Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KHAS HAJI DAN KORBAN SIRI KE-104: STATUS DARAH SELEPAS PUTUS HAID KETIKA MENUNAIKAN HAJI

STATUS_DARAH_SELEPAS_PUTUS_HAID_KETIKA_MENUNAIKAN_HAJI.jpg

Soalan:

Assalamualaikum wbt, saya mempunyai satu soalan, saya telah mencapai umur 50 tahun dan telah terhenti haid selama hampir setahun. Kemudian, saya telah disahkan oleh doktor bahawa saya sudah menopause. Namun begitu, ketika saya menjalani ibadah haji terdapat darah yang keluar selama 13 hari sehingga tibanya waktu pulang ke tanah air. Apakah hukum darah yang keluar pada ketika itu, mohon penjelasan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

i. Darah yang keluar selepas putus haid ketika menunaikan umrah & haji adalah kategori darah haid menurut mazhab Syafi'i sekiranya menepati syarat-syarat haid.

  • Melebihi tempoh minimum haid iaitu 24 jam (sehari semalam)
  • Tidak melebihi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari

ii. Adapun wanita yang telah sampai kepada fasa putus haid (menoupause) tetapi masih menghadapi darah yang keluar ketika menunaikan haji dan berkemungkinan tidak berhenti sehingga pulang ke tanah air, maka wanita itu diharuskan mengambil pandangan bahawa darah tersebut adalah kategori istihadah. Justeru, ibadah solat, tawaf dan seumpamanya yang dilaksanakannya pada tempoh tersebut dikira sebagai sah.

Huraian Jawapan: 

Secara umumnya, wanita dalam kalangan manusia ditentukan Allah SWT mengalami darah haid sebagai satu ujian[1] dan mendatangkan kebaikan tubuh badan mereka. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA yang kedatangan haid ketika menunaikan haji, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ هذا أمرٌ كَتبَه اللهُ على بناتِ آدمَ

Maksudnya: Perkara ini (iaitu haid) merupakan suatu ketetapan Allah SWT terhadap anak-anak perempuan Adam (AS)[2].

Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid normal perkara ini akan sering berlaku pada setiap bulan pada usia remaja sehingga usia putus haid.

Definisi Menopause

Menopause dari sudut istilah perubatan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermaksud keadaan wanita yang terhenti kitaran haid secara kekal akibat daripada kehilangan aktiviti folikel ovari. Seseorang wanita dikatakan dalam tempoh putus haid, apabila ia tidak mengalami sebarang bentuk pendarahan faraj selama 12 bulan selepas haid terakhirnya[3]. Sebahagian ada menyatakan menopause berlaku setelah enam bulan ketiadaan kitaran haid.

Menopause merupakan suatu proses biologi yang melibatkan terhentinya penghasilan daripada kilang telur iaitu ovari yang dibekalkan sejumlah ovum atau benih yang dibekalkan sejak bayi perempuan dalam kandungan lagi kesan daripada proses penuaan secara fisiologi. Benih atau ovum menghasilkan hormon Estrogen yang memainkan penting dalam penghasilan haid dan penting untuk kesihatan wanita secara keseluruhannya.Di Malaysia, purata umur wanita putus haid adalah pada umur 50.7 tahun[4].

Umur Menopause atau putus haid

Secara asasnya, wanita menopause ini dipanggil ayisah (أيسة) dalam Bahasa Arab. Menopause atau putus haid dalam perbahasan fiqh dikaitkan dengan satu fasa atau umur haid seseorang wanita itu berhenti.

Dalam hal ini, syarak tidak menentukan umur putus haid (سن اليأس) secara khusus kerana ketiadaan nas yang menyebut tentangnya. Oleh itu, penentuan umur putus haid berdasarkan istiqra’(pemerhatian). Umur putus haid berbeza daripada seorang wanita ke wanita yang lain. ulama berselisih pendapat tentang umur putus haid kepada beberapa pandangan:

Menurut mazhab Hanafi, terdapat dua pendapat tentang had umur wanita putus haid iaitu pertama; pada umur 50, kedua; pada umur 55 tahun[5], pendapat ini berdasarkan riwayat Hasan daripada Abu Hanifah. Oleh itu, apabila seseorang melihat darah selepas umur ini tidak dihukumkan sebagai haid.

Menurut mazhab Maliki, had umur wanita putus haid adalah antara umur 50 sehingga umur 70 tahun[6]. Sekiranya, wanita mendapati keluar darah selepas umur ini, maka darah tersebut dihukum istihadah.

Menurut mazhab Syafi’i, tiada had umur untuk keluar darah haid. Dalam erti kata lain, darah haid boleh keluar selagi mana wanita itu hidup[7]. Adapun umur kebiasaan wanita mengalami putus haid ialah 62 tahun[8].

Menurut mazhab Hanabilah had umur putus haid secara yakin adalah pada umur 60 tahun[9]. Adapun darah yang keluar dalam tempoh antara 50 sehingga 60, para ulama mazhab Hanbali berbeza pandangan. Riwayat daripada Ahmad mengatakan, darah yang keluar tersebut مشكوك فيه darah diragui hukumnya. Manakala, riwayat daripada Ishak bin Rahuwaih, darah yang keluar bermula umur 50 tahun ke atas ialah darah istihadah. 

Status Darah Selepas Putus Haid ketika Menunaikan Umrah & Haji

Secara asasnya, menurut pandangan mazhab Syafi’i darah yang keluar sama ada sedikit atau banyak tersebut bagi wanita yang telah disahkan menopause dalam suatu tempoh jangka pendek atau jangka panjang dihukum sebagai darah haid sekiranya darah itu keluar pada kebiasaan haid dan menepati syarat-syarat berikut iaitu:

  1. Melebihi tempoh minimum haid iaitu 24 jam (sehari semalam)
  2. Tidak melebihi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari

Namun, darah yang keluar tersebut menyalahi syarat di atas, maka ia dihukumkan sebagai darah istihadah. Dalam keadaan ini sekiranya, darah keluar secara berterusan, wanita tersebut dikategorikan sebagai wanita yang mengalami daim al-hadath (seseorang yang sentiasa berhadas dan hadasnya tidak terputus dalam waktu solat sekadar dalam masa yang membolehkan dia bersuci dan bersolat) dan hendaklah memberi perhatian perkara cara bersuci (mustahadah) mengikut tertib sebelum mendirikan solat seperti berikut[10]:

  1. Membasuh faraj
  2. Wajib menukar balutan tuala wanita bagi menahan darah (sumbat faraj dengan kapas/ tampon sekiranya tidak sakit) setiap masuk waktu solat
  3. Berwuduk setelah masuk waktu (satu wuduk untuk satu solat fardu dan beberapa sunat)
  4. Niat wuduk untuk mengharuskan solat
  5. Segerakan solat kecuali disebabkan kemaslahatan solat seperti menutup aurat dan menunggu jemaah

Adapun dalam situasi wanita yang berada di tanah suci kemudian tiba-tiba mendapati terdapat darah yang keluar selepas menopause ini menepati syarat-syarat haid di atas terdapat situasi yang perlu diberi perhatian:

1- Darah selepas putus haid datang semasa mengerjakan tawaf umrah

Hukum darah yang keluar selepas putus haid adalah haid. Wanita yang telah berniat untuk melakukan haji tamatuk atau umrah sunat, maka tawafnya tidak sah. Wanita tersebut hendaklah menunggu sehingga suci daripada haid dan mengulang semula tawaf.

2-Darah selepas putus haid datang selepas wuquf dan tawaf rukun

Sekiranya wanita datang darah haid selepas putus haid ini iaitu selepas wuquf di Arafah dan selepas tawaf rukun sedangkan haidnya tidak berhenti atau suci sehingga pulang ke tanah air, maka boleh dihukumkan bahawa darah berkenaan keluar selepas menunaikan tawaf atau wuquf, dan bukan sebelum atau semasa ibadah berkenaan dilaksanakan, jika tiada tanda yang meyakinkan. Maka wuquf dan tawaf rukun yang telah dilakukan tersebut sah. Berdasarkan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Maksudnya: “Hukum asal bagi suatu perkara yang berlaku penentuannya berdasarkan masa yang paling hampir.”[11]

Selain itu, bagi pelaksana haji tersebut tidak perlu tawaf wada’ dan tidak dikenakan dam. Hal ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرَ النَّاسُ أنْ يَكونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بالبَيْتِ، إلَّا أنَّه خُفِّفَ عَنِ الحَائِضِ

Maksudnya:Manusia diperintahkan untuk mengakhiri pelaksanaan hajinya di Baitullah (dengan tawaf wada’) kecuali bagi wanita yang haid yang diberikan keringanan (daripada melakukannya)”.[12]

Hukum tawaf wida adalah wajib dan sebahagian ulama menyatakan hukumnya sunat[13] namun berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA di atas terdapat pengecualian yang diberikan antaranya kepada wanita kedatangan haid atau nifas atau istihadah untuk tidak melakukan tawaf wada’ dan mereka tidak dikenakan apa-apa dam[14].

3-Darah selepas putus haid datang sebelum wuquf dan tawaf rukun

Sekiranya wanita kedatangan darah selepas putus haid ini sebelum tawaf rukun sedangkan haidnya tidak berkemungkinan akan berhenti atau suci sehingga pulang ke tanah air, maka wanita tersebut dibenarkan bertaklid dengan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali iaitu darah yang keluar selepas putus haid adalah istihadah. Justeru, ibadah solat, tawaf dan seumpamanya yang dilaksanakannya pada tempoh tersebut dikira sebagai sah.

Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

 

Maksudnya: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Hajj: 78)

Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh:

المشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِير

Maksudnya: Kesukaran membawa kepada keringanan[15]

Hal ini selari dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke Ke-22, 1427H menyatakan bahawa[16]:

Darah yang keluar selepas putus haid bagi wanita yang telah tiada haid selama 6 bulan atau lebih dalam keadaan biasa dikira haid, ini berdasarkan kepada pandangan Syafi'iyah.

Jika wanita tersebut menghadapi masalah, seperti tidak dapat melakukan Tawaf Rukun kerana terpaksa pulang ke Malaysia atau bertolak ke Madinah dan tiada pilihan maka ia dikira sebagai darah istihadhah, ini bertaklid kepada pandangan Malikiyah, Hanafiyah dan Hanabilah.

Kesimpulan

i. Darah yang keluar selepas putus haid sama ada ketika menunaikan umrah & haji atau tidak adalah kategori darah haid menurut mazhab Syafi'i sekiranya menepati syarat-syarat haid:

  • Melebihi tempoh minimum haid iaitu 24 jam (sehari semalam)
  • Tidak melebihi tempoh maksimum haid iaitu 15 hari

ii. Adapun wanita yang telah sampai kepada fasa putus haid (menopause) tetapi masih menghadapi darah yang keluar ketika menunaikan haji dan berkemungkinan tidak berhenti sehingga pulang ke tanah air, maka wanita itu diharuskan mengambil pandangan bahawa darah tersebut adalah kategori istihadah atas dasar kesukaran yang dihadapi. Justeru, ibadah solat, tawaf dan seumpamanya yang dilaksanakannya pada tempoh tersebut dikira sebagai sah.

Wallahu a'lam 

 

Rujukan: 

[1] ‘Abd al-Rahman bin ‘Abdullah bin ‘Abd al-Qādir al-Saqqāf, Al-Ibanah al-Ifadah fi Ahkam al-Hayd wa al-Nifas wa al-Istihadah, (al-Haramayn: Tarim, Yamin, 2014), hlm. 14.

أنَّ الحَيْضَ شيءٌ كَتَبَهُ الخَالِقُ جَلَّ جلاله وتَعاَلَتْ عَظَمَتُه عَلَى بَنَاتِ آدَمَ اخْتِبَارًا وابْتِلَاءًا وَامْتِحَانًا

[2] Abu Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, Peny. Mustafa Dib al-Bugha, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), 1/113.

[3] Clinical Practice Guidelines Management of Menopause in Malaysia, hlm 2. Akses daripada: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/CPG/Women%20Health/CPG_Management_of_Menopause_2022_e-version-1.pdf

[4] Ibid.

[5] Muhamad Amin Bin Umar Bin Abd Aziz ‘Abidīn al-Dimasyqi Ibn ‘Abidin al-Hanafiyy, (m. 1252H), Rad al-Muhtār ‘ala al-Dār al-Mukhtār, (Beirut, Lubnān: Dār al-Fikr, 1966), 3/516.

وَعِنْدَنَا مَا لَمْ تَبْلُغْ حَدَّ الْإِيَاسِ لَا تَعْتَدُّ بِالْأَشْهُرِ، وَحَدُّهُ خَمْسٌ وَخَمْسُونَ سَنَةً هُوَ الْمُخْتَارُ

[6] Mohamad Bin Ahmad Bin ‘Arafah al-Dusuqi al-Maliki, Hāshiyah al-Dusuqi ‘ala al-Sharh al-Kabir,(Dar al-Fikr, Amman: t.t). Jil. 1/168.

احترز به عن الخارج من الدبر أو من ثقبة والخارج بنفسه من صغيرة وهي ما دون التسع أو آيسة كبنت ‌سبعين، وسئل النساء في بنت الخمسين إلى السبعين فإن قلن حيض أو شككن فحيض

[7] Abd al-Rahman, Al-Ibanah al-Ifadah fi Ahkam al-Hayd wa al-Nifas wa al-Istihadah, hlm. 21.

لا آخِرَ لِسن الخَيْضِ ، فهو مُمكن ما دامَتِ المَرْأَةُ حَيَّةٌ وأما غالِبُ سِنُ اليَأْسِ مِن الحَيْض فهو اثْتَانِ وستون سنة

[8] Ahmad bin Muhammad bin Ali bin Hajr al-Haitami. 1983.Tuhfah al-Muhtaj fi Sharh al-Minhaj wa al-Hawashi al-Sharwani al-Ibadi. (Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra: Mesir, 1983). Jilid. 1, ms, 384;

لا حد لآخر سنِّه -يعني الحيض- ولا ينافيه تحديد سن اليأس باثنين وستين سنة؛ لأنه باعتبار الغالب انتهى.

[9] Abu Muḥamad Bin Aḥmad Bin Muḥamad Bin Qudamah, Al-Mughni, (Riyadh, Arab Saudi: Dār ‘Ālam al-Kutub, 1997), 1/445-447. فأمَّا بعدَ السِّتِّينَ فقد زالَ الإِشْكَالُ، وتُيُقِّنَ أنَّه ليس بِحَيْضٍ

[10] Abū Zakariyyā Muhyī al-Din bin Sharaf al-Nawawī. Minhāj al-Tālibīn wa ‘Umdah al-Muftīn fī al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 2005). Ms. 19.

والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة فتغسل المستحاضة فرجها وتعصبه وتتوضأ وقت الصلاة وتبادر بها فلو أخرت ‌لمصلحة ‌الصلاة كستر وانتظار جماعة لم يضر وإلا فيضر على الصحيح ويجب الوضوء لكل فرض وكذا تجديد العصابة في الأصح

[11] Jalal al-Din, ‘Abd al-Rahman al-Sayuti, Al-Asybah wa al-Nazair fi Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Shafi’iyyah, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah: Beirut, Lubnan, 1983), hlm. 59.

[12] Abu Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi, Ṣahīh al-Bukhari, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), 2/624; Abū Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qushayri Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Matba’ah ‘Isa al-Babi al-Halabi, Beirut, Lubnan: 1955), 2/963

[13]Abu Zakariyya Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi: Beirut, Lubnan,1972), 9/79

[14] Al-Nawawī, Al-Iḍah fi Manasik al-Hajj, (Dar al-Basyair al-Islamiyyah: Beirut, Lubnan, 1994), 406.

[15] Jalaluddin, ‘Abd al-Rahman al-Sayuti, Al-Asybah wa al-Nazair fī Qawaid wa Furu’ Fiqh al-Shafi’iyyah, (Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah: Beirut, Lubnan, 1983), hlm. 76

[16] Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke 20 hingga 27 1425H hingga 1432H (2004 hingga 2011), hlm. 13-14; diakses daripada: https://jundi75.wordpress.com/wp-content/uploads/2018/05/himpunan-resolusi-mhpk.pdf

\