Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 146: APAKAH MAKSUD DUA KEGEMBIRAAN YANG DIPEROLEHI OLEH ORANG YANG BERPUASA?

2 kegembiraan org puasa.JPG

SOALAN:

Assalamualaikum Dato’ SS Mufti. Saya ingin bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan dua kegembiraan yang diperolehi oleh orang yang berpuasa, iaitu kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya? Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

 

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Sesungguhnya Allah SWT telah memberikan kelebihan dan kemuliaan kepada orang yang berpuasa. Terdapat banyak hadith yang menyebutkan tentang kelebihan tersebut. Antaranya ialah hadith:

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ ، وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ

Maksudnya: Bagi orang yang berpuasa, dia akan memperolehi dua kegembiraan. Pertama, kegembiraan ketika dia berbuka puasa dan kedua kegembiraan ketika dia bertemu Tuhannya.

Riwayat al-Tirmizi (696)

Di dalam hadith di atas, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan iaitu ketika berbuka puasa dan ketika dia bertemu Allah SWT di akhirat kelak.

Para ulama’ telah memberi syarahan terhadap maksud dua kegembiraan tersebut.

  • Pertama, kegembiraan ketika berbuka puasa ialah kerana tabiat dan fitrah manusia cenderung kepada perkara syahwat daripada makan, minum, jima’ dan sebagainya. Justeru, apabila ia dilarang pada sesuatu masa kemudian ia dibolehkan semula selepas daripada itu, maka ia akan menimbulkan kegembiraan apabila dia boleh kembali melakukannya. Khususnya bagi orang yang sangat merasa kesusahan dan kekangan dalam menjalani ibadah puasa tersebut. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 215)
  • Kedua, kegembiraan ketika bertemu Tuhannya pula bermaksud, ganjaran balasan kebaikan yang diperolehnya daripada ibadah puasa yang dilaksanakan ketika dia bertemu Allah SWT di akhirat kelak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللَّـهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا ۚ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Muzammil: 20)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا

Maksudnya: (Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mendapati apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya, sedia dibentangkan (kepadanya dalam surat-surat amalnya).

(Surah Ali Imran: 30)

Justeru, apabila orang yang telah berpuasa tersebut melihat ganjaran yang bakal diperolehinya daripada Allah SWT, maka dia merasa gembira dengan puasa yang telah dilaksanakannya itu dengan sebaiknya. (Rujuk Lathaif al-Ma’arif Fiima Lil Mawasim al-‘Amm Min al-Wazhaif: 216-217)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyatakan bahawa maksud kedua-dua kegembiraan yang merupakan kegembiraan di dunia dan di akhirat. Di dunia, seseorang yang berpuasa akan memperoleh kegembiraan apabila dia dapat melakukan perbuatan yang dia dihalang daripada melakukannya ketika berpuasa dengan makan dan minum. Manakala, begitu juga di akhirat kelak, dia akan mendapat ganjaran yang besar yang disimpan oleh Allah SWT buatnya, maka dia bergembira dengan apa yang diperolehinya itu. WaAllahu a’lam.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamanya serta memberikan taufiq dan hidayat untuk kita terus beramal dengan ikhlas kepadaNya. Amin.