Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya sedikit berkenaan sirah Baginda Muhammad SAW, berapa kalikah Nabi Muhammad pernah pergi menunaikan ibadah umrah? Mohon jawapan Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Rasulullah SAW pernah mengerjakan ibadah umrah sebanyak empat kali iaitu pada bulan Zulkaedah tahun ke-6, 7 dan 8 hijrah serta ketika mengerjakan haji pada tahun ke-10 hijrah.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Sebagaimana maklum, Rasulullah SAW pernah mengerjakan ibadah haji sebanyak sekali dan umrah sebanyak empat kali. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Qatadah bahawasanya Anas bin Malik R.A mengkhabarkan kepadanya:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اعْتَمَرَ أَرْبَعَ عُمَرٍ كُلُّهُنَّ فِي ذِي الْقَعْدَةِ إِلَّا الَّتِي مَعَ حَجَّتِهِ: عُمْرَةً مِنَ الْحُدَيْبِيَةِ، أَوْ زَمَنَ الْحُدَيْبِيَةِ فِي ذِي الْقَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مِنَ الْعَامِ الْمُقْبِلِ فِي ذِي الْقَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مِنْ جِعْرَانَةَ حَيْثُ قَسَمَ غَنَائِمَ حُنَيْنٍ فِي ذِي الْقَعْدَةِ، وَعُمْرَةً مَعَ حَجَّتِهِ.
Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW pernah mengerjakan ibadah umrah sebanyak empat kali yang kesemuanya dilaksanakan pada bulan Zulkaedah melainkan umrah yang dikerjakan bersama dengan ibadah hajinya. (Empat umrah tersebut ialah) umrah yang dikerjakan dari Hudaibiyah atau ketika peristiwa Hudaibiyah pada bulan Zulkaedah, (kedua) umrah yang dikerjakan pada tahun berikutnya juga pada bulan Zulkaedah, (ketiga) umrah yang dikerjakan dari Jiʻranah di mana Baginda membahagikan harta rampasan hasil peperangan Hunain juga pada bulan Zulkaedah dan (keempat) umrah semasa Baginda mengerjakan ibadah haji.”
Riwayat Muslim (1253)[1]
Menurut Imam al-Nawawi[2], ketika menghuraikan riwayat hadis ini bahawa satu daripada umrah tersebut adalah pada:
- Bulan Zulkaedah semasa perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam hijrah, ketika Baginda dan para sahabat disekat untuk mengerjakan umrah, lalu mereka bertahallul di situ dan dikira sebagai satu umrah.
- Umrah yang kedua pula dilakukan pada bulan Zulkaedah, iaitu tahun ketujuh hijrah. Umrah ini dikenali dengan nama umrah qadha’.
- Umrah yang ketiga pula dikerjakan pada bulan yang sama iaitu Zulkaedah, pada tahun kelapan hijrah iaitu pada tahun pembukaan kota Makkah.
- Dan umrah yang terakhir yakni keempat pula berlaku semasa Baginda mengerjakan haji iaitu pada tahun ke-10 hijrah.
Imam al-Nawawi menukilkan bahawa para ulama ada menyatakan sebab Baginda SAW kerap mengerjakan umrah pada bulan Zulkaedah adalah kerana fadilat yang ada pada bulan tersebut dan juga untuk menentang tradisi jahiliyah dalam hal itu. Mereka (bangsa jahiliyah) menganggapnya sebagai dosa yang sangat besar, seperti yang telah disebutkan sebelumnya. Maka Nabi SAW melakukannya beberapa kali dalam bulan-bulan tersebut untuk lebih menjelaskan kebolehannya dan lebih menegaskan pembatalan adat jahiliyah yang mereka lakukan[3].
Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Muslim bin al-Hajjaj, al-Musnad al-Sahih al-Mukhtasar bi Naql al-‘Adli ‘an al-‘Adli Ila Rasulillahi SAW (Sahih Muslim), Tahkik: Muhammad Fuad ‘Abd al-Baqi, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.c, t.t), 2/916.
[2] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 8/235.
فَالْحَاصِلُ من رواية أنس وبن عُمَرَ اتِّفَاقُهُمَا عَلَى أَرْبَعِ عُمَرٍ وَكَانَتْ إِحْدَاهُنَّ فِي ذِي الْقَعْدَةِ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ سَنَةَ سِتٍّ مِنَ الْهِجْرَةِ وَصُدُّوا فِيهَا فَتَحَلَّلُوا وَحُسِبَتْ لَهُمْ عُمْرَةٌ وَالثَّانِيَةُ فِي ذِي الْقَعْدَةِ وَهِيَ سَنَةَ سَبْعٍ وَهِيَ عُمْرَةُ الْقَضَاءِ وَالثَّالِثَةُ فِي ذِي الْقَعْدَةِ سَنَةَ ثَمَانٍ وَهِيَ عَامَ الْفَتْحِ وَالرَّابِعَةُ مَعَ حَجَّتِهِ وَكَانَ إِحْرَامُهَا فِي ذِي الْقَعْدَةِ واعمالها في ذى الحجة.
[3] Al-Nawawi, al-Minhaj, 8/235-236.
قَالَ الْعُلَمَاءُ وَإِنَّمَا اعْتَمَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَذِهِ الْعُمْرَةَ فِي ذِي الْقَعْدَةِ لِفَضِيلَةِ هَذَا الشهر وَلِمُخَالَفَةِ الْجَاهِلِيَّةِ فِي ذَلِكَ فَإِنَّهُمْ كَانُوا يَرَوْنَهُ مِنْ أَفْجَرِ الْفُجُورِ كَمَا سَبَقَ فَفَعَلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّاتٍ فِي هَذِهِ الْأَشْهُرِ لِيَكُونَ أَبْلَغَ فِي بَيَانِ جَوَازِهِ فِيهَا وَأَبْلَغَ فِي إِبْطَالِ مَا كَانَتِ الْجَاهِلِيَّةُ عَلَيْهِ وَاللَّهُ أَعْلَمُ