Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM KHAS RAMADHAN SIRI KE- 172 : ADAKAH SEORANG IBU YANG MENYEDIAKAN JUADAH BERBUKA MENDAPAT PAHALA MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG BERBUKA ?

IFKR172

Soalan :

Assalamu’alaikum ustaz, adakah seorang ibu yang menyediakan juadah berbuka untuk keluarganya turut mendapat pahala memberi makan kepada orang berbuka puasa ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dalam bulan Ramadhan, kita amat-amat dianjurkan untuk memperbanyakkan amalan soleh. Antara amalan soleh yang sangat digalakkan adalah memberi makan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya : Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.

Riwayat Al-Tirmizi (807)

Bahkan Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa beliau berkata : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’.

Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam (Hlm. 18).

Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya : Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.

Surah Al-An’aam (160)

Justeru, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, perkataan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa datang dalam bentuk yang umum. Dalam erti kata, ia meliputi perbuatan membelanja makan, memasakkan makanan lalu diberikan kepada orang yang berbuka puasa, juga turut meliputi perbuatan membantu penyediaan makanan  serta mengagihkan makanan. Setiap individu yang terlibat dalam usaha memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, akan diganjarkan pahala dengan mengikut kadar usaha sama ada banyak ataupun sedikit.

Kerana itu dalam isu perbezaan pendapat dalam kalangan fuqaha’ sama ada makanan yang diberikan adalah makanan yang mengenyangkan atau apa sahaja makanan termasuk makanan yang ringan seperti buah tamar, segelas air, kuih muih, dan seumpamanya, kami berpendapat bahawa makanan yang afdhal adalah makanan yang mengenyangkan. Manakala seseorang yang memberi makanan seperti kurma dan segelas air, turut mendapat pahala perbuatan memberi makan tersebut.

Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ

Maksudnya : ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya’’. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W : ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah S.A.W menjawab : ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman’’.

Riwayat Ibn Khuzaimah (1878)

Maka pengajaran dari hadis di atas, pahala dan ganjaran itu diberikan mengikut kadar usaha masing-masing dalam memberikan makanan kepada golongan yang berbuka puasa. Ini juga seperti yang ditunjukkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Khalid Al-Juhani R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

‏ مَنَ جَهَّزَ غَازِيًا فَقَدْ غَزَا وَمَنْ خَلَفَ غَازِيًا فِي أَهْلِهِ فَقَدْ غَزَا

Maksudnya : Sesiapa yang mempersiapkan (peralatan) bagi mereka yang pergi berperang, dia juga (dianggap) telah pergi berperang. Dan sesiapa yang menjaga (kebajikan) keluarga seseorang yang pergi berperang, dia juga dianggap telah pergi berperang.

Riwayat Muslim (1895)

Imam Al-Nawawi dalam syarahan ke atas hadis ini beliau berkata :

وَهَذَا الْأَجْرُ يَحْصُلُ بِكُلِّ جِهَادٍ وَسَوَاءٌ قَلِيلُهُ وَكَثِيرُهُ وَلِكُلِّ خَالِفٍ لَهُ فِي أَهْلِهِ بِخَيْرٍ مِنْ قَضَاءِ حَاجَةٍ لَهُمْ وَإِنْفَاقٍ عَلَيْهِمْ أَوْ مُسَاعَدَتِهِمْ فِي أَمْرِهِمْ وَيَخْتَلِفُ قَدْرُ الثَّوَابِ بِقِلَّةِ ذَلِكَ وَكَثْرَتِهِ وَفِي هَذَا الْحَدِيثِ الْحَثُّ عَلَى الْإِحْسَانِ إِلَى مَنْ فَعَلَ مَصْلَحَةً لِلْمُسْلِمِينَ أَوْ قَامَ بِأَمْرٍ مِنْ مُهِمَّاتِهِمْ

Maksudnya : Pahala ini terhasil dengan setiap usaha sama ada sedikit mahupun banyak, serta (pahala ini turut diperolehi) setiap individu yang menjaga kebajikan keluarga mereka yang keluar berperang dari sudut menunaikan hajat mereka, bersedekah ke atas mereka, membantu mereka dalam urusan, dan ia (ganjaran pahala) berbeza mengikut kadar sama ada sedikit atau banyak. Pada hadis ini juga terdapat galakan untuk berbuat ihsan (kebajikan) kepada mereka yang berkerja untuk kemaslahatan umat Islam atau mengambil tempat mereka dalam menjaga tanggungjawab dan kepentingan mereka.

Rujuk Syarah Al Nawawi ‘ala Sahih Muslim (13/40)

Penutup

Sebagai kesimpulan, setelah menekuni beberapa nas dan hujahan di atas, kami menyatakan bahawa seseorang ibu yang menyediakan makanan dan hidangan berbuka kepada keluarganya yang berpuasa turut termasuk dalam perbuatan memberi makan kepada orang berbuka. Demikian juga semua ahli keluarga baik suami dan anak-anak yang turut membantu ke arah menyiapkan juadah berbuka turut memperoleh ganjaran seperti yang disebutkan di dalam hadis. Ganjaran ini pula mengikut kadar usaha yang dilakukan dalam erti kata, lebih besar usaha makanya lebih besarlah juga ganjaran pahala. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.