Soalan:
Assalamualaikum SS Datuk Mufti dan para asatizah. Di sini saya ada sedikit persoalan berkaitan dengan haji. Adakah boleh orang yang belum mengerjakan haji untuk dirinya memberi tajaan seperti wang perbelanjaan kepada orang lain untuk mengerjakan haji?
Mohon penjelasan SS Datuk dan para asatizah. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan:
Hukum seseorang memberi tajaan kepada orang Islam yang lain untuk menunaikan haji adalah harus meskipun dia masih belum mengerjakan haji untuk dirinya. Hal ini kerana kewajipan ibadat haji ialah kewajipan yang bersifat tarakhi (bukan serta merta) mengikut pandangan muktamad dalam mazhab Syafie. Selain itu, membantu orang lain untuk melakukan perkara baik khususnya dalam ibadat adalah dituntut di sisi syarak bahkan pahala orang yang membantu tersebut sama seperti orang yang mengerjakan sesuatu ibadat. Namun, lebih afdal bagi mereka yang telah berkemampuan serta memenuhi syarat wajib haji menunaikan haji untuk dirinya terlebih dahulu supaya kewajipan fardu haji ke atas dirinya terangkat.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.
Dari sudut hukum syarak, ibadat haji ialah suatu ibadat yang termasuk dalam kategori al-wajib al-Muwassa‘ iaitu suatu kewajipan yang mempunyai waktu yang luas untuk menunaikannya.[1] Ini bermaksud, tidak diwajibkan untuk mengerjakan ibadat ini secara serta merta meskipun seseorang itu telah mencukupi syarat-syarat menunaikan haji. Tambah Imam al-Nawawi, kewajipan haji adalah bersifat tarakhi iaitu bukan secara serta-merta sebagaimana dalam karyanya al-Majmuk:
إذا وجدت شروط وجوب الحج وجب على التراخي على ما نص عليه الشافعي واتفق عليه الأصحاب إلا المزني فقال هو على الفور فعلى المذهب يجوز تأخيره بعد سنة الإمكان ما لم يخش العضب
Maksudnya: “Apabila telah cukup syarat-syarat wajib haji, maka wajib mengerjakan haji ke atasnya secara tidak serta-merta (tarakhi) sebagaimana dalam nas Imam al-Syafi‘i dan telah disepakati oleh para ashabnya melainkan al-Muzani yang menyatakan ia diwajibkan secara serta merta. Oleh itu, berdasarkan pandangan muktamad dalam mazhab, harus menangguhkannya selepas tahun berkemampuan selagi mana ia tidak bimbang kepada halangan”.[2]
Berdasarkan kepada kenyataan Imam al-Nawawi, dapat difahami bahawa tidak berdosa bagi mereka yang mempunyai kemampuan serta telah memenuhi syarat-syarat wajib haji tidak mengerjakan haji pada tahun tersebut dan menunaikannya pada tahun berikut. Oleh yang demikian, tidak menjadi satu halangan bagi seseorang yang belum menunaikan haji memberi tajaan wang ringgit kepada orang lain untuk pergi haji. Hal ini termasuk dalam perkara yang baik serta diharuskan menurut syarak.
Perbuatan menaja atau memberi perbelanjaan seseorang pergi haji juga adalah sama seperti perbuatan membantu saudaranya membuat persiapan ke medan jihad. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ جَهَّزَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللهِ فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي سَبِيلِ اللهِ بِخَيْرٍ فَقَدْ غَزَا
Maksudnya: “Sesiapa yang mempersiapkan kelengkapan orang yang berperang di jalan Allah, maka dia sesungguhnya telah berperang (mendapat pahala perang). Dan sesiapa yang menggantikan orang yang berperang di jalan Allah (dengan menguruskan kepentingan mereka) dengan baik, sesungguhnya dia telah berperang (mendapat pahala perang)”.
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Imam Ibn Battal melalui kenyataan al-Tabari menyatakan, setiap orang yang membantu orang beriman untuk melakukan amalan baik, maka orang yang membantu tersebut diberikan pahala sepertimana orang yang mengerjakan amalan tersebut. Apabila Rasulullah Nabi SAW menyatakan “orang yang mempersiapkan kelengkapan orang berperang adalah seperti orang yang berperang”, maka begitulah orang yang memberi makan kepada orang berpuasa kebaikannya adalah seperti orang berpuasa. Begitu juga mereka yang membantu golongan yang mengerjakan haji atau umrah sehingga mereka menyempurnakannya, maka ia mendapat kebaikan seperti orang yang mengerjakan ibadat tersebut.[3]
Selain itu, tuntutan berbuat baik serta menolong orang yang ingin melakukan kebaikan seiring dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Ansari RA, sabda Rasulullah SAW:
مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.”
(Riwayat Muslim)
Oleh yang demikian, harus bagi mereka yang masih belum mengerjakan membantu orang Islam yang lain pergi haji baik dari sudut menanggung perbelanjaan atau seumpamanya kerana kewajipan haji bukan bersifat serta-merta. Namun, sunat bagi mereka yang telah diwajibkan haji atau umrah untuk tidak menangguhkan dari tahun kemampuannya agar dapat melepaskan diri dari tanggungan fardu haji.[4] Dengan kata lain, lebih afdal bagi mereka yang telah diwajibkan haji atau umrah mengerjakan ibadat ini untuk dirinya terlebih dahulu agar dapat mengangkat kewajipan haji dan umrah ke atas dirinya.
Kesimpulan:
Hukum seseorang memberi tajaan kepada orang Islam yang lain untuk menunaikan haji adalah harus meskipun dia masih belum mengerjakan haji untuk dirinya. Hal ini kerana kewajipan ibadat haji ialah kewajipan yang bersifat tarakhi (bukan serta merta) mengikut pandangan muktamad dalam mazhab Syafie. Selain itu, membantu orang lain untuk melakukan perkara baik khususnya dalam ibadat adalah dituntut di sisi syarak bahkan pahala orang yang membantu tersebut sama seperti orang yang mengerjakan sesuatu ibadat. Namun, lebih afdal bagi mereka yang telah berkemampuan serta memenuhi syarat wajib haji menunaikan haji untuk dirinya terlebih dahulu supaya kewajipan fardu haji ke atas dirinya terangkat.
WallahuA’lam.
Rujukan:
[1] Al-Qarafi, Syihabuddin Abu al-‘Abbas Ahmad bin Idris. Nafais al-Usul fi Syarh al-Mahsul. (Makkah: Maktab Nazar Mustafa al-Baz. Ed 1, 1995) J:3, hlm:1438.
في خكم الواجب الموسع في جميع العمر، وذلك كالمنذورات، وقضاء العبادات الفائتة، وتأخير الحج من سنة إلى سنة
[2] Al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Majmu‘ Sharf al-Muhazzab. (Kaherah: Idarat al-Taba‘at al-Muniriyah, 1348H). J:2, Hlm: 102.
[3] Ibn Battal, Abu al-Hasan ‘Ali bin Khalaf bin ‘Abd al-Malik. Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal. (Riyadh: Dar al-Nasyr, Ed3, 2003) J:5, Hlm: 51.
أن كل من أعان مؤمنًا على عمل بر فللمعين عليه أجر مثل العامل وإذا أخبر الرسول أن من جهز غازيًا فقد غزا، فكذلك من فطر صائمًا أو قواه على صومه، وكذلك من أعان حاجا أو معتمرًا بما يتقوى به على حجه أو عمرته حتى يأتى ذلك على تمامه فله مثل أجره
[4] Kulkul, Mohammed Adib. Al-Hajj wa al-’Umrah: Ahkam Fiqhiyyah Sadirah ‘an al-Mazhab al-Syafi’iy wa Baqiyyah al-Mazahib al-Arba’ah. (Maktabah Dar al-Dakwah, Ed 1, 1971) Hlm: 10.
ويسن لمن وجب عليه الحج أو العمرة أن لا يؤخر ذلك عن سنة الامكان مبادرة إلى براءة ذمته خروجا من خلاف،