SOALAN 67 (27 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 14/07/2015)
Adakah wajib berniat ketika mengeluarkan zakat?
JAWAPAN
Wajib berniat ketika mengeluarkan zakat untuk membezakannya daripada kaffarah dan sedekah yang lain. hal ini berdasarkan hadith yang masyhur:
إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالِّنيَّاتِ
Maksudnya: “Sesungguhnya amalan itu adalah dengan niat.”
Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907)
Sementara itu, pemilik harta yang berwakil pula hendaklah berniat ketika menyerahkan kadar zakat tersebut kepada wakilnya dan wakil tidak wajib lagi berniat ketika mengagihkannya kepada golongan yang berhak. Adalah afdhal sekiranya dia berniat ketika melakukan pembahagian tersebut. Sekiranya pemilik harta tidak berniat ketika menyerahkan zakat kepada wakilnya, maka niat wakil ketika melakukan pengagihan kepada penerima yang berhak tidak memadai.
Pemilik harta yang berniat ketika menyerahkan zakatnya kepada pemerintah, niatnya itu memadai kerana pemerintah adalah wakil kepada golongan yang berhak. Oleh itu, berniat ketika menyerahkan harta zakat kepada pemerintah, seolah-olah berniat ketika menyerahkan harta tersebut kepada golongan yang berhak menerima.
Sementara, pemilik harta yang tidak berniat ketika menyerahkan zakatnya kepada pemerintah, maka niat oleh pemerintah sahaja tidak memadai. Justeru, harta yang diserahkan kepadanya tidak dikira zakat. Ini kerana pemerintah adalah pengganti kepada pemilik harta, sebagaimana wakilnya. Oleh itu, niat pemerintah bagi pihak pemilik harta tidak diambil kira, sebagaimana niat wakil juga tidak memadai sekiranya pemilik harta tidak berniat berwakil kepadanya.