Soalan:
Apakah hukumnya jika saya berpuasa dengan niat ikhlas kerana Allah SWT, dan pada masa sama turut berhajat untuk mendapat kesihatan tubuh badan melalui ibadat puasa itu, berdasarkan hadith Nabi SAW “berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”. Jazakallah khair.
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Puasa dan Kesihatan
Ibadah puasa sering dikaitkan dengan aspek kesihatan. Ini kerana amalan berpuasa melibatkan perbuatan menahan makan dan minum bermula daripada fajar terbit sehingga matahari terbenam yang merupakan satu rutin yang berbeza bagi kebanyakan umat Islam di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan.
Ada sebahagian daripada kita yang berhujah bahawa ibadah puasa memberi kesan yang baik kepada kesihatan bersandarkan kepada hadith ini:
وَصُومُوا تَصِحُّوا
Maksudnya: “Dan berpuasalah, maka kamu akan sihat”.
Riwayat al-Thabarani (8312)
Kami telah menjelaskan status hadith ini dalam artikel kami terdahulu yang bertajuk: IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-272: STATUS HADITH PUASALAH MAKA KAMU AKAN SIHAT[1]. Kesimpulannya, hadith ini diriwayatkan oleh sekumpulan para sahabat Nabi SAW dan kesemua riwayat tersebut adalah tidak sahih untuk disandarkan kepada Nabi SAW.
Walaubagaimanapun, ini tidak menunjukkan bahawa makna (matan atau teks) hadith itu juga tidak sahih. Ini kerana, ilmu perubatan dan sains telah membuktikan bahawa amalan berpuasa mempunyai banyak faedah kepada kesihatan.
Puasa dengan ikhlas, tapi turut berniat untuk kesihatan badan
Dalam hal ini timbul persoalan: apakah hukumnya jika seseorang itu sememangnya berniat ikhlas kerana Allah SWT dalam melakukan satu ibadah, namun pada masa yang sama dia berniat untuk mendapat kelebihan dan habuan duniawi? Apakah ia dikira riya’ dan menjejaskan kesahihan ibadah?
Menurut Imam Jalaluddin al-Suyuti, hal ini perlu diperincikan oleh para ulama, dan dalam kes berpuasa beserta niat untuk menyihatkan tubuh badan dan sebagai satu cara perubatan, maka puasa itu dikira sah dan tidak membatalkan puasa, meskipun hal ini terdapat khilaf dalam kalangan ulama.
Hal ini sama seperti berwudhu atau mandi wajib beserta niat untuk menyejukkan badan, dimana pendapat yang lebib sahih ialah hukumnya sah. Hal ini kerana kesejukan badan itu tetap akan dicapai melalui wudhu atau mandi, tanpa perlu diniatkan. Niat untuk menyejukkan badan itu juga tidak menafikan niat ikhlas dalam melakukan ibadat tersebut. (Rujuk Al-Asybah wa al-Nazha’ir hlm. 20-21)
Menurut Imam Syihabuddin al-Qarafi pula, berpuasa beserta niat untuk menyihatkan tubuh badan dan menghilangkan penyakit tidak mencacatkan maqasid (objektif) hakiki puasa itu sendiri.
Kes yang sama juga dalam isu mereka yang berjihad ikhlas kerana Allah SWT, dan pada masa sama berniat untuk mendapat habuan dunia melalui harta rampasan (ghanimah). Hal tersebut tidak menjadi satu kesalahan, kerana habuan ghanimah itu sememangnya datang bersekali dengan amalan jihad itu sendiri; berbeza dengan mereka yang berjihad untuk dikenali sebagai seorang yang berani, atau mendapat kedudukan di sisi pemerintah, maka ia merupakan perbuatan riya’ yang diharamkan.
Sambil beliau turut menjelaskan bahawa meskipun niat untuk mendapat kelebihan dunia melalui ibadat ini tidak menyebabkan dosa dan tidak membatalkan kesahihan ibadat, perlu diingatkan bahawa ia mungkin menyebabkan berkurangnya pahala. Suatu ibadat yang suci daripada keinginan duniawi akan menambah pahala yang diperolehi, begitu juga sebaliknya. (Rujuk Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq 3/22-23)
Syeikh Umar bin Sulaiman al-Asyqar ketika menjelaskan penerangan Imam al-Qarafi ini turut menyatakan bahawa mencampurkan niat dalam ibadat ini tidak termasuk di bawah kategori riya’ sepertimana yang disalahfahami oleh sebahagian ulama. (Rujuk Maqasid al-Mukallafin, hlm. 454)
Kesimpulan
Tuntasnya, kami nyatakan bahawa sah puasa jika seseorang itu berniat ikhlas kerana Allah SWT, dan pada masa yang sama turut berhajat untuk memperoleh kesihatan tubuh badan daripada amalan puasa tersebut.
Namun kami juga ingin menegaskan bahawa tujuan utama seseorang itu berpuasa adalah sebagai tanda pengabdian seorang hamba itu kepada Allah dan juga untuk meraih taqwa. Adapun manfaat kesihatan dalam ibadah puasa, ia merupakan satu bonus dan hikmah yang dikurniakan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang taat melaksanakannya.
Kita juga hendaklah memperbanyakkan doa kepada Allah SWT seperti yang disebut di dalam doa Iftitah yang dibaca pada setiap kali solat agar kita beroleh ikhlas dalam setiap amalan yang kita lakukan:
قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّـهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”
Surah al-An’am (162)
Semoga Allah SWT mengurniakan kita kekuatan agar kita dapat melaksanakan serta menyempurnakan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya.
Wallahu a’lam.
Nota Kaki:
[1] Rujuk pautan: http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2450-irsyad-al-hadith-siri-ke-271-status-hadith-puasalah-maka-kamu-akan-sihat?highlight=WyJwdWFzYSIsInNpaGF0Il0=