Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-119 : DARAH SEDIKIT YANG KELUAR SEMASA BERPUASA SELEPAS SUCI

ifkr119 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

‘Period” saya dah habis, dah mandi wajib, dah solat dan berpuasa, tiba-tiba pukul 5 petang tengok masih ada berbaki sedikit darah. Adakah sah puasa saya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Antara salah satu syarat sah puasa ialah suci daripada haid dan nifas. Fakta ini disebutkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/81) : “Syarat-syarat sah puasa ialah: … 3) Tiada sebarang keuzuran yang menghalang puasa. Pitam dan gila yang berterusan sepanjang hari serta haidh dan nifas.”

Syeikh Sa`id Ba I`syn menghuraikan syarat ini dalam kitab Busyra al-Karim (hlm.554) : “Maka jika seseorang itu murtad, keluar haid, nifas, atau gila sekalipun satu lahzah (sebentar sahaja)… maka batal puasanya seperti (hukum dalam) solat.”

Darah yang keluar dari rahim wanita sekalipun selepas mandi dan berpuasa, adalah darah hadi. Darah itu bukan darah fasad atau istihadah kerana ia masih keluar dalam tempoh 15 hari maksimum haid. Manakala tempoh berhenti yang sebentar itu, sekalipun lebih sehari, disebut sebagai fatrah naqa’ yang masih dianggap sebagai tempoh haid apabila ia menyelangi antara dua darah selagi mana dalam tempoh 15 hari. Kami menghuraikan isu fatrah naqa ini dalam artikel Al-Kafi #690 : Melewatkan Mandi Wajib Kerana Menunggu Darah Haid Habis Keluar.[1]

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, nyatakah bahawa ‘period’ atau darah haid itu masih belum habis dan darah yang keluar pada jam 5 petang itu adalah darah selepas berlakunya fatrah naqo’, selagi mana dalam tempoh sehari semalam. Oleh itu, puasa yang dilakukan pada hari itu adalah terbatal dan wajiblah digantikan kemudian hari. Wallahua’lam.

 

Rujukan: 

[1] http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2213-al-kafi-690-melewatkan-mandi-wajib-kerana-menunggu-darah-haid-habis-keluar