Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-91: HUKUM MENYEMBELIH BINATANG KORBAN PADA WAKTU MALAM

HUKUM_MENYEMBELIH_BINATANG_KORBAN_PADA_WAKTU_MALAM.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti. Saya ada kemusykilan yang memerlukan kepada penerangan daripada pihak Datuk Mufti berkenaan hukum kita menyembelih binatang korban pada waktu malam. Adakah terdapat larangan terhadap perbuatan ini?

Sekian terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Permulaan waktu penyembelihan korban adalah pada hari hari raya Aidil Adha seusai solat sunat hari raya dan dua khutbah sehingga pada hari ke 13 Zulhijjah. Tempoh penyembelihan ini merangkumi waktu siang dan malam. Namun begitu, penyembelihan pada waktu malam hukumnya makruh dan penyembelihan itu tetap dikira sah. Sementara itu, penyembelihan pada waktu malam yang dilakukan kerana ada hajat dan keperluan adalah harus.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Menurut kitab Al-Fiqh al-Manhaji berkenaan perincian waktu melakukan korban bermula selepas terbit matahari pada Hari Raya Haji (Hari Raya Korban) iaitu sekadar sempat ditunaikan dua rakaat sembahyang dan dua khutbah. Kemudian berterusan waktunya hingga terbenam matahari pada akhir hari-hari Tasyrik iaitu 11,12, dan 13 Zulhijjah. Waktu afdhal untuk menyembelih ialah selepas solat sunat hari raya ditunaikan.[1]

(Rujuk Al-Fiqh al-Manhaji, 1/234)

Tambahan pula, terdapat hadis yang menerangkan mengenai aturan ibadah pada pagi raya Aidil Adha, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ لَيْسَ مِنَ النُّسُكِ فِي شَىْءٍ

Maksudnya:Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini (hari raya) ialah kami mendirikan solat (sunat hari raya). Kemudian, kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka, dia telah melaksanakan sunnah kami. Sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya bukan untuk ibadah korban sedikit pun”.

Riwayat al-Bukhari (5545) dan Muslim (1961)

Menurut Syeikh Badruddin al-Aini ketika menerangkan maksud perkataan “Sesiapa yang telah menyembelih sebelum itu” ialah sebelum waktu solat hari raya dan sebelum berlalu waktu sekadar yang sempat didirikan sembahyang.[2]

(Rujuk Umdah al-Qari, 21/145)

Berdasarkan penerangan di atas, maka jelas bahawa waktu menyembelih binatang korban adalah bermula pada pagi hari raya Aidil Adha dan selepas menunaikan solat sunat hari raya berserta dua khutbah. Namun, terdapat persoalan timbul adakah waktu ini merangkumi penyembelihan pada waktu malam. Menurut mazhab Syafi’i bahawa menyembelih binatang korban pada waktu malam tanpa apa-apa keperluan atau maslahat hukumnya makruh. Perkara ini dinyatakan oleh Imam Nawawi, kata beliau:

وَاتَّفَقُوا عَلَى أَنَّهُ يَجُوزُ ذَبْحُهَا فِي هَذَا الزَّمَانِ ‌لَيْلًا وَنَهَارًا لَكِنْ يُكْرَهُ عِنْدَنَا الذَّبْحُ ‌لَيْلًا فِي غَيْرِ ‌الْأُضْحِيَّةِ وَفِي ‌الْأُضْحِيَّةِ أَشَدُّ كَرَاهَةً

Maksudnya: (Para fuqaha mazhab al-Syafi’i) bersepakat bahawa penyembelihan diharuskan pada waktu ini (10,11,12, dan 13 Zulhijjah) sama ada pada waktu malam ataupun siang, akan tetapi penyembelihan selain tujuan korban pada waktu malam adalah makruh di sisi kami, manakala penyembelihan korban pada waktu malam adalah makruh yang lebih berat.

(Rujuk Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 8/388)

Menurut Imam al-Mawardi hukum makruh di sini kerana terdapat kemungkinan akan berlaku kesilapan ketika menyembelih disebabkan kegelapan malam. Penyembelihan pada waktu malam juga agak tertutup dan penyembelihan dilakukan pada keadaan jelas adalah lebih utama. Ia juga dikhuatiri terlindung daripada penglihatan atau pengetahuan orang miskin jika kerana dilaksanakan pada waktu malam. Malah dikhuatiri berlaku kesilapan bertukar daging sekiranya dibiarkan menjelang waktu siang.[3]

(Rujuk Al-Hawi al-Kabir, 15/114)

Namun begitu, sekiranya penyembelihan dilakukan pada waktu malam maka penyembelihan tetap diambil kira dan sah korbannya itu. Hal ini menurut kenyataan Imam al-Syafi’i yang menyebut:

‌فَإِذَا ‌ذَبَحَ ‌لَيْلًا ‌أَجْزَأَهُ

Maksudnya: Sekiranya penyembelihan (dilakukan) pada waktu malam, sah hukumnya.

(Rujuk Mukhtasar al-Muzani, 8/392)

Tambahan pula, jika ada keperluan menyembelih korban pada waktu malam seperti seseorang yang sibuk pada waktu siang, sehingga tidak memungkinkannya untuk menyembelih korban atau kerana kemaslahatan, misalnya ia lebih menyenangkan fakir miskin jika disembelih waktu malam atau memudahkan mereka untuk datang maka, ketika itu hukumnya adalah harus.[4]

(Rujuk Hasyiah al-Syarwani, 9/354).

 

KESIMPULAN

Berdasarkan penerangan dan perbahasan yang dinyatakan maka dapat difahami bahawa penyembelihan korban hendaklah mengikut kepada waktu yang telah ditetapkan oleh syariat. Permulaan waktu penyembelihan korban adalah pada hari hari raya Aidil Adha seusai solat sunat hari raya dan dua khutbah sehingga pada hari ke 13 Zulhijjah. Tempoh penyembelihan ini merangkumi waktu siang dan malam. Namun begitu, penyembelihan pada waktu malam hukumnya makruh dan penyembelihan itu tetap dikira sah. Sementara itu, penyembelihan pada waktu malam yang dilakukan kerana ada hajat dan keperluan maka hukumnya adalah harus.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] يبتدئ وقتها بعد طلوع شمس يوم عيد الأضحى بمقدار ما يتسع لركعتين وخطبتين، ثم يستمر وقتها إلى غروب آخر أيام التشريق، وهي الحادي عشر والثاني عشر والثالث عشر من ذي الحجة .والوقت المفضَّل لذبحها، بعد الفراغ من صلاة العيد.

[2] قَوْله: (من ذبح قبل) ، أَي: قبل مُضِيّ وَقت الصَّلَاة

[3] ذَبْحُ ‌الْأُضْحِيَّةِ ‌لَيْلًا مَكْرُوهٌ لنهي النبي - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ - عَنِ الذَّبْحِ ‌لَيْلًا، وَلِأَنَّهُ رُبَّمَا أَخْطَأَ مَحَلَّ ذَبْحِهَا بِظُلْمَةِ اللَّيْلِ، وَلِأَنَّهُ يَصِيرُ مُسْتَتِرًا بِهَا وَالْمُظَاهَرَةُ بِهَا أَوْلَى، وَلِأَنَّهُ رُبَّمَا أَعْوَذَهُ الْمَسَاكِينُ فِي اللَّيْلِ، وَلِأَنَّهُ رُبَّمَا تَغَيَّرَ اللَّحْمُ إِذَا استبقى إلى النهار

[4]) قَوْلُهُ: وَإِنْ كَرِهَ الذَّبْحَ إلَّا لِحَاجَةٍ) كَاشْتِغَالِهِ نَهَارًا بِمَا يَمْنَعُهُ مِنْ التَّضْحِيَةِ أَوْ مَصْلَحَةٍ كَتَيَسُّرِ الْفُقَرَاءِ ‌لَيْلًا أَوْ سُهُولَةِ حُضُورِهِمْ.