Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-95: HUKUM MENYEMBELIH HAIWAN KORBAN YANG TELAH MATI

HUKUM_MENYEMBELIH_HAIWAN_KORBAN_YANG_TELAH_MATI.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, baru-baru ini tular satu video berkenaan seekor lembu korban yang dilihat sudah tidak bernyawa sebelum dilaksanakan proses sembelihan. Oleh itu, saya ingin bertanya, adakah sah ibadah korban haiwan yang telah mati? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Antara syarat sah sembelihan korban ialah haiwan tersebut mestilah mempunyai tanda hayat mustaqirrah iaitu adanya pergerakan atau rontaan yang kuat setelah memutuskan halkum dan mari’ begitu juga darah terpancut keluar ketika sembelihan, atau salah satu daripada keduanya. Sekiranya kedua-dua ini tiada ketika proses tersebut, maka haiwan tersebut dikira bangkai dan ibadah korban yang dilaksanakan adalah tidak sah.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Allah SWT berfirman:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya:Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Surah al-Kauthar (2)

Imam al-Qurtubi menukilkan kalam Qatadah bahawa maksud ayat ini adalah merujuk kepada suruhan mengerjakan solat sunat hari raya Aidiladha kemudian melaksanakan ibadah korban[1].

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyebut bahawa ayat ini merupakan perintah Allah SWT kepada kita agar beribadat hanya kepada Allah yang Maha Esa dan laksanakan korban sama ada unta, lembu atau kambing, tulus niat kerana-Nya dan bukan kerana sesuatu yang lain[2].

Dengan demikian, pelaksanaan ibadah korban mestilah memenuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan syarak. Sekiranya tidak, korban yang dilaksanakan adalah tidak sah. Antara syaratnya ialah syarat yang melibatkan penyembelihan haiwan iaitu haiwan tersebut mestilah masih mempunyai tanda hayat mustaqirrah (حياة مستقرة) sebelum ia disembelih. Maksud hayat mustaqirrah di sini ialah keadaan ia masih hidup ketika disembelih sekalipun sebelum pada itu ia telah mengalami kecederaan atau kesakitan malahan pergerakannya juga sama seperti pergerakan binatang yang disembelih[3].

Sebagai makluman, hayat mustaqirrah boleh diketahui dengan cara[4]:

  1. Adanya pergerakan atau rontaan yang kuat setelah memutuskan halkum dan mari’[5] atau,
  2. Darah terpancut keluar.

Oleh yang demikian, sekiranya haiwan korban itu sudah tiada ciri ataupun tanda hayat mustaqirrah ketika sembelihan, maka penyembelihan ketika itu tidak dianggap al-Tazkiah dan sembelihan tersebut tidak halal, kecuali setelah dilakukan penyembelihan darurat sebelumnya[6].

Berkenaan hal sembelihan korban yang diajukan si penanya, dapat kita simpulkan bahawa sekiranya tiada kedua-dua tanda hayat mustaqirrah atau salah satu tanda yang dinyatakan, maka ibadah korban yang dilaksanakan adalah tidak sah dan haiwan tersebut telah menjadi bangkai. Sehubungan dengan itu, kami menasihati para peserta ibadah korban agar dapat memastikan ibadah korban yang dilaksanakan mengikut panduan dan hukum syarak, di samping turut mempelajari kaedah-kaedah dan juga panduan sembelihan yang benar dengan mereka yang berkelayakan dan berautoriti.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Bardouni & Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cet.2, 1964), 20/218.

وَقَالَ قَتَادَةُ وَعَطَاءٌ وَعِكْرِمَةُ: فَصَلِّ لِرَبِّكَ صَلَاةَ الْعِيدِ وَيَوْمَ النَّحْرِ. وَانْحَرْ نُسُكَكَ.

[2] Al-Zuhaili, Wahbah bin Mustafa, al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari‘ah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu‘asir, cetakan ke-2, 1418H), 30/433.

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ أي كما أعطيناك الخير الكثير في الدنيا والآخرة، ومن ذلك نهر الكوثر، فداوم على صلاتك المفروضة والنافلة، وأدّها خالصة لوجه ربك، وانحر ذبيحتك وأضحيتك وما هو نسك لك وهو الهدي (شاة أو بعير مقدّم للحرم) وغير ذلك من الذبائح للَّه تعالى وعلى اسم اللَّه وحده لا شريك له، فإنه هو الذي تعهدك بالتربية وأسبغ عليك نعمه دون سواه، كما جاء في آية أخرى آمرا له: قُلْ: إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيايَ وَمَماتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعالَمِينَ، لا شَرِيكَ لَهُ، وَبِذلِكَ أُمِرْتُ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُسْلِمِينَ [الأنعام 6/ 162- 163] .

وهذا على نقيض فعل المشركين الذين كانوا يصلون لغير اللَّه، وينحرون لغير اللَّه، فأمر نبيه صلّى اللَّه عليه وسلّم أن تكون صلاته ونحره له، وهو أيضا نقيض فعل المنافقين المراءين.

[3] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘I, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-4, 1992), 3/45.

ب) الشروط المتعلقة بالمذبوح:

وهنا أيضاً شروط نُ جملها فيما يلي:

الشرط الأول: أن يدرك الذابح الحيوان قبل الذبح، وفيه حياة مستقرة, والمقصود بالحياة المستقرة: أن لا ينتهي الحيوان بسبب مرض، أو جرح، أو نحوهما إلى سياق الموت، بحيث تصبح حركته اضطرابا كاضطراب المذبوح.

[4] Al-Malibari, Ahmad bin ‘Abd al-‘Aziz, Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrat al-‘Ain bi Muhimmat al-Din, (t.tp: Dar Ibn Hazm, cetakan pertama, t.t). 1/307.

ويشترط في الذبيح غير المريض شيئان.

أحدهما: أن يكون فيه حياة مستقرة أول ذبحه ولو ظنا بنحو شدة حركة بعده ولو وحدها على المعتمد وانفجار دم وتدفقه إذا غلب على الظن بقاؤها فيهما فإن شك في استقرارها لفقد العلامات حرم.

Lihat juga: Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 9/89.

وَمِنْ أَمَارَاتِ الْحَيَاةِ الْمُسْتَقِرَّةِ الْحَرَكَةُ الشَّدِيدَةُ بَعْدَ قَطْعِ الحلقوم والمرئ وَانْفِجَارِ الدَّمِ وَتَدَفُّقِهِ.

[5] Al-Bujairami, Sulaiman bin Muhammad, Tuhfat al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, (t.tp: Dar al-Fikr, t.c, 1995), 4/301.

تَنْبِيهٌ: عَلَامَةُ الْحَيَاةِ الْمُسْتَقِرَّةِ شِدَّةُ الْحَرَكَةِ بَعْدَ قَطْعِ الْحُلْقُومِ الْمَرِيءِ عَلَى الْأَصَحِّ فِي الزَّوَائِدِ. ' وَالْمَجْمُوعِ وَقَالَ فِيهِ يَكْتَفِي بِهَا وَحْدَهَا وَلَوْ لَمْ يَجْرِ الدَّمُ عَلَى الصَّحِيحِ الْمُعْتَمَدِ وَقَدْ مَرَّتْ الْإِشَارَةُ إلَى ذَلِكَ مَعَ تَفْصِيلِ تَقَدُّمٍ وَلَوْ ظَهَرَ بِمَا ذُكِرَ مِنْ الشُّرُوطِ كَوْنُهَا مُعَلَّمَةً ثُمَّ أَكَلَتْ مِنْ لَحْمِ صَيْدٍ أَوْ نَحْوِهِ مِمَّا مَرَّ لَمْ يَحِلَّ ذَلِكَ الصَّيْدُ فِي الْأَظْهَرِ. ه

[6] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, ‘Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji, 3/46.

فإن كان الحيوان قبل الذبح قد فقد الحياة المستقرة، فإن ذبحه عندئذٍ لا يعتبر تذكية، ولا يحلّ الذبيحة، إلا إذا ذُكِي قبل ذلك ذكاة الضرورة التي تحدّثنا عنها.