Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 131 : SIAPAKAH YANG MENDAPAT GANJARAN PAHALA MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG BERBUKA ?

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN 131

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, saya selalu tertanya-tanya siapakah yang mendapat pahala memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Adakah mereka yang memberikan sumbangan kurma atau mereka yang menyumbang untuk juadah berat yang mendapat pahala tersebut kerana kadangkala orang ramai berbuka dengan kurma terlebih dahulu ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.

Riwayat Al-Tirmizi (807)

Bahkan kata Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).

Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.

Surah Al-An’aam (160)

Justeru apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat berkenaan kadar manakah yang dikira sebagai memberi makan berbuka kepada golongan yang berpuasa ? Adakah pahala memberi makan itu terhasil dengan memberi sekalipun sebiji kurma atau sebekas air atau memberi makanan-makanan yang menghasilkan kekenyangan kepada golongan yang berbuka puasa ?

Kata Imam Ibn Muflih ketika mensyarahkan hadis kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa di atas: ‘’Yang zahir dari pendapat para ulama adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadis) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka’’. Rujuk Al-Furu’, Ibn Muflih (3/73).

Oleh yang demikian seseorang itu sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadis.

Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab: ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)

Manakala pendapat yang kedua menyebut bahawa pahala memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa tidak terhasil melainkan bagi mereka yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa (melalui makanan yang disediakan). Ini kerana dengan terhasilnya kekenyangan akan tercapailah maksud dari sudut memberi kekuatan kepada orang berpuasa tersebut untuk beribadah dan mencukupkan dirinya pada malam tersebut. Inilah pendapat yang ditarjihkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa pandangan yang paling tepat adalah sesiapa sahaja yang memberi makan kepada orang berbuka puasa dengan apa sahaja makanan maka dia telah mendapat ganjaran pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa. Ini tanpa mengambil kira makanan tersebut adalah kurma, bubur, secawan air, ataupun makanan berat sekalipun.

Meskipun begitu, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa yang memberi kekenyangan adalah lebih afdhal dan lebih besar pahala yang diperoleh. Ini merujuk kepada hadis Rasulullah S.A.W yang bersabda:

وَمَنْ أَشْبَعَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ وَسَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Dan sesiapa yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa maka dia akan mendapat keampunan atas dosa-dosanya, dan Allah akan memberikan dia minum daripada Haudh (telaga) ku dengan minuman yang akan menyebabkan dia tidak akan dahaga selamanya sehinggalah dia masuk ke dalam syurga.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)

Demikian juga terhasil pahala kepada mereka yang memberi makan kepada orang berbuka, tanpa mengambil kira ia di makan terdahulu atau terkemudian selama masih dalam tempoh berbuka puasa.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.