Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-103 : HUKUM BERPUASA DI NEGARA YANG SIANGNYA PANJANG

Soalan :

Saya berpuasa di negara Norway yang mana siangnya adalah 19 jam setengah. Bagaimana dengan puasa saya.? Bilakah waktu yang tepat untuk saya berbuka?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Islam adalah agama yang mudah dan Allah tidak memberatkan hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggungnya. Firman Allah swt :

لَا يُكَلِّفُ ٱللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya :” Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah : 286)

Sheikh Ibrahim al-Baijuri ketika menjelaskan makna puasa yang ditakrifkan oleh Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi :

Yang dimaksudkan menahan dari perkara yang membatalkan sepanjang siang hari bermaksud bermula dari terbit matahari sehingga tenggelam matahari.”

Rujuk Hasyiah al-Bajuri ‘ala Syarh al-Allamah Ibn Qasim al-Ghazzi(1/427)

Dalam situasi yang dijelaskan oleh penyoal. Ada dua pandangan :

  1. Dia perlu berpuasa seperti biasa bermula terbit matahari sehinggalah terbenam matahari. Walaupun siangnya panjang, akan tetapi malam dan siang tetap dapat dibezakan dalam tempoh 24 jam. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadis yang menyatakan waktu solat itu ada yang ditunaikan pada waktu siang dan ada yang ditunaikan pada waktu malam.

Firman Allah swt :

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمْسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيْلِ وَقُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ ۖ إِنَّ قُرْءَانَ ٱلْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا

Maksudnya :” Dirikanlah olehmu sembahyang ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam, dan (dirikanlah) sembahyang subuh sesungguhnya sembahyang subuh itu adalah disaksikan (keistimewaannya).”

(Surah al-Isra’ : 78)

Firman Allah lagi :

إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya :” Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

(Surah al-Nisa’ : 103)

Kedua-dua ayat al-Quran ini disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Amru Bin al-‘As. Nabi saw bersabda :

وَقْتُ الظُّهْرِ إِذَا زَالَتْ الشَّمْسُ وَكَانَ ظِلُّ الرَّجُلِ كَطُولِهِ مَا لَمْ يَحْضُرْ الْعَصْرُ وَوَقْتُ الْعَصْرِ مَا لَمْ تَصْفَرَّ الشَّمْسُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْمَغْرِبِ مَا لَمْ يَغْرُبْ الشَّفَقُ وَوَقْتُ صَلَاةِ الْعِشَاءِ إِلَى نِصْفِ اللَّيْلِ الْأَوْسَطِ وَوَقْتُ صَلَاةِ الصُّبْحِ مِنْ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَا لَمْ تَطْلُعْ الشَّمْسُ فَإِذَا طَلَعَتْ الشَّمْسُ فَأَمْسِكْ عَنْ الصَّلَاةِ فَإِنَّهَا تَطْلُعُ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ

Maksudnya :” Waktu Zuhur adalah ketika matahari tergelincir. Iaitu bila bayang seseorang sama dengan ketinggiannya. Waktu asar adalah selagimana matahari tidak kekuningan. Waktu solat Maghrib selagimana mega tidak hilang. Waktu solat Isyak pula berpanjangan sehingga sebahagian tengah malam. Dan waktu solat Subuh bermula terbitnya fajar dan berpanjangan selagimana matahati tidak terbit. Jika matahari sudah terbit maka berhenti bersolat. Kerana pada waktu itu, matahari terbit di antara dua tanduk Syaitan.”

Riwayat Muslim (1419)

Maka menurut pandangan ini, walaupun waktu siang di negara tersebut menjangkau 19 jam akan tetapi waktu berpuasa adalah tetap bermula dari terbit matahari sehinggalah terbenamnya mahatari mengikut waktu di Negara tersebut. Ini kerana, malam dan siang tetap dapat dibezakan dalam 24 jam. Ianya dikuatkan lagi dengan firman Allah swt :

كُلُوا۟ وَٱشْرَبُوا۟ حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ ٱلْخَيْطُ ٱلْأَبْيَضُ مِنَ ٱلْخَيْطِ ٱلْأَسْوَدِ مِنَ ٱلْفَجْرِ ۖ

Maksudnya:” Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar.”

(Surah al-Baqarah : 187)

  1. Situasi sebegini disebut sebagai اختلال العلامة iaitu cacatnya alamat. Ini kerana siangnya panjang lebih daripada kebiasaan di sebahagian negara. Dalam keadaan ini boleh untuk menqiyaskan waktu berbuka kepada mana-mana dua kawasan ini. Iaitu :
  • Kota suci Mekah
  • Negara terdekat yang siang dan malamnya mempunyai tempoh waktu yang sama

Ini adalah pandangan yang dikemukakan oleh Sheikh Muhammad Abduh, Sheikh Jad al-Haq, bekas Shaikhul Azhar, Sheikh Abdul Latif Hamzah,Sheikh Said Tantawi, Sheikh Ali Jumuah dan juga pandangan Sheikh Mustafa al-Zarqa’.

Rujuk al-‘Aql wa al-Fiqh Fi Fahm al-Hadith al-Nabawi (m/s 124)    

Kesimpulan dari dua pandangan tersebut, kami lebih cenderung kepada pandangan yang kedua. Ini kerana ia lebih menepati maqasid Syara’ dan memberi keringanan kepada mereka yang terpaksa berpuasa lebih dari 19 jam. Ini berdasarkan firman Allah swt :

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِى ٱلدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya :” Dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama .”

(Surah al-Haj : 78)

Kata Sheikh Mustafa al-Zarqa’ :

“Yang paling penting adalah menjaga maqasid  syariat dalam menentukan waktu solat dan juga waktu berpuasa agar ia tidak menjadi satu taklifan yang tidak  mampu dilakukan. Dan juga menyerlahkan maksud syariat itu tanpa ada pengurangan padanya.”

Rujuk al-‘Aql wa al-Fiqh Fi Fahm al-Hadith al-Nabawi (m/s 125)    

Wallahu’alam.