Soalan:
Baru-baru ini semasa ayah saya tunjukkan lembu yang akan dikorbankan oleh keluarga kami, beliau berkata, 'Inilah lembu korban keluarga kita.' Tapi saya ada dengar seorang ustaz kata, kalau kita sebut macam tu, lembu tu jadi korban nazar dan kita tak boleh makan dagingnya. Betulkah begitu? Adakah hanya dengan kata-kata begitu sudah jadi nazar?
Ringkasan Jawapan:
Pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi’i ungkapan “Inilah lembu korban kita” boleh menyebabkan binatang korban tersebut menjadi nazar iaitu haram untuk dimakan oleh ahli keluarga. Namun melihat kepada realiti masyarakat di Malaysia kami berpandangan bahawa orang ramai boleh mengambil pandangan kedua dalam mazhab Syafi’i seperti yang dinyatakan oleh Sayyid Umar al-Basri yang tidak menganggap ungkapan tersebut menjadikan bintang yang ingin dikorban menjadi nazar selagi niatnya hanyalah untuk memberitahu.
Huraian Jawapan:
Hukum melakukan korban adalah sunat yang sangat dituntut (sunat muakad)[1] Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: “Maka tunaikanlah solat untuk Tuhan kamu dan lakukanlah sembelihan.”
Surah al-Kauthar (2)
Imam Ibn Kathir setelah menyenaraikan pandangan ulama yang banyak beliau menjelaskan bahawa menurut pendapat yang kuat perkataan “وانحر” bermaksud menyembelih binatang korban[2]. Selain itu, terdapat hadis-hadis yang banyak berkenaan kelebihan melakukan korban antara hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:
مَا عَمِلَ ابْنُ آدَمَ يَوْمَ النَّحْرِ عَمَلًا أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ مِنْ هِرَاقَةِ دَمٍ وَإِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَشْعَارِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ عَلَى الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam melakukan amalan pada hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah SWT daripada melakukan korban kerana Sesungguhnya pada hari kiamat dia akan datang dengan tanduk, kuku, dan bulunya (haiwan yang dikorbankan). Sesungguhnya darah tersebut akan diterima oleh Allah SWT sebelum ia sampai ke tanah maka jadikanlah dirimu menyukai amalan korban ini.”
(Riwayat Tirmizi)
Menurut pandangan mazhab Syafi’i, hukum melakukan korban pada asalnya adalah sunat. Namun, jika korban itu diniatkan sebagai nazar atau disertai dengan ucapan seperti 'Ini binatang korban,' bahkan walaupun dilakukan tanpa menyedari kesannya dan hanya berniat untuk memberitahu, maka ia tetap dikira sebagai nazar. Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Syaikh Said Ba’syin:
فما يقع في العامة من قولهم: (هذه أضحية) جاهلين ما يترتب على ذلك، بل وإن قصدوا الإخبار تصير به منذورة
Maksudnya: "Apa yang sering diucapkan oleh orang awam, seperti berkata ‘Ini adalah korban,’ adalah kerana ketidaktahuan mereka terhadap kesan daripada ucapan tersebut. Malah, walaupun niat mereka hanya untuk memberitahu, ucapan itu tetap menjadikan haiwan tersebut sebagai nazar[3].”
Oleh itu, binatang yang telah menjadi korban nazar tidak boleh untuk dimakan oleh ahli keluarganya dan wajib dibahagikan kesemuanya kepada fakir miskin. Imam Khatib al-Syirbini berkata:
والأضحية الواجبة لا يجوز له الأكل منها
Maksudnya: "Korban wajib tidak boleh bagi orang yang melakukannya memakannya[4]."
Walau bagaimanapun, terdapat pandangan lain daripada sebahagian ulama mazhab Syafi’i seperti yang dinyatakan oleh Sayyid Umar al-Basri[5] yang boleh memberikan kelonggaran kepada masyarakat awam yang tidak memaksudkan nazar dengan perkataannya “Ini korban ku”. Imam al-Syirwani dalam Hasyiah ala Tuhfah al-Muhtaj menjelaskan:
يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ مَحَلُّهُ مَا لَمْ يَقْصِدْ الْإِخْبَار فَإِن قَصَدَهُ أَيْ هَذِهِ الشَّاةَ الَّتِي أُرِيدَ التَّضْحِيَةُ بِهَا فَلَا تَعْيِينَ
Maksudnya: “Lafaz (ini adalah haiwan korban) mestilah difahami dalam konteks tiada niat untuk memberitahu. Namun, sekiranya niatnya adalah untuk memberitahu, seperti menyatakan ‘Kambing inilah yang hendak dikorbankan,’ maka lafaz tersebut tidak dianggap sebagai niat korban nazar[6].”
Perkara ini telah dibincangkan dengan panjang lebar oleh Syeikh Ahmad Bik al-Husaini dalam karyanya bertajuk; “al-Qaul al-Waddah fi Anna al-Akla min al-Udhiyyah al-Mua’iyanah bi al-Ja’li minhu Sunnah wa Mubah”
Kesimpulan
Pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi’i ungkapan “Inilah lembu korban kita” boleh menyebabkan binatang korban tersebut menjadi nazar iaitu haram untuk dimakan oleh ahli keluarga.
Namun melihat kepada realiti masyarakat di Malaysia kami berpandangan bahawa orang ramai boleh mengambil pandangan lain dalam mazhab Syafi’i yang tidak menganggap ungkapan tersebut menjadikan bintang yang ingin dikorban menjadi nazar.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah Ibrahim al-Baijuri ala Syarh Ibn Qasim, (Beirut: Dar al-Fikr, 2009), 2:441.
[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, (Saudi: Dar Ibn Jauzi, 1431H), 7:674.
وَالصَّحِيحُ الْقَوْلُ الْأَوَّلُ، أَنَّ الْمُرَادَ بِالنَّحْرِ ذَبْحُ الْمَنَاسِكِ؛
[3] Said bin Muhammad Ba’syin, Busyra al-Karim bi Syarh Masail al-Ta’lim, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004)
[4] Al-Khatib al-Syirbni, Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994) 6:134.
[5] Busyra al-Karim bi Syarh Masail al-Ta’lim, 6:134.
لكن قال السيد عمر البصري: محله ما لم يقصد الإخبار، وإلا .. لم تتعين
[6] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyai al-Syirwani wa Abbadi, (Beirut: Dar Ihya’ al-Thurast al-Arabiy, 1983), 9:346.