disunatkan untuk mengerjakannya secara bersendirian.

Hal ini kerana para jemaah dituntut untuk menumpu serta menyelesaikan segala urusan yang melibatkan manasik haji seperti bertahallul, melontar ketiga-tiga jamrah dan seumpamanya.

WallahuA‘lam

 

Rujukan: 

[1] Ibn Qasim, Muhammad bin Qasim bin Muhammad. Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh alfaz al-Taqrib. (Beirut: Lubnan, Ed 1, 2005) Hlm: 102.

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Abu Zakaria Muhyiddin bin Sharaf. Al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarat al-Taba‘at al-Muniriyah, 1347H) Jld 5 hlm 26.

أما الأحكام فهل تشرع ‌صلاة ‌العيد للعبد والمسافر والمرأة والمنفرد في بيته أو في غيره فيه طريقان (أصحهما وأشهرهما) القطع بأنها تشرع لهم ودليله ما ذكره المصنف وأجابوا عن ترك النبي صلى الله عليه وسلم ‌صلاة ‌العيد ‌بمنى بانه تركها لا شتغاله بالمناسك وتعليم الناس أحكامها وكان ذلك أهم من العيد

[3] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad. Hasyiat al-Bujairimi ‘ala al-Khatib. (Dar al-Fikr, T.tp, 1995) Jld:2 hlm: 218-219.

قَوْلُهُ: (بِمِنًى) لَيْسَ بِقَيْدٍ، حَتَّى لَوْ نَزَلُوا بِمَكَّةَ لَمْ تُسَنَّ لَهُمْ الْجَمَاعَةُ أَيْضًا.

[4] Ibid. Jld:2 hlm:219