Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADAN SIRI KE-179 : HUKUM MELAKUKAN URUTAN PERINEUM DI BULAN RAMADAN

HUKUM MELAKUKAN URUTAN PERINEUM DI BULAN RAMADAN

 

 

SOALAN

Apakah hukum melakukan perineal massage pada bulan Ramadan? Adakah batal puasa? Perlukah mandi wajib selepas massage walaupun tidak keluar air mani?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Jika melakukan urutan Perineum (perineal massage) di bulan ramadan antara terbit fajar sadiq sehingga tenggelam matahari, maka batallah puasanya menurut mazhab Syafi’ie. Manakala, tidak diwajibkan mandi hadas sekiranya tidak keluar air mani.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Urut Perinuem atau urutan faraj adalah sejenis urutan yang dilakukan di kawasan intim wanita yang membantu meregangkan otot-otot faraj dan saluran kelahiran, mempermudah keluar bayi semasa kelahiran normal. Antara tekniknya ialah dengan masuk dan meletakkan satu atau dua ibu jari ke dalam dinding vagina dan menggerakkan jari mengikut bentuk U.[1]

 

Antara perkara yang boleh menyebabkan puasa terbatal adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka seperti hidung, telinga, mulut, dubur dan kemaluan. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Nawawi R.H:

مِنَ الْمُفْطِرَاتِ دُخُولُ شَيْءٍ فِي جَوْفِهِ - وَقَدْ ضَبَطُوا الدَّاخِلَ الْمُفْطِرَ بِالْعَيْنِ الْوَاصِلَةِ - الظَّاهِرُ إِلَى الْبَاطِنِ فِي مَنْفَذٍ مَفْتُوحٍ عَنْ قَصْدٍ مَعَ ذِكْرِ الصَّوْمِ

Maksudnya: “Antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu ke bahagian dalam rongga. Para ulama telah menentukan piawaian sesuatu yang masuk (ke dalam rongga) yang membatalkan puasa dengan ain (objek) yang sampai, iaitu (dari) had zahir ke dalam had batin melalui rongga terbuka dengan sengaja dan sedar dalam keadaan berpuasa”.

(Rujuk: Raudah al-Talibin, 2/356)

 

Ibn Al-Naqib Al-Misri R.H juga menyatakan:

وصولُ عينٍ وإنْ قلَّتْ منْ منفدٍ مفتوحٍ إلى جوفٍ

Maksudnya: “(Antara yang membatalkan puasa itu adalah) Sampai sesuatu benda ke dalam rongga melalui saluran yang terbuka walaupun sedikit”.

(Rujuk: ‘Umdah Al-Salik wa ‘Uddah Al-Nasik, h.117)

 

Melihat kenyataan di atas, menjadi kewajipan seseorang yang berpuasa di bulan ramadan supaya menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Antaranya ialah tidak memasukkan dengan sengaja sesuatu ain ke dalam rongga badan melalui laluan badan yang terbuka termasuklah faraj. Oleh itu, seseorang yang memasukkan sesuatu ke dalam batin faraj, maka batallah puasanya.

 

 Oleh yang demikian, urutan ini membatalkan puasa jika dilakukan dalam tempoh puasa kerana urutan perineum dilakukan dengan cara sebahagian jari ibu yang mengandung dimasukkan ke dalam vagina. Walau bagaimanapun, melakukan urutan perineum ini tidak perlu mandi hadas kerana ia tidak termasuk dalam perkara-perkara yang menyebabkan seseorang itu berjunub. Imam al-Qadhi Abu Syuja’ menyebut di dalam karyanya tentang perkara yang mewajibkan mandi hadas ialah:

‌والذي ‌يوجب ‌الغسل ستة أشياء: ثلاثة تشترك فيها الرجال والنساء وهي التقاء الختانين وإنزال المني والموت وثلاثة تختص بها النساء وهي الحيض والنفاس والولادة

Maksudnya: “Dan yang mewajibkan mandi ada enam perkara: tiga perkara dikongsi oleh lelaki dan wanita iaitu apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki masuk ke dalam faraj wanita), keluar air mani dan mati. Manakala tiga lagi khas untuk wanita iaitu haid, nifas dan wiladah”.

(Rujuk: al-Ghayah wa al-Taqrib, h. 4-5)

 

Justeru, selain daripada enam perkara di atas, tidak diwajibkan mandi hadas termasuklah wanita yang menjalani urutan perineum sekiranya tidak keluar air mani.

 

KESIMPULAN

Kami simpulkan bahawa hukum melakukan urutan perineum ketika berpuasa adalah membatalkan puasa kerana telah berlaku kemasukan ain ke dalam rongga badan melalui saluran terbuka (faraj) iaitu memasukan jari ke dalam faraj. Namun, jika dilakukan sebelum terbit fajar atau selepas tenggelam matahari, maka tidak membatalkan puasa kerana berlakunya kemasukan itu ketika tidak berpuasa.

Semoga Allah SWT memberikan kebaikan serta menerima segala amal ibadah puasa kita.

Wallahua’lam.

 

[1] https://ms.svetzdravlja.org/massagem-perineal-2156