Soalan:
Saya seorang mahasiswa di Universiti di Korea. Saya seringkali melalui perjalanan yang panjang ketika balik bercuti. Bagaimana sekiranya saya pulang ketika musim bulan Ramadhan? Setahu saya orang yang bermusafir diberikan rukhsah untuk berbuka puasa? Namun saya ada persoalan ketika itu mana lebih baik, berpuasa atau berbuka?
Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:
أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُون
Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui”.
(Surah al-Baqarah: 184)
Berkata Shaikh Wahbah al-Zuhaili ketika menguhuraikan ayat di atas: “Dan puasa itu tidak diwajibkan melainkan ke atas orang yang berkemampuan, sihat dan bermukim, adapun bagi orang bermusafir dan sakit yang kuat yang mana sekiranya mereka berpuasa boleh mendatangkan kesusahan, maka harus baginya untuk berbuka, dan ke atas mereka untuk mengganti puasa (yang telah ditinggalkan) pada waktu lain, kerana sakit dan musafir yang jauh perjalanan (iaitu sekadar jarak yang diharuskan untuk qasar solat atau 89 kilometer) itu boleh mendatangkan kesusahan dan kesusahan itu boleh membawa kemudahan ”. (Rujuk: Tafsir al-Munir, 2/133). Hal ini sebagaimana firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ، وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan”
(Surah al-Baqarah: 185)
Justeru, Islam memberikan rukhsah kepada orang yang bermusafir untuk berbuka puasa kerana musafir itu sendiri mendatangkan kesusahan kepada orang yang menempuhnya. Namun, berbalik kepada soalan di atas, adakah lebih baik bagi orang musafir untuk berbuka atau meneruskan puasanya?
Para ulama’ berselisih pandangan dalam masalah ini kepada beberapa pendapat:
Pendapat pertama: Di sisi mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki, berpuasa adalah lebih afdhal daripada berbuka sekiranya berpuasa tidak melemahkannya, namun sekiranya puasa tersebut dapat melemahkannya, maka ketika itu berbuka adalah lebih baik. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:
وَأَن تَصُومُوا خَيْرٌ لَّكُم إِن كُنتُمْ تَعْلَمُون
Maksudnya: “Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui”.
(Surah al-Baqarah: 184)
Berkata Imam al-Nawawi: “Sekiranya seseorang itu berpuasa dan boleh membawa mudarat kepadanya maka berbuka adalah lebih afdal, namun sekiranya tidak (membawa mudarat) maka berpuasa adalah lebih afdal kerana dengan berpuasa seseorang itu dapat membebaskan diri daripada tanggungan (husul bara’ah al-zimmah)”. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 6/261).
Berkata Shaikh Muhammad Abu Zahrah: “Adapun bagi orang yang bermusafir, sekiranya seseorang itu mampu untuk berpuasa tanpa sebarang masyaqqah maka lebih afdhal baginya untuk berpuasa, dan demikianlah hal itu tidak sampai menolak rukhsah yang diberikan kepada orang yang bermusafir, sementara itu melakukan musafir pada hari ini kebiasaanya tiada kesusahan yang melampau, demikinlah aku melihat bahawa berpuasa adalah lebih afdhal, tanpa kami menyebutkan wajibnya berpuasa (ketika musafir) sehingga hal tersebut tidak sampai kepada menolak rukhsah yang diberikan oleh Allah, kerana Allah suka untuk memberikan rukhsah sebagaimana di suka untuk memberikan ‘azimah”. (Rujuk: Zahrah al-Tafasir, 1/553).
Pendapat kedua: Di sisi mazhab Hanbali, berbuka adalah lebih afdhal daripada berpuasa. Hal ini berdasarkan hadis nabi S.A.W:
ليس من البرّ الصّيام في السّفر
Maksudnya: “Tiada kebaikan berpuasa ketika musafir”.
Riwayat al-Bukari (1844) dan Muslim (1115)
هِيَ رُخْصَةٌ مِنْ اللَّهِ، فَمَنْ أَخَذَ بِهَا فَحَسَنٌ وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَصُومَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Bahawasanya ia (berbuka) adalah rukhsah yang telah diberikan oleh Allah S.W.T, maka barangsiapa yang berbuka maka ia adalah baik, dan barang siapa yang ingin berpuasa maka tidak ada dosa baginya.”.
Riwayat Muslim (1121)
Berkata Imam Ahmad ketika menghuraikan hadis di atas: “Hal ini kerana ia (berbuka) termasuk di dalam rukhsah yang diberikan kepada orang musafir (mengikut ijmak para ulama’) maka mengambil rukhsah tersebut adalah lebih afdhal seperti halnya mengambil rukhsah mengqasarkan solat ketika musafir”. (Rujuk: Al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad, 1/435).
Pendapat ketiga: Yang lebih afdhal ialah yang paling mudah di antara keduanya. Ini adalah pandangan Umar Abdul Aziz, Ibn Munzir. Hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ، وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesusahan”.
(Surah al-Baqarah: 185)
Justeru, sekiranya berpuasa itu lebih mudahnya baginya maka ia lebih afdhal baginya, begitu juga sekiranya berbuka itu lebih mudah baginya maka ia lebih afdhal baginya, demikian sekiranya berbuka lebih mudah baginya ketika itu, namun boleh mendatangkan kesusahan baginya untuk menqadha’ semula pada hari yang lain, maka ketika itu berpuasa lebih afdhal baginya. (Rujuk: Fath al-Bari, 4/183)
TARJIH PANDANGAN
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami cenderung untuk mentarjihkan pandangan jumhur ulama’ yang mengatakan, adalah lebih afdhal berpuasa bagi sesiapa yang tidak ada sebarang masyaqqah dan puasa itu tidak membawa kepada mudarat kepada dirinya. Namun sekiranya puasa itu dikhuatiri membawa mudarat kepada dirinya, maka berbuka adalah lebih afdhal baginya.
Hal ini disebabkan beberapa perkara yang menjadikan berpuasa di bulan Ramadhan lebih afdhal daripada berbuka bagi orang musafir, di antaranya:
- Lebih cepat untuk membebaskan diri daripada tanggungan (husul bara’ah al-zimmah).
- Memudahkan para mukallaf untuk berpuasa dan berbuka bersama-sama dengan umat Islam yang lain. Manakala bagi seseorang yang berbuka puasa (ketika musafir) dan wajib ke atasnya untuk mengqadha’ puasa tersebut pada hari-hari yang lain, maka hal itu menyusahkannya (kerana tiada suasana) dan boleh menyebabkan seseorang menangguhkan untuk menqadha’ puasanya sehingga tiba Ramadhan berikutnya.
- Sesungguhnya kelebihan bulan Ramadhan itu sendiri besar, kerana ia adalah satu bulan yang dilipatgandakan segala kebaikan dan suatu bulan yang lebih baik daripada bulan-bulan yang lain. Maka lebih afdhal melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadhan kerana pahala yang diperoleh di bulan Ramadhan adalah lebih besar dan tidak sama dengan pahala yang diperoleh (daripada puasa qadha’) pada hari-hari yang lain. (Rujuk: Syarh Kitab al-Saum min Sahih al-Bukhari, 1/116).
Adapun mengenai hadis (ليس من البرّ الصّيام في السّفر) para ulama’ mengatakan bahawa hadis ini adalah ditujukan kepada orang yang takut membawa kepada mudarat dan mendatangkan kesusahan kepada dirinya sekiranya berpuasa. (Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 7/229).
Sementara itu, mengenai hadis (هي رخصة من الله) para ulama’ mengatakan bahawasanya masalah rukhsah berbuka puasa bagi musafir berbeza dengan rukhsah menqasarkan solat. Hal ini al-zimmah (tanggungan) itu tidak terangkat dengan meninggalkan puasa (iaitu wajib ke atasnya menqadha’ puasanya) berbeza halnya dengan mengqasarkan solat. Selain itu, telah luputnya kelebihan bulan (Ramadhan) dengan mengambil rukhsah (untuk berbuka puasa) berbeza halnya dengan menqasarkan solat ketika musafir. (Rujuk: Tafsir al-Razi, 5/246).
Kesimpulan
Tuntasnya, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
- Orang yang bermusafir diberikan rukhsah iaitu keringanan untuk berbuka puasa berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka)”. Hal ini juga kerana kebiasaannya orang yang musafir menempuh kesusahan dalam perjalanan dan sebarang kesusahan boleh membuka jalan kemudahan.
- Adalah lebih afdhal bagi orang bermusafir untuk berpuasa sekiranya dia tidak menanggung sebarang kesusahan akibat daripada puasa dan berpuasa tidak membawa sebarang mudarat kepada dirinya. Hal ini kerana ia boleh menyegerakan seseorang untuk membebaskan diri daripada tanggungan (husul bara’ah al-zimmah) dan supaya tidak luput kelebihan bulan Ramadhan (untuk melakukan ibadah) di dalamnya. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang dengan kemudahan pengangkutan dan teknologi yang baik menyebabkan seseorang tidak mengalami kesusahan yang melampau untuk tidak berpuasa.
- Namun sekiranya seseorang khuatir dengan berpuasa boleh membawa mudarat kepada dirinya atau boleh melemahkan dirinya maka lebih afdhal baginya untuk berbuka contohnya dalam keadaan seseorang yang hendak berperang atau ingin membuka kota atau menempuh perjalanan yang panjang merentasi benua berbeza sehingga tempoh puasanya menjadi lebih panjang daripada kebiasaan. Wallahu a’lam.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.