Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE-170: ADAKAH DIKIRA BERSAHUR SEKIRANYA MAKAN PADA AWAL MALAM

iframadhan170

Soalan

Assalamualaikum. Saya tinggal dengan rakan-rakan bujang dan kami selalu makan sahur selepas solat terawih kira-kira dalam pukul 10 atau 11 malam. Persoalan saya, adakah waktu kami makan itu dikira waktu bersahur atau waktu bersahur adalah hanya pada waktu imsak. Mohon penjelasan daripada Pejabat Mufti sekian terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ibadah puasa merupakan salah satu daripada rukun Islam dan ia juga merupakan ibadah yang dilakukan oleh umat-umat yang terdahulu. Ini sepertimana Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

(Surah al-Baqarah, 183)

Oleh itu, dalam melakukan ibadah puasa terdapat adab-adab dan perkara sunat yang digalakkan untuk melakukannya di antaranya adalah bersahur. Baginda Nabi SAW menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebiah dan keberkatan padanya. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA sabda Nabi SAW:

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya: Hendaklah kamu bersahur kerana dalam makanan sahur itu ada keberkatan

Riwayat al-Bukhari (1923)

Imam al-Nawawi menyebut, para ulama bersepakat bahawa bersahur merupakan perkara yang disunatkan dan digalakkan. Ianya bukanlah perkara wajib namum pada zahirnya terdapat keberkatan ketika bersahur. Ini  kerana ia dapat menguatkan dan memberi galakan untuk berpuasa. (Lihat Syarah al-Nawawi ala Muslim, 7/206)

Selain itu, kami telah menulis artikel berkenaan dengan keberkatan bersahur dalam artikel yang bertajuk IRSYAD AL-FATWA KHAS RAMADHAN SIRI KE-127: APAKAH YANG DIMAKSUDKAN KEBERKATAN PADA SAHUR?

Waktu Sahur dan Afdhal Melewatkannya

Bagi menjawab persoalan yang diajukan di atas, kami mendatangkan beberapa dalil dan perbahasan berkenaan dengan waktu sahur supaya dapat difahami dengan lebih mendalam. Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitabnya:

وَقْتُ السَّحُورِ بَيْنَ نِصْفِ اللَّيْلِ وَطُلُوعِ الْفَجْرِ

Maksudnya: waktu Sahur di antara pertengahan malan dan terbitnya fajar.

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/360)

Imam Khatib al-Syirbini menyebut, dan telah masuk waktu sahur adalah pada pertengahan malam seperti yang disebut oleh Imam al-Rafi’e di dalam al-Iman dan disebut berkenaan dengannya di dalam al-Majmu’. Dan mengikut pandangan yang lain masuknya (waktu sahur) pada seperenam akhir waktu malam. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/166)

Dr Muhammad Zuhaili menyebut waktu sahur di antara pertengahan malam dan terbit fajar dan ianya dikira bersahur sama ada dengan makan yang banyak atau sedikit dan ia dikira bersahur juga dengan hanya minum air. Dan disunatkan supaya melewatkan sahur. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 2/189)

Hal ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hakim binti Wada’ menyebut bahawa aku mendengar Nabi SAW bersabda:

عَجَّلُوا الْإِفْطَارَ وَأَخَّرُوا السُّحُورَ

Maksudnya: Bersegeralah berbuka puasa dan lewatkanlah bersahur

Riwayat al-Thabrani (395)

Imam al-Nawawi juga menyatakan telah bersepakat ashab mazhab Syafi’e dan para ulama selainnya bahawa sahur itu sunnah dan melewatkannya adalah afdhal. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/360)

Kadar melewatkan waktu sahur dengan waktu fajar adalah sekadar 50 bacaan ayat al-Quran. Ini sepertimana yang diceritakan tentang sifat sahur Baginda SAW hadis daripada Zaid bin Thabit RA menyebut:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ‏.‏ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya: Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran)”.

Riwayat al-Bukhari (1921)

Dalam menjelaskan persoalan makan sahur di awal waktu malam ianya tidak dinamakan sebagai bersahur dan tidak mendapat fadhilat Sunnah. Ini seperti yang disebut oleh al-Syeikh al-Dimyati:

Bahawa waktu sahur itu masuk pada pertengahan malam, maka sekiranya makan pada waktu sebelunya (pertengahan malam) bukanlah dinamakan waktu sahur. Oleh itu tidak mendapat pahala sunnahnya bersahur. Dan afdhal melewatkannya dekat dengan waktu fajar kadar bacaan 50 ayat al-Quran. (Lihat al-I’anah al-Talibin, 2/277)

Begitu juga yang dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri bahawa makan sebelum sampai pertengahan malam (Nisfu al-Lail) tidak mendapat Sunnah bersahur kerana waktu sahur bermula pada pertengahan malam sehingga terbitnya fajar. (Lihat Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 1/563)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di atas serta nas dan perbincangan ulama yang diberikan dapat kami simpulkan seperti berikut:

  • Bermulanya waktu sahur itu pada pertengahan malam dan berakhir ketika terbitnya fajar
  • Makan sebelum pertengahan malam tidak dikira sebagai sahur serta tidak mendapat fadhilat dan kelebihan bersahur seperti yang disebut oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dan Syeikh Muhammad Syata al-Dimyati.
  • Makan dan minum dengan kadar yang sedikit selepas pertengahan malam dikira sebagai bersahur serta afdhal melewatkannya

Justeru, kami sarankan sebaiknya bersahurlah walaupun dengan kadar yang sedikit seperti bersahur dengan air pada pertengahan malam atau pada akhir waktu bagi mendapat kelebihan dan fadhilat bersahur. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri RA sabda Nabi SAW:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ ، فَلاَ تَدَعُوهُ ، وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ ، فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya: Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Jangan pernah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan satu tegukan air. Sesungguhnya Allah memberikan rahmat dan para malaikat pula mendoakan ke atas orang yang bersahur.”

Riwayat Imam Ahmad (11102) di dalam Musnadnya

Semoga Allah memberikan kita taufiq dan hidayah untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaiknya. Wallahu’alam.

Disediakan oleh,

Unit Buhuth,
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.