Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-143 : SOLAT SUNAT BA'DIYAH ISYAK DAHULU ATAU TERUS SOLAT SUNAT TARAWIH?

ifkr 143 compressed

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah tengok di satu surau di mana sejurus selepas solat isyak terus didirikan solat tarawih tanpa diberi ruang untuk solat sunat ba’diah?. Mana yang lebih baik ustaz?. Kita buat solat tarawih terus atau solat sunat ba’diah terlebih dahulu?

Jawapan :

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat tarawih merupakan salah satu amalan yang digalakkan untuk menghidupkan bulan Ramadhan. Ini berdasarkan kepada umum hadis :

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya :” Sesiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”

Riwayat Al-Bukhari (2009) & Muslim (1816)

Imam Al-Nawawi mengatakan yang dimaksudkan dengan menghidupkan malam Ramadhan adalah solat tarawih. Pada ulama bersepakat bahawa ianya adalah sunat dan mereka berselisih tentang mana yang lebih baik untuk dilakukan. Adakah di rumah atau berjemaah di masjid. Imam al-Syafi’I, Abu Hanifah, Imam Ahmad dan sebahagian ulama bermazhab maliki mengatakan bahawa sunat untuk dilakukan secara berjemaah di masjid. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 15/42).

Secara ringkasnya solat tarawih merupakan antara amalan-amalan yang digalakkan untuk dilakukan khususnya di dalam bulan Ramadhan selain daripada membaca al-Quran, berzikir, bersedekah dan lain-lain.

Solat sunat rawatib pula adalah solat sunat yang mengiringi solat fardu.Ianya terbahagi kepada dua iaitu sunat muakkad dan ghair muakkad. Sunat muakkad adalah solat sunat rawatib yang sentiasa dilazimi dan dilakukan oleh Nabi SAW.Baginda tidak pernah meninggalkannya sama ada ketika bermusafir mahupun ketika bermukim. Solat sunat rawatib yang muakkad ialah dua rakaat sebelum subuh, dua rakaat sebelum zohor,dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib dan dua rakaat selepas isyak.Manakala yang solat sunat rawatib yang ghair muakkad ada dua belas iaitu dua rakaat yang lain sebelum dan selepas zohor,empat rakaat sebelum asar, dua rakaat sebelum maghrib dan dua rakaat sebelum isyak. Jika dihitung, kesemuanya adalah sebanyak 24 rakaat.

Ini berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Saidatina Aisyah R.A. Nabi SAW bersabda :

مَنْ ثَابَرَ عَلَى ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً مِنْ السُّنَّةِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ

Maksudnya :” Sesiapa yang sentiasa melakukan 12 rakaat solat sunat maka Allah akan bina untuknya rumah di syurga.(Solat sunat tersebut ialah). Empat rakaat sebelum zohor, dua rakaat selepasnya, dua rakaat selepas maghrib,dua rakaat selepas isyak dan dua rakaat sebelum subuh.”

Riwayat Al-Tirmizi (414)

Kelebihannya sangat besar sehingga sesiapa yang melaziminya akan menjadi teman Nabi SAW di syurga. Ini berdasarkan kepada pertanyaan Rabi’ah Bin Ka’ab Al-Aslami kepada Rasulullah SAW. Beliau ingin menjadi peneman Baginda di syurga kelak. Lalu beliau tanya bagaimana caranya. Rasulullah SAW bersabda :

فَأَعِنِّى عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ

Maksudnya :” Bantulah dirimu (untuk mencapai apa yang kamu hajatkan) dengan perbanyakkan sujud.”

Riwayat Muslim (754)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, seelok-eloknya dilakukan terlebih dahulu solat sunat selepas isyak sebelum menunaikan solat sunat tarawih. Ini kerana solat sunat selepas solat fardu adalah solat sunat yang sentiasa dilazimi oleh Nabi SAW.

Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa sepakat para ashab menyatakan bahawa solat sunat rawatib lebih afdal. Ini kerana solat sunat rawatib sentiasa dilakukan tidak seperti solat tarawih.Inilah pandangan yang sahih. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/5).

Bahkan para fuqaha dari mazhab lain seperti mazhab Hanbali menyebut bahawa solat sunat tarawih itu waktunya adalah usai menunaikan solat sunat selepas isyak. Al-Buhuti menyebut :

“Waktu solat tarawih itu adalah selepas solat fardu isyak dan juga selepas menunaikan solat sunat ba’diyah selepas isyak.” (Rujuk Kassyaf Al-Qina’ ‘an Al-Iqna’, 3/269)

Kesimpulannya, sebelum menunaikan solat sunat tarawih seeloknya dilakukan terlebih dahulu solat sunat isyak. Setelah selesai barulah ditunaikan solat tarawih. Cadangan kami kepada Imam dan bilal yang bertugas berilah ruang kepada jemaah untuk menunaikan solat sunat ba’diyah selepas isyak terlebih dahulu. Jangan terlalu tergesa-gesa sehingga meninggalkan sunnah yang paling besar. Bagi para jemaah yang tidak sempat untuk melakukan solat sunat ba’diyah sejurus selepas solat fardu isyak, maka jangan khuatir dan gusar. Ini kerana waktu bagi solat sunat ba’diyah tamat dengan tamatnya waktu solat fardu. Ini bermakna solat sunat ba’diyah isyak masih boleh dilakukan selepas daripada solat sunat tarawih.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman di dalam agama-nya dan memberi kita kekuatan untuk sentiasa melazimi solat-solat sunat. Wallahu’alam.