Soalan:
Assalamualaikum wrm. wbt.,
Apakah hukum menjual makanan pada waktu tengahari pada bulan Ramadhan?
Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.,
Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Isu menjual makanan pada waktu tengahari pada bulan Ramadhan adalah isu kontemporari yang wujud akibat kegiatan sebahagian orang Islam yang tidak segan-segan enggan untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan tanpa keuzuran dan kadang-kadang dilakukan secara terbuka. Sewaktu umat Islam melaksanakan Rukun Islam keempat ini dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari sisi Allah ﷻ, ada dalam kalangan peniaga yang tidak sensitif membiarkan orang-orang yang tidak berpuasa ini untuk makan dan minum di dalam premis mereka. Oleh itu, adalah menjadi kesalahan Syariah di kebanyakan negeri-negeri di Malaysia untuk menjual makanan dan minuman pada waktu siang bulan Ramadhan dengan tujuan makan serta merta pada waktu tersebut kerana dianggap tidak menghormati bulan Ramadhan.
Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] memperuntukkan bahawa:
“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-
- menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau
- secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya,
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”
Justeru, sekalipun dalam hukum hakam berkaitan jual beli Islam pada asalnya tidak melarang perbuatan jual beli makanan pada waktu siang bulan Ramadan, tetapi pihak pemerintah umat Islam berhak untuk mengenakan sekatan dan kawalan terhadap aktiviti jual beli tersebut apabila terdapat tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh Syariah. Rujuk artikel kami yang bertajuk Irsyad Usul Fiqh Siri Ke-50: Hak Pemerintah Untuk Mengehadkan Perkara Yang Harus (Taqyid Al-Mubah)[1]. Secara ringkas kami menyebut:
“Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kaedah taqyid al-mubah ini merupakan satu qaedah yang sahih dan mu’tabar disisi syarak, dan ia juga bertepatan dengan contoh-contoh dalam hukum-hakam fiqh serta kaedah syarak yang lain. Namun demikian, penetapan syarat atau penyempitan terhadap perkara-perkara yang harus ini tidaklah bersifat mutlaq, dan ia hanya terhad kepada skop yang dibenarkan bagi pemerintah untuk campur tangun, serta ia mestilah bertujuan untuk mencapai maslahah umum dan mengelakkan mudharat.”
Contohnya, dalam kes penentuan harga barang, kami berpendapat, t erdapat hadith Nabi ﷺ di mana orang ramai meminta Nabi ﷺ untuk mengawal harga barangan di pasar yang melambung tinggi pada waktu itu, namun Nabi ﷺ enggan dan bersabda:
إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah lah yang menetapkan harga barang, Dia yang Maha Menyekat, Maha Memberi dan Menyediakan; dan aku harap untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan tiada seorangpun daripada kamu yang menuntut haknya disebabkan kezaliman yang aku lakukan dari sudut nyawa atau harta benda.”
Riwayat Abi Dawud (3451), al-Tirmizi (1314) dan Ibn Majah (2200)
Hadith ini secara zahirnya mengisyaratkan bahawa para peniaga berhak menetapkan harga barang yang dijual dan kerajaan tidak berhak campur tangan. Namun menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, hadith ini tidak boleh digunakan sebagai hujjah untuk mengharamkan penetapan harga oleh pemerintah kerana ia merupakan kes khusus dan tidak terpakai dalam semua situasi. Bahkan dalam sebahagian keadaan, penetapan harga merupakan satu keadilan, namun ia menjadi satu kezaliman dalam keadaan yang lain.
Rujuk Majmu’ al-Fatawa 28/95; dan al-Turuq al-Hukmiyyah (hlm. 217)
Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata ijtihadnya:
“Hari ini boleh bagi seorang mujtahid untuk membenarkan penetapan harga barang apabila melihat kepada berubahnya keadaan-keadaan dan situas-situasi masyarakat. Ini untuk mentahqiqkan maslahah awam pada penetapan harga barang. Terdapat pendapat yang membenarkan penetapan harga barang ketika waktu al-ghala’ (krisis ekonomi) ke atas barang makanan. Justeru apabila pemerintah sudah menetapkan harga syiling, lalu penjual ingkar, maka menjadi hak pemerintah untuk mengenakan ta`zir (hukuman) ke atas pembeli, sekalipun jual beli itu asalnya adalah sahih.”
Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (3/65-66)
Selain itu, kaedah fiqh menyebut:
الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Menolong atas perlakuan maksiat ialah maksiat.”
Rujuk Ma`lamah Zayed (no.666); Ihya’ Ulumiddin (2/144) oleh al-Ghazali
Kaedah lain menyebut:
ما أَدَّى إلى الحَرَامِ فَهُو حَرَامٌ
Maksudnya: “Perkara yang membawa kepada perlakuan yang haram maka perkara itu juga haram.”
Rujuk Ma`lamah Zayed (no.666); Qawa`id al-Ahkam (2/218) oleh Imam Izz bin Abdissalam
Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami berpendapat seperti berikut:
- Haram hukumnya untuk menjual makanan pada waktu siang bulan Ramadhan dengan tujuan untuk memberi makan kepada orang yang tidak berpuasa, bukan disebabkan suatu keuzuran, dan dimakan serta merta, seperti mana yang termaktub di dalam akta. Namun apabila sudah termeterai akad, maka sahlah jual beli itu beserta dengan dosa.
- Perbuatan jual beli tersebut juga dianggap sebagai maksiat kerana tolong menolong dalam melakukan maksiat adalah maksiat jua.
- Dikecualikan daripada kes di atas ialah kepada individu-individu yang mendapat uzur Syarie seperti wanita berhaid, orang yang sakit, kanak-kanak dan orang yang tua tidak mampu berpuasa.
- Polisi yang diletakkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti had masa tertentu untuk berniaga, adalah amat baik dan sesuai dalam mengimbangi keperluan dan mengawal kerosakan yang wujud dalam isu ini. Pelanggaran terhadap peraturan ini boleh dikenakan hukuman ta’zir oleh pihak berkuasa.
Wallahua`lam.
Semoga Allah ﷻ memberikan taufiq dan hidayah kepada kita untuk menjadi para hamba-Nya yang bertaqwa. Amin.
Nota hujung:
[1] https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/4312-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-50-hak-pemerintah-untuk-mengehadkan-perkara-yang-harus-taqyid-al-mubah