SOALAN
Assalamualaikum. Sefaham saya orang yang melakukan korban perlu mengagihkan 1/3 daripada dagingnya kepada sesiapa sahaja. Bolehkah saya mengagihkan daging korban kepada penduduk taman yang termasuk daripada golongan non muslim?
Mohon penjelasan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Terdapat pandangan yang membenarkan perkara ini. Namun begitu, hendaklah didahulukan pembahagian daging korban kepada umat Islam terlebih dahulu khususnya daripada golongan fakir dan miskin. Sekiranya orang Islam sudah mendapat bahagian masing-masing dan masih terdapat lebihan daging korban, maka diharuskan untuk mengadakan jamuan dengan menjemput jiran tetangga dalam kalangan bukan Islam yang baik dan bersikap ramah untuk hadir makan bersama. Cara ini adalah lebih dekat kepada tujuan berdakwah dan membangun perasaan harmoni sesama jiran tetangga.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pada asasnya, Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk berbuat baik dan berlaku adil kepada semua manusia yang bersikap damai dan tidak memerangi mereka. Allah SWT berfirman:
لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ ﴿٨﴾
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Mumtahanah: 8)
Bahkan bagi golongan yang terdekat dan melakukan kebaikan kepada kita termasuk jiran-jiran yang baik, maka umat Islam dituntut untuk membalas semula kebaikan mereka tersebut. Rasulullah SAW menggalakkan perbuatan ini hatta jiran-jiran dalam kalangan bukan Islam. Daripada Mujahid, bahawa beliau berkata:
أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ عَمْرٍو ذُبِحَتْ لَهُ شَاةٌ فِي أَهْلِهِ، فَلَمَّا جَاءَ قَالَ: أَهْدَيْتُمْ لِجَارِنَا اليَهُودِيِّ؟ أَهْدَيْتُمْ لِجَارِنَا اليَهُودِيِّ؟ سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ.
Maksudnya: Abdullah ibn ‘Amru menyembelih seekor kambing bagi keluarganya, kemudian dia berkata: ‘Bolehkah aku menghadiahkannya kepada jiranku seorang Yahudi? Bolehkah aku menghadiahkannya kepada jiranku seorang Yahudi? Ini kerana aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Sentiasalah Jibril AS mewasiatkan kepadaku (berbuat baik) kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa Jibril AS akan mengarahkan daripada Allah SWT agar menjadikan mereka sebagai pewaris.’
Riwayat al-Tirmizi (1943)
Perbahasan hukum memberikan daging korban kepada orang bukan Islam ini merupakan khilaf dalam kalangan ulama. Para ulama Syafi’iyyah melarang daripada memberikan daging korban kepada orang bukan Islam kerana tujuan korban ialah untuk menyantuni umat Islam dengan memberi makan kepada mereka dan bukan kepada selain mereka. Imam Syamsuddin al-Ramli menyebutkan bahawa:
وَيُؤْخَذُ مِنْ ذَلِكَ امْتِنَاعُ إعْطَاءِ الْفَقِيرِ وَالْمُهْدَى إلَيْهِ مِنْهَا شَيْئًا لِلْكَافِرِ، إذْ الْقَصْدُ مِنْهَا إرْفَاقُ الْمُسْلِمِينَ بِالْأَكْلِ لِأَنَّهَا ضِيَافَةُ اللَّهِ لَهُمْ فَلَمْ يَجُزْ لَهُمْ تَمْكِينُ غَيْرِهِمْ مِنْهُ لَكِنْ فِي الْمَجْمُوعِ أَنَّ مُقْتَضَى الْمَذْهَبِ الْجَوَازُ.
Maksudnya: Diambil daripada perkara ini bahawa haram bagi orang fakir atau orang yang dihadiahkan daging korban untuk memberikan sedikit daripadanya kepada orang bukan Islam. Ini kerana tujuannya adalah untuk menyantuni umat Islam dengan memberi makan kepada mereka kerana ia satu bentuk anugerah Allah SWT kepada mereka. Oleh itu tidak diharuskan untuk memberikan kepada selain daripada mereka. Namun begitu dalam kitab al-Majmu’ dikatakan bahawa muqtada mazhab adalah diharuskan.[1]
Walau bagaimanapun, seperti disebutkan di atas, terdapat pandangan daripada Imam al-Nawawi yang menukilkan keharusan memberi makan daging korban kepada orang bukan Islam daripada korban yang sunat. Kata beliau:
قال فإن طبخ لحمها فلا بأس بأكل الذمي مع المسلمين منه هذا كلام ابن المنذر ولم أر لأصحابنا كلاما فيه ومقتضى المذهب أنه يجوز إطعامهم من ضحية التطوع دون الواجبة والله أعلم.
Maksudnya: Jika dimasak daging korbannya, maka diharuskan untuk seorang zimmi untuk makan bersama dengan orang Islam. Ini merupakan pandangan Ibn Munzir. Aku (al-Nawawi) tidak melihat pandangan bagi ulama Syafi’iyyah dalam perkara ini dan muqtada mazhab harus untuk memberi makan kepada mereka (bukan Islam) daripada korban yang sunat, tidak bagi korban yang wajib .[2]
Pandangan juga disebutkan oleh Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni bahawa:
فصل: ويجوز أن يطعم منها كافرا. وبهذا قال الحسن، وأبو ثور، وأصحاب الرأي. وقال مالك: غيرهم أحب إلينا. وكره مالك والليث إعطاء النصراني جلد الأضحية. ولنا أنه طعام له أكله فجاز إطعامه للذمي، كسائر طعامه، ولأنه صدقة تطوع، فجاز إطعامها الذمي والأسير، كسائر صدقة التطوع. فأما الصدقة الواجبة منها، فلا يجزئ دفعها إلى كافر لأنها صدقة واجبة، فأشبهت الزكاة، وكفارة اليمين.
Maksudnya: Fasal: Harus memberi makan daging korban kepada orang kafir. Ini merupakan pandangan al-Hasan, Abu Thawr dan ashab al-ra’y. Malik berkata: Pandangan selain mereka adalah lebih aku sukai. Malik dan al-Laith memakruhkan untuk memberikan kulit binatang korban kepada orang Nasrani. Bagi pandangan kami, ia ialah makanan yang harus baginya untuk makan, maka harus untuk memberi makan kepada zimmi sama seperti makanan-makanan lain. Ini juga kerana ia merupakan korban yang sunat, maka boleh diberikan makan kepada zimmi dan tawanan sama seperti sedekah sunat yang lain. Adapun korban yang wajib, maka tidak sah dibayarkan kepada orang kafir kerana ia sedekah yang wajib yang diumpamakan seperti zakat dan kaffarah sumpah.[3]
Ini juga pandangan Ibn Mazah daripada mazhab Hanafi yang mengharuskannya dengan berkata:
ويجوز أن يطعم منه الغني والفقير، ويهب منه ما شاء لغني أو فقير، أو مسلم أو ذمي.
Maksudnya: Harus untuk memberi makan daripada daging korban kepada orang kaya dan miskin. Begitu juga harus untuk menyedekahkan apa yang dikehendaki kepada orang fakir atau kaya, orang Islam atau zimmi.[4]
Selain daripada itu, beberapa institusi fatwa antarabangsa juga turut memberikan fatwa yang sama iaitu keharusan memberikan daging korban kepada orang bukan Islam seperti Jabatan Fatwa Jordan (Dairat al-Ifta’ al-‘Am).[5] Di samping itu, Jabatan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta’ al-Misriyyah). Institusi itu menambah bahawa keharusan perbuatan ini adalah berdasarkan perintah Allah SWT agar melakukan ihsan kepada seluruh manusia dan menguatkan jalinan keharmonian serta kasih sayang sesama anggota masyarakat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan agama.[6]
Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pandangan yang membenarkan dalam perkara ini. Walau bagaimanapun dalam melaksanakan perkara ini perlu untuk diperhatikan beberapa aspek yang lain juga seperti maqasid syarak dan siyasah syar’iyyah:
Pertama hendaklah didahulukan orang Islam terlebih dahulu kerana tujuan ibadah korban ialah untuk menyantuni mereka dengan memberi makan daging korban tersebut kepada mereka, terutama golongan fakir miskin. Hal ini kerana gologan fakir miskin daripada orang Islam adalah lebih berhak kepada daging tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam ayat 28, surah al-Hajj.
Kedua, jika terdapat keperluan untuk memberikan daging korban kepada orang bukan Islam maka boleh bertaqlid kepada pandangan yang membenarkannya berdasarkan kaedah:
من ابتلي بشيء في المختلف فيه فليقلّد من أجاز
Maksudnya: Sesiapa yang menghadapi kesulitan dalam sesuatu perkara khilaf, maka boleh bertaqlid kepada pandangan yang mengharuskan.
Contoh situasi ialah apabila semua umat Islam telah mendapat bahagian mereka masing-masing dan masih terdapat lebihan daging korban, maka diharuskan untuk diadakan jamuan makan dengan menjemput semua penduduk, termasuk jiran tetangga bukan Islam yang baik dan berakhlak mulia, untuk makan daripada daging yang dimasak tersebut. Inilah cara yang lebih dekat dari sudut tujuan untuk berdakwah dan membangunkan perasaan harmoni sesama penduduk.
WaAllahu a’lam.
Rujukan:
[1] Al-Ramli, Syamsuddin, Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1984), jld. 8, hlmn. 141.
[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: Tiba’ah Muniriah, 1348H), jld. 8, hlmn. 425.
[3] Ibn Qudamah, Abdullah Ibn Ahmad, al-Mughni, (Kaherah: Maktahab Qahirah, 1969), jld. 9, hlmn. 450.
[4] Ibn Mazah, Burhanuddin, al-Muhith al-Burhani fi Fiqh al-Nu’mani, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 2004), jld. 6, hlmn. 94.
[5] Rujuk pautan: https://aliftaa.jo/research-fatwas/3120/%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%B6%D8%AD%D9%8A%D8%A9-%D9%8A%D8%A3%D9%83%D9%84-%D9%85%D9%86%D9%87%D8%A7-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D9%84%D9%85-%D9%88%D8%BA%D9%8A%D8%B1-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D9%84%D9%85
[6] Rujuk pautan: https://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/18973/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%A5%D8%B7%D8%B9%D8%A7%D9%85-%D8%BA%D9%8A%D8%B1-%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D9%84%D9%85-%D9%85%D9%86-%D9%84%D8%AD%D9%85-%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%B6%D8%AD%D9%8A%D8%A9