Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

PENSYARIATAN ZAKAT

SOALAN 53 (21 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 08/07/2015)

Bilakah pensyariatan zakat?

 

JAWAPAN

Pendapat ulama yang sahih menyatakan bahawa zakat mula disyariatkan pada tahun kedua setelah Nabi SAW berhijrah ke Madinah tidak berapa lama sebelum puasa difardhukan.

            Pendapat yang masyhur menurut Sunnah menyatakan bahawa zakat fitrah difardhukan pada tahun ke-2 Hijrah iaitu pada tahun yang difardhukan puasa Ramadan. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

أَنَّ رَسولَ الله صَلَّى الله عَلَيهِ وَسَلَّمَ فَرْضَ زَكَاةَ الفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ صَاعًا مِنْ تَمْرٍ أَو صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ عَلَى كُلِّ حُرِّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah iaitu satu gantang tamar atau satu gantang sya’ir pada bulan Ramadan ke atas setiap orang Islam, sama ada yang bebas atau hamba lelaki atau perempuan.”

Riwayat Bukhari (1433) dan Muslim (984)

 

Dikemukakan di sini dua pendapat yang lain berkenaan tarikh pensyariatannya:

  • Ibn al-Athir memutuskan di dalam kitabnya al-Kamil fi al-Tarikh bahawa zakat telah difardhukan pada tahun kesembilan Hijrah. Sebahagian ulama telah menyokong pendapat yang diutarakan oleh Ibn al-Athir ini berdasarkan kepada kisah yang berlaku kepada Tha’labah bin Hatib antara lain disebutkan: Apabila diturunkan ayat berkaitan sedekah (zakat), maka Nabi SAW telah mengutuskan seorang amil seraya berkata: “Ini tidak lain kecuali jizyah atau saudara jizyah.” Jizyah telah difardhukan pada tahun ke-9 Hijrah, maka zakat juga difardhukan pada tahun yang sama.

Walau bagaimanapun al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadith yang dijadikan dalil itu adalah hadith dha’if dan tidak boleh dijadikan hujah.

  • Manakala Ibn Khuzaimah pula di dalam sahihnya berpendapat bahawa zakat telah difardhukan sebelum hijrah berpandukan kepada hadith Ummu Salamah ketika menceritakan kisah hijrah para sahabat Nabi SAW ke Habsyah. Pendalilan berdasarkan kepada hadith tersebut boleh dipertikaikan kerana solat dan juga puasa masih belum difardhukan lagi. Di dalam kitab Tarikh al-Islam dinyatakan bahawa zakat difardhukan pada tahun Pertama Hijrah.

 

Semoga kita menjadi golongan yang menunaikan zakat dan seterusnya mendapat keredhaan Allah SWT dan keberkatan rezeki dengan sebab berzakat. Amin.