Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-94: PERSOALAN TENTANG PUASA PADA HARI-HARI TASYRIQ

PERSOALAN_TENTANG_PUASA_PADA_HARI-HARI_TASYRIQ.jpg

 

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Timbul persoalan dalam kalangan masyarakat tentang puasa pada hari Tasyriq berdasarkan jawapan seorang ustaz selebriti di sebuah radio tempatan. Oleh yang demikian, dalam artikel ringkas ini kami ingin menerangkan jawapan sebenar kepada soalan yang ditanyakan tersebut dan merungkaikan kekeliruan yang sedang berlaku ini.

Dalam satu hadis Nabi SAW menyifatkan bahawa hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Dzulhijjah adalah hari makan dan juga minum serta berzikir kepada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda:

أيام التشريق أيام أكل وشرب وذكر لله

Maksudnya: Hari-hari tasyriq ialah hari makan dan juga minum serta berzikir kepada Allah SWT.

(Riwayat Muslim)

Di samping itu terdapat juga hadis yang secara terang dan jelas melarang umat Islam berpuasa pada hari-hari Tasyriq kerana ia adalah hari makan dan minum. Sabda Baginda SAW:

لا تَصُومُوا هَذِهِ الأَيَّامَ فَإِنَّهَا أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

Maksudnya: Jangan kalian melaksanakan ibadah puasa pada hari-hari ini (iaitu hari-hari Tasyriq) kerana ia hari makan dan minum.

(Riwayat Ahmad)

Oleh yang demikian, para ulama daripada semua mazhab termasuklah mazhab al-Syafie menerangkan bahawa hukum berpuasa pada hari-hari Tasyriq adalah haram. Hal ini disebutkan oleh ramai para ulama yang menghimpunkan pandangan-pandangan mazhab, antaranya Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyatakan bahawa:

صوم عيد الفطر والأضحى وأيام التشريق بعده: مكروه تحريماً عن الحنفية، حرام لا يصح عند باقي الأئمة، سواء أكان الصوم فرضاً أم نفلاً، ويكون عاصياً إن قصد صيامها، ولا يجزئه عن الفرض.

Maksudnya: Hukum berpuasa pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha serta hari-hari Tasyriq selepasnya: makruh tahrim di sisi ulama Hanafi. Manakala baki imam-imam mazhab yang lain menyatakan hukumnya adalah haram dan tidak sah, sama ada puasa itu puasa fardu ataupun sunat. Sekiranya dia berpuasa, maka dia berdosa jika sengaja melakukannya. Jika seseorang melaksanakan puasa yang fardu, maka tidak dikira puasanya tersebut.[1] (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3:163)

Begitu juga bagi mazhab al-Syafie, dalam kitab Iʽanah al-Talibin dinyatakan bahawa:

يحرم الصوم في ‌أيام ‌التشريق والعيدين، وكذا يوم الشك لغير ورد، وهو يوم ثلاثي شعبان

Maksudnya: Diharamkan berpuasa pada hari-hari Tasyriq dan dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri), begitu juga haram berpuasa pada hari syak bagi golongan yang tidak melazimi puasa, iaitu pada hari 30 Sya’ban.[2] (Rujuk Iʽanah al-Talibin, 2:308)

Kesimpulan

Justeru itu, berdasarkan nas-nas di atas, jelas bahawa hukum berpuasa pada hari Tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Dzulhijjah, yang juga hari raya kedua, ketiga dan keempat Aidiladha, adalah tidak dibolehkan dan haram. Oleh yang demikian, dalam kesempatan ini kami ingin menasihati semua pihak agar tidak mengeluarkan sesuatu kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan, apatah lagi berkaitan hukum-hakam agama yang telah jelas hukumnya di sisi syarak. Sikap berhati-hati dan teliti dalam menyampaikan ilmu-ilmu berkaitan agama hendaklah diambil berat supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

WaAllahu a’lam.

 

Rujukan: 

[1] Wahbah al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (Damsyiq: Dar al-Fikr, t.t), jld. 3, hlm. 1634.

[2] Al-Dumyati, Abu Bakar Uthman Muhammad Shaṭa, Iʽanah al-Talibin ‘ala Hall Alfaz Fath al-Mu’īn, (Beirut, Dar al-Fikr: 1997), jld. 2, hlm. 308.