Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADHAN SIRI KE 210: ADAKAH SAH PUASA PADA TEMPOH BERHENTI CELAHAN DARAH NIFAS?

SAHKAH PUASA PADA TEMPOH BERHENTI CELAHAN DARAH NIFAS

 

SOALAN

Assalammualaikum, Saya mengalami nifas selepas melahirkan anak selama 13 hari. Kemudian darah tersebut berhenti, Seterusnya darah keluar semula pada hari yang ke-23 sehingga hari ke-40. Ini bermakna, hari yang saya suci tanpa darah nifas selama 10 hari sebelum keluar semula sehingga   hari ke -40.  Bagaimana puasa saya pada tempoh suci antara nifas tersebut? Adakah puasa pada tempoh tersebut dikira sah?

Ringkasan Jawapan

Panduan mengenalpasti tempoh suci nifas kepada beberapa perkara tersebut :

  1. Tempoh berhenti darah nifas (naqa)’ yang kurang 15 hari adalah dikira nifas sekiranya masih dalam tempoh maksimum nifas iaitu 60 hari. Justeru, tidak sah puasa pada waktu suci (naqa’) darah tersebut dan wajib menggantikan puasa.
  2. Tempoh berhenti darah yang keluar   selama 15 hari atau lebih dikira suci daripada nifas walaupun masih dalam tempoh masksimum  60 nifas. Justeru, sah puasa wanita pada tempoh tersebut yang suci selama 15 hari atau lebih.

Picture1

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Nifas pada sudut bahasa ialah wiladah (kelahiran)[1], mnakala menurut syarak ialah darah yang keluar daripada rahim wanita disebabkan kelahiran setelah kosongnya rahim daripada kehamilan atau segumpal darah (‘alaqah) atau ketulan daging (mudghah) dan darah itu keluar sebelum berlalu masa 15 hari selepas bersalin. Selepas tempoh tersebut tidak dihukumkan nifas [2]

Tempoh maksimum nifas ialah ialah 60 hari, sekurang-kurang nifas adalah satu lahzah (keluar darah dalam tempoh sedetik) dan kebiasaan tempoh nifas adalah 40 hari.[3]

Wanita nifas seperti wanita haid yang terhalang daripada melaksanakan ibadah puasa dan terbatal puasanya disebabkan keluar darah tersebut. Wanita yang melahirkan anak dalam keadaan kering tanpa disusuli dengan darah turut terbatal puasanya. Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Nawawi:

وَمُقْتَضى قَول النَّوَوِيّ أَنَّهَا إِذا ولدت ولدا جافا بَطل صَومهَا

wanita yang melahirkan anak dalam keadaan kering membatalkan puasanya”[4]

Wanita tersebut perlu menggantikan puasa. Namun, berbeza dengan ibadah solat yang tidak perlu digantikan berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Aanha 

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Kami ditimpa perkara tersebut (haid atau nifas). Lalu kami  diperintahkan untuk menggantikan  puasa dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat”.

Riwayat Muslim (335)

Darah Terhenti dalam Tempoh Maksimum  Nifas 60 hari.

Nifas yang berhenti melebihi 15 hari maka dianggap tiada nifas menurut pendapat yang tepat. Perkara ini dinyatakan oleh As-Syirbini dalam kitab Iqna’ :

   أما إِذا لم تَرَ الدَّم إِلَّا بعد خَمْسَة عشرَة يَوْمًا فَأكْثر فَلَا نِفَاس لَهَا أصلا على الْأَصَح فِي الْمَجْمُوع

Adapun, sekiranya tidak melihat darah  melainkan  selepas 15 atau lebih maka tiada nifas pada wanita  menurut pendapat yang paling sahih.[5]

Tempoh wanita tidak melihat darah (suci) selama 15 hari atau lebih maka dikira tiada lagi darah nifas. Oleh itu, puasa wanita pada tempoh tidak melihat darah (suci) melebihi 15 hari tersebut adalah sah. Sebaliknya, tempoh berhenti darah nifas kurang 15 hari dan masih dalam tempoh maksimum nifas 60 hari adalah   dihukumkan nifas, maka    tidak sah puasa pada tempoh tidak melihat darah kurang 15 hari tersebut dan terbatal puasanya

Syarat suci daripada nifas mestilah tempoh melebihi 15 hari berhenti darah, walaupun masih dalam tempoh maksimum 60 hari. Perkara ini turut dijelaskan oleh Imam Hajar al-Haitami : .

وَلَوْ رَأَتْ النِّفَاسَ سِتِّينَ، ثُمَّ انْقَطَعَ، وَلَوْ لَحْظَةً، ثُمَّ رَأَتْ الدَّمَ كَانَ حَيْضًا بِخِلَافِ انْقِطَاعِهِ فِي السِّتِّينَ فَإِنَّ الْعَائِدَ لَا يَكُونُ حَيْضًا إلَّا إنْ عَادَ بَعْدَ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا

 “Sekiranya melihat darah nifas 60 hari, kemudian terputus seketika walaupun satu lahzah (sedetik/ sekelip mata), lalu darah yang keluar selepas itu ialah darah haid. Berbeza pula darah nifas yang terputus semasa masih dalam tempoh 60 hari dan kembali keluar darah, maka tidak dianggap haid melainkan darah kembali selepas 15 hari suci (terhenti)” [6]

Berdasarkan perbahasan fuqaha dapat disimpulkan bahawa darah nifas yang berhenti 15 hari atau lebih dihukumkan suci walaupun masih tempoh 60 hari maksimum nifas, maka sah puasa pada tempoh suci 15  tersebut. Kemudian darah yang keluar semula selepas 15 hari dihukumkan haid. Sementara itu, darah nifas yang berhenti kurang 15 hari suci dan masih dalam tempoh 60 hari maksimum nifas, maka ia dihukumkan tempoh  nifas dan  tidak sah puasanya. Seterusnya, sekiranya darah nifas  keluar selama 60 hari, kemudian suci walaupun 1 detik, maka darah selepasnya adalah haid.

Contoh situasi :

Picture1

Informasi lanjut berkisar darah nifas yang melebihi maksimum 60 hari, rujuk AL-KAFI #1815: HUKUM DARAH NIFAS YANG KELUAR MELEBIHI TEMPOH 60 HARI pada pautan berikut :

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4909-al-kafi-1815-hukum-darah-nifas-yang-keluar-melebihi-tempoh-60-hari

 

PENUTUP

Berdasarkan perbahasan yang dikemukakan, puasa tidak sah bagi wanita yang darah nifasnya berhenti   kurang 15 hari ketika masih dalam tempoh maksimum nifas selama 60.  Hal ini kerana wanita tersebut dihukumkan masih dalam tempoh nifas dan wajib mengantikan puasanya.

Namun, sekiranya darah berhenti  selama 15 hari atau lebih, maka dihukumkan suci daripada nifas dan sah puasanya. Kemudian darah yang keluar selepas suci 15 hari,  dihukumkan sebagai haid.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan:

[1]Zakariyya al-Ansari. (t.th) Asna al-Mathalib fi Syarh Raudha al-Thalib. Dar al-Kitab al-Islami (1/ 114)

(وَهُوَ) لُغَةً الْوِلَادَةُ

[2] Ibn Hajar al-Haitami. (1983)Tuhfah al-Muhtaj fi Syarah al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi, Beirut :Dar Ihya’ al-Turath al-A’rabi, Jld 1 p383

وَالنِّفَاسُ الدَّمُ الْخَارِجُ بَعْدَ فَرَاغِ الرَّحِمِ

 (قَوْلُهُ بَعْدَ فَرَاغِ الرَّحِمِ) أَيْ مِنْ الْحَمْلِ وَلَوْ عَلَقَةً أَوْ مُضْغَةً أَيْ وَقَبْلَ مُضِيِّ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا فَإِنْ كَانَ بَعْدَ ذَلِكَ لَمْ يَكُنْ نِفَاسًا

[3]Ibn Hajar al-Haitami. (1983)Tuhfah al-Muhtaj fi Syarah al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-A’rabi,  J: 1 P:413

وَإِنْ قَلَّ نِفَاسٌ لَكِنَّ اللَّحْظَةَ أَنْسَبُ بِذِكْرِ الْغَالِبِ وَالْأَكْثَرِ؛ لِأَنَّ الْكُلَّ زَمَنٌ (وَأَكْثَرُهُ سِتُّونَ) يَوْمًا (وَغَالِبُهُ أَرْبَعُونَ) يَوْمًا بِالِاسْتِقْرَاءِ كَمَا مَرَّ.

[4] Al-Khatib As-Syirbini. Syamsuddin (t.th), al-Iqna’ Fi Hal al-Fazd Abi Syuja’ Beirut: Dar al-Fikr P:98

[5] Al-Khatib As-Syirbini. Syamsuddin ( t.th), al-Iqna’ Fi Hal al-Fazd Abi Syuja’ Beirut : Dar al-Fikr P:99

[6] Ibn Hajar al-Haitami. (1983)Tuhfah al-Muhtaj fi Syarah al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Ibadi, Beirut :Dar Ihya’ al-Turath al-A’rabi, Jld 1 p385