Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 237: SEBAIK-BAIK SAF WANITA DI DALAM SOLAT

SEBAIK BAIK SAF WANITA DI DALAM SOLAT

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t. Kebiasaan yang berlaku dalam bulan Ramadan, ada para wanita yang berpusu-pusu memenuhkan saf di bahagian belakang sehingga menyebabkan saf hadapan kosong dan ia juga akan menyukarkan jemaah yang baru hadir untuk pergi ke bahagian saf hadapan. Apakah pandangan SS Datuk Mufti berkenaan persoalan ini, mohon penjelasan?

Ringkasan Jawapan

Sebaik-baik saf bagi wanita adalah di bahagian paling belakang sekiranya tiada pemisah antara jemaah lelaki dan wanita. Namun jika terdapat pemisah antara jemaah lelaki dan wanita, maka keutamaan saf wanita adalah di bahagian paling hadapan. Begitu juga jika wanita solat berjemaah dengan kumpulan wanita sahaja, maka saf hadapan adalah lebih utama.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Kami mulakan perbincangan ini dengan menukilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda[1]:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ تَفْضُلُ صَلاَةَ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: “Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat secara bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat”.

(Riwayat Bukhari)

Solat berjemaah mempunyai  kelebihan-kelebihan yang besar seperti yang banyak disebutkan oleh para ulama. Baginda Nabi SAW sendiri telah mengajarkan adab-adab yang boleh dilakukan ketika solat berjemaah untuk mencapai kesempurnaan solat tersebut seperti meluruskan dan merapatkan saf, mengutamakan saf hadapan dan sebagainya.

Biarpun begitu, terdapat perbezaan dalam memahami keutamaan saf solat jemaah bagi lelaki dan wanita. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Riwayat Abu Hurairah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda[2]:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا ‏

Maksudnya: “Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah saf yang terawal dan seburuk-buruk saf bagi lelaki adalah yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita adalah saf yang terakhir dan seburuk-buruk saf bagi wanita adalah saf yang terawal.”

(Riwayat Muslim)

Imam Nawawi mensyarahkan bahawa hadis ini secara umumnya bermaksud sebaik-baik saf lelaki adalah di bahagian paling hadapan dan seburuk-buruk saf lelaki adalah di bahagian paling belakang. Manakala saf terbaik bagi wanita adalah di bahagian paling belakang dan saf terburuk bagi wanita adalah di bahagian paling hadapan.

Makna kedudukan saf wanita yang ingin disampaikan dalam hadis berikut adalah ketika mana wanita melaksanakan solat berjemaah di belakang jemaah lelaki tanpa ada suatu pemisah di antara mereka. Manakala jika wanita menunaikan solat berjemaah sesama kumpulan wanita sahaja atau tiada pemisah di antara jemaah wanita dan jemaah lelaki, maka keutamaan kedudukan saf itu sama seperti keutamaan saf lelaki iaitu saf di bahagian paling hadapan adalah lebih utama daripada saf di bahagian belakang[3].

Ungkapan “seburuk-buruk saf” tersebut bukanlah memberi maksud bahawa perbuatan tersebut buruk dan jahat tetapi ia menggambarkan tingkatan pahala bagi setiap amalan. Mereka yang dikategorikan dalam “seburuk-buruk saf” adalah paling sedikit pahalanya, kurang fadilatnya dan ia jauh dari kehendak syarak manakala mereka yang dikategorikan dalam “sabaik-baik saf” adalah paling banyak pahalanya, banyak kelebihannya dan juga dekat dengan tuntutan agama.

Antara sebab wanita diutamakan solat di saf bahagian belakang (dalam keadaan berjemaah dengan lelaki tanpa ada penghalang) adalah supaya dapat mengelakkan berlakunya percampuran antara lelaki dan wanita, jauh dari pandangan lelaki ajnabi serta dapat menjaga hati-hati manusia ketika melihat pergerakan dan mendengar suara ajnabi[4].

KESIMPULAN

Keutamaan wanita untuk melaksanakan solat di saf bahagian belakang adalah apabila saf jemaah lelaki dan jemaah wanita tidak dipisahkan dengan sesuatu penghalang seperti tabir, tirai, dinding dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sekiranya jemaah lelaki dan wanita itu dipisahkan dengan sesuatu penghalang iaitu dalam keadaan mereka tidak saling melihat antara satu sama lain, maka menjadi keutamaan wanita untuk memenuhkan saf di bahagian hadapan terlebih dahulu. Hal ini kerana fitnah-fitnah yang dibimbangi berlaku seperti percampuran lelaki dan perempuan sudah tidak berlaku lagi kerana keadaan wanita pada ketika itu sudah tertutup daripada kaum lelaki.

Wallahu a’lam

 

Rujukan:

[1] Al-Bukhari, Abu Abdullah Muhammad bin Ismail. Sahih al-Bukhari. (Damsyiq; Dar Ibnu Kathir, 1994). Jld 1. Hlmn 231. No hadis 619.

[2] Ibid. Muslim al-Naisaburi. Jld 1. Hlmn 326. No hadis 440.

[3] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tabaah al-Munirah, 1347H). Jld 4. Hlmn 301.

وَكَذَا فِي صُفُوفِ النِّسَاءِ الْمُنْفَرِدَاتِ بِجَمَاعَتِهِنَّ عَنْ جَمَاعَةِ الرِّجَالِ أَمَّا إذَا صَلَّتْ النِّسَاءُ مَعَ الرِّجَالِ جَمَاعَةً وَاحِدَةً وَلَيْسَ بَيْنَهُمَا حَائِلٌ فَأَفْضَلُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا لِحَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالُ أَوَّلُهَا وَشَرُّهَا آخِرُهَا وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا

[4] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf. Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, 1392H). Jld 4. Hlmn 159.

والمراد بشر الصفوف في الرجال والنساء أقلها ثوابا وفضلا وأبعدها من مطلوب الشرع وخيرها بعكسه وإنما فضل آخر صفوف النساء الحاضرات مع الرجال لبعدهن من مخالطة الرجال ورؤيتهم وتعلق القلب بهم عند رؤية حركاتهم وسماع كلامهم ونحو ذلك