Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu persoalan. Saya seorang pelajar tahfiz dan sepanjang musim pkp ini saya akan mengimamkan keluarga saya menunaikan solat terawih sepanjang bulan Ramadan. Saya ingin membahagikan bacaan saya dalam setiap rakaat dengan membaca lebih kurang satu muka surat kerana ingin mengkhatamkannya di akhir solat terawih di hujung Ramadan nanti. Tetapi bapa saya bertanya adakah perbuatan tersebut adalah sunnah dan dibolehkan? Justeru soalan saya, apakah hukum kita membahagikan ayat-ayat al-Quran yang akan dibaca di dalam solat terawih dengan harapan dapat mengkhatamkan al-Quran pada hujung bulan Ramadan nanti? Mohon pencerahan mengenai perkara ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ
Maksudnya : “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
(Surah al-Baqarah : 185)
Bulan Ramadan adalah bulan yang mana Allah mulai menurunkan al-quran pada malam Lailatul Qadar, sebagai petunjuk dan hidayah bagi seluruh manusia menuju kepada kebenaran. Di dalamnya terdapat bukti-bukti yang sangat jelas ke atas petunjuk Allah dan pembeza antara kebenaran dengan kebatilan. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 28)
Pada bulan yang mulia ini juga, Malaikat Jibril telah diutus kepada Nabi SAW bagi mengulangi bacaan al-Quran bersamanya. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa :
كانَ رَسولُ اللَّهِ ﷺ أجْوَدَ النّاسِ، وكانَ أجْوَدُ ما يَكونُ في رَمَضانَ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ، وكانَ جِبْرِيلُ يَلْقاهُ في كُلِّ لَيْلَةٍ مِن رَمَضانَ، فيُدارِسُهُ القُرْآنَ، فَلَرَسولُ اللَّهِ ﷺ حِينَ يَلْقاهُ جِبْرِيلُ أجْوَدُ بالخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ المُرْسَلَةِ
Maksudnya : “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah terutama pada bulan Ramadan ketika malaikat Jibril A.S menemuinya, dan Jibril A.S mendatanginya setiap malam di bulan Ramadan, lalu saling bertadarus al-Quran. Sungguh Rasulullah SAW orang yang paling pemurah dengan kebaikan (kepada orang yang memerlukan) lebih laju daripada tiupan angin.” Riwayat al-Bukhari (3220)
Hadis ini menunjukkan bahawa baginda SAW akan bertadarus al-Quran bersama Jibril A.S sepanjang bulan Ramadhan. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Jibril akan menemui baginda dan bertadarus bersamanya sekali dalam setahun, tetapi pada tahun wafatnya baginda , Jibril A.S telah menemuinya dan bertadarus bersamanya sebanyak dua kali. Riwayat al-Bukhari (4998)
Mengkhatamkan al-Quran di dalam solat terawih
Mengenai perkara ini, Syeikh Ahmad al-Barlisi ada menukilkan daripada Imam al-Isnawi bahawa :
التَّرَاوِيحُ سُنَّةٌ بِالْإِجْمَاعِ، وَأَفْتَى ابْنُ الصَّلَاحِ وَابْنُ عَبْدِ السَّلَامِ بِأَنَّ خَتْمَ الْقُرْآنِ فِي مَجْمُوعِهَا أَفْضَلُ مِنْ قِرَاءَةِ سُورَةِ الْإِخْلَاصِ ثَلَاثًا فِي كُلِّ رَكْعَةٍ
Maksudnya : “Solat terawih adalah sunat secara Ijma’ ulama. Dan Ibn al-Solah dan Ibn Abd al-Salam telah berfatwa bahawa mengkhatamkan al-Quran di dalam keseluruhan solat terawih adalah lebih baik daripada hanya membaca surah al-Ikhlas tiga kali di dalam setiap rakaat.” (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Amirah, 1/248)
Imam Abu Hanifah menyebutkan bahawa :
السُّنَّةُ الْخَتْمُ مَرَّةً، فَلا يَتْرُكُ الإِمَامُ الْخَتْمَ لِكَسَلِ الْقَوْمِ، بَلْ يَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ عَشَرَ آيَاتٍ أَوْ نَحْوَهَا، فَيَحْصُلُ بِذَلِكَ الْخَتْمُ لأِنَّ عَدَدَ رَكَعَاتِ التَّرَاوِيحِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ سِتُّمِائَةِ رَكْعَةٍ، أَوْ خَمْسُمِائَةٍ وَثَمَانُونَ، وَآيُ الْقُرْآنِ الْكَرِيمِ سِتُّ آلاَفٍ وَشَيْءٌ.
Maksudnya : “Sunnahnya mengkhatamkan al-Quran sekali (dalam bulan Ramadan). Oleh itu, janganlah Imam meninggalkan amalan mengkhatamkan al-Quran ini disebabkan oleh malasnya orang ramai (jemaah solat). Bahkan, sepatutnya dia membaca di dalam setiap rakaat itu sebanyak sepuluh ayat atau seumpamanya, maka dia akan berjaya mengkhatamkan al-Quran dengan perbuatannya itu kerana bilangan rakaat solat terawih sepanjang bulan Ramadan ialah sebanyak 600 rakaat atau 580 rakaat dan bilangan ayat al-Quran pula ialah enam ribu lebih ayat.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/147-148)
Selain itu, terdapat pendapat mengatakan bahawa seorang imam hendaklah membaca sebanyak 20 hingga 30 ayat bagi setiap rakaat. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Umar R.A bahawa beliau telah memanggil tiga orang imam dan mengarahkan orang yang pertama membaca sebanyak 30 ayat bagi setiap rakaat, manakala orang yang kedua membaca sebanyak 25 ayat bagi setiap rakaat dan orang yang ketiga pula membaca sebanyak 20 ayat bagi setiap rakaat. Kemudian Imam al-Kasani mengulas perkara ini dengan mengatakan bahawa :
وَمَا قَالَهُ أَبُو حَنِيفَةَ سُنَّةٌ إذْ السُّنَّةُ أَنْ يُخْتَمَ الْقُرْآنُ مَرَّةً فِي التَّرَاوِيحِ... وَمَا أَمَرَ بِهِ عُمَرُ فَهُوَ مِنْ بَابِ الْفَضِيلَةِ وَهُوَ أَنْ يُخْتَمَ الْقُرْآنُ مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا وَهَذَا فِي زَمَانِهِم. وَأَمَّا فِي زَمَانِنَا فَالْأَفْضَلُ أَنْ يَقْرَأَ الْإِمَامُ عَلَى حَسَبِ حَالِ الْقَوْمِ مِنْ الرَّغْبَةِ وَالْكَسَلِ فَيَقْرَأُ قَدْرَ مَا لَا يُوجِبُ تَنْفِيرَ الْقَوْمِ عَنْ الْجَمَاعَةِ؛ لِأَنَّ تَكْثِيرَ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ تَطْوِيلِ الْقِرَاءَةِ
Maksudnya : “Apa yang dikatakan oleh Abu Hanifah sebagai sunnah ialah sunnah mengkhatamkan al-Quran sebanyak sekali dalam solat-solat terawih (di dalam bulan Ramadan)… Manakala apa yang diarahkan (dibuat) oleh Umar R.A adalah termasuk dalam fadhilah (sunat) iaitu mengkhatamkan al-Quran sebanyak dua kali atau tiga kali. Dan ini adalah pada zamannya. Adapun pada zaman kita sekarang, adalah lebih baik seorang imam itu membaca (ayat-ayat al-Quran) mengikut keadaan manusia (yang menjadi makmumnya) dari segi kesungguhan dan kemalasannya. Oleh itu, seorang imam itu membaca mengikut kadar yang tidak menyebabkan mereka lari daripada jemaah solat kerana meramaikan jemaah solat adalah lebih baik berbanding memanjangkan bacaan.” (Lihat Badai’ al-Sanai’, 1/289)
Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa membaca sebahagian ayat (daripada surah yang panjang) adalah lebih baik di dalam solat terawih sekiranya mahu mengkhatamkan al-Quran, sekiranya tidak, maka membaca surah yang sempurna (lengkap) adalah lebih baik sebagaimana yang telah difatwakan oleh Ibn al-Solah. Imam Abd al-Hamid al-Syarwani mengulas kenyataan ini di dalam hasyiahnya dengan menyatakan bahawa :
يُؤْخَذُ مِنْ ذَلِكَ أَنَّ مَحَلَّ كَوْنِ الْبَعْضِ أَفْضَلَ إذَا أَرَادَ الصَّلَاةَ بِجَمِيعِ الْقُرْآنِ فِي التَّرَاوِيحِ فَإِنْ لَمْ يُرِدْ ذَلِكَ فَالسُّورَةُ أَفْضَلُ
Maksudnya : “Diambil (difahami) daripada perkara itu, bahawa membaca sebahagian (surah panjang) adalah lebih baik sekiranya mahu mengkhatamkan al-Quran dalam solat tarawih dan sekiranya tidak mahu demikian, maka membaca surah (secara sempurna) adalah lebih baik.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi, 2/52)
Kesimpulannya
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami menyimpulkan bahawa membahagi-bahagikan ayat-ayat al-Quran di dalam solat terawih dengan tujuan mengkhatamkannya di akhir Ramadan adalah merupakan suatu sunnah dan sangat digalakan. Lebih-lebih lagi sekiranya solat terawih itu didirikan secara berjemaah, maka ia adalah merupakan salah satu cara supaya orang ramai atau ahli keluarga dapat mengambil manfaat dengan keseluruhan bacaan al-Quran tersebut.
Walau bagaimanapun, perlu diambil kira juga keadaan makmum yang mengikuti imam ketika solat terawih. Hal ini kerana keadaan setiap orang itu tidak sama, bahkan berbeza-beza. Termasuklah sesama ahli keluarga sendiri. Oleh itu, menjadi kewajipan seorang imam itu meraikan semua peringkat dan keadaan manusia yang berbeza-beza itu serta memberi semangat kepada mereka untuk sama-sama menunaikan solat terawih secara berjemaah sehingga selesai bersama imam. Mudah-mudahan mendapat ganjaran sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya :
مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ حُسِبَ لَهُ قِيَامُ لَيْلَةٍ
Maksudnya : “Sesiapa yang mendirikan solat (terawih) bersama imam sehingga selesai, dituliskan ganjaran untuknya qiyam (beribadah) sepanjang malam.” Riwayat Ibn Majah (1327)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam mengamalkan kehidupan beragama. Ameen.