Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 247: HUKUM ONANI PADA SIANG HARI RAMADAN

HUKUM_ONANI_PADA_SIANG_HARI_RAMADAN.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai puasa. Apakah hukum onani ?. adakah onani pada siang ramadan menyebabkan puasa kita terbatal? Mohon pencerahan.

Sekian terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Umat Islam digalakkan menghidupkan bulan Ramadan dengan ibadah dan amal kebaikan seperti berzikir, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya. Perbuatan maksiat pada bulan Ramadan akan menyebabkan puasa yang dilaksanakan akan menjadi terbatal dan sia-sia. Antara perbuatan yang boleh menyebabkan puasa terbatal ialah onani. Perbuatan onani adalah haram menurut syarak. Hal ini kerana terdapat banyak kerosakan yang diperolehi si pelakunya. Onani pada siang hari ramadan juga bukan sahaja menyebabkan menjadi puasa sia-sia bahkan membatalkan puasa.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia. Umat Islam dituntut supaya menjaga kesucian bulan tersebut dengan memelihara diri daripada melakukan perkara yang keji dan kotor. Hal ini kerana perbuatan maksiat pada bulan Ramadan boleh menyebabkan ibadah puasa yang dilaksanakan menjadi sia-sia. Nabi SAW bersabda:

كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ، وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya: Berapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan berapa ramai orang yang bangun malam tidak mendapat apa-apa daripada ibadahnya itu melainkan sekadar berjaga malam.

Musnad Ahmad (9685)

Oleh itu, umat Islam perlu mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang boleh mencemarkan kemuliaan bulan Ramadan dan wajib menghindarkan diri daripada perkara yang membatalkan puasa.

Onani ialah perbuatan mengeluarkan air mani tanpa melakukan persetubuhan dengan cara yang haram seperti dia mengeluarkannya dengan menggunakan tangan atau dengan cara tidak haram seperti mengeluarkannya dengan menggunakan tangan isteri atau hambanya.[1] Perbuatan Onani adalah haram menurut syarak berpandukan firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُون

Maksudnya: Dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela, Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.

Al-Mukminun (5-7)

Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa Imam al-Syafi’i berhujah ke atas pengharaman onani melalui ayat suci di atas.[2]

(Rujuk: Tafsir Ibnu Kathir, 5/463)

Malahan, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa onani haram menurut kebanyakan ahli ilmu.[3]

(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 16/421)

Onani bukan sahaja diharamkan malah Imam al-Nawawi ada menukilkan pandangan ahli perubatan bahawa onani menyebabkan keinginan untuk bersama menjadi kurang, menjadikan seseorang itu tidak berasa puas melainkan dengan cara onani yang menjejaskan peranannya sebagai suami dan merosakkan fungsi kemaluan serta kemampuannya dalam hubungan perkahwinan. Kesemua ini ialah kerosakan yang perlu ditegah.[4]

Selain itu, onani pada siang Ramadan juga boleh membatalkan puasa. Hal ini dinyatakan oleh Imam Khatib al-Syirbini:

(فَيُفْطِرُ بِهِ) ؛ لِأَنَّ الْإِيلَاجَ مِنْ غَيْرِ إنْزَالٍ مُفْطِرٌ، فَالْإِنْزَالُ بِنَوْعِ شَهْوَةٍ أَوْلَى

Maksudnya: Puasa terbatal disebabkan (onani) kerana persetubuhan tanpa mengeluarkan mani membatalkan puasa, apatah lagi air mani dikeluarkan dengan cara yang mengandungi syahwat.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 2/159)

Selain itu, Imam Nawawi juga ada menyebut:

إذَا اسْتَمْنَى بِيَدِهِ وَهُوَ اسْتِخْرَاجُ الْمَنِيِّ ‌أَفْطَرَ ‌بِلَا ‌خِلَافٍ ‌عِنْدَنَا

Maksudnya: Sekiranya seseorang beronani dengan tangannya iaitu mengeluarkan air mani, maka puasanya batal tanpa ada khilaf antara fuqaha mazhab al-Syafi’i.

(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 6/322)

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa umat Islam digalakkan menghidupkan bulan Ramadan dengan ibadah dan amal kebaikan seperti berzikir, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya. Perbuatan maksiat pada bulan Ramadan akan menyebabkan puasa yang dilaksanakan akan menjadi terbatal dan sia-sia. Antara perbuatan yang boleh menyebabkan puasa terbatal termasuklah onani. Perbuatan onani adalah haram menurut syarak. Hal ini kerana terdapat banyak kerosakan yang diperolehi si pelakunya. Onani pada siang hari Ramadan juga bukan sahaja menyebabkan menjadi puasa sia-sia bahkan ia boleh menyebabkan puasa terbatal.

Walllahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] (وَ) الْإِمْسَاكُ (عَنْ الِاسْتِمْنَاءِ) وَهُوَ إخْرَاجُ الْمَنِيِّ بِغَيْرِ جِمَاعٍ مُحَرَّمًا كَأَنْ أَخْرَجَهُ بِيَدِهِ، أَوْ غَيْرَ مُحَرَّمٍ كَإِخْرَاجِهِ بِيَدِ زَوْجَتِهِ أَوْ أَمَتِهِ

[2] وقد استدل الإمام الشافعي، رحمه الله، ومن وافقه على تحريم الاستمناء باليد بهذه الآية الكريمة

[3] يحرم الاستمناء، وهو إخراج الماء الدافق بيده، وبه قال أكثر أهل العلم

[4] وقد قرر علماء وظائف الاعضاء والطب البشرى أن الاستمناء مفض إلى قتل الرغبة الجنسية، ويجعل المرء لا ينتشر عند الوقاع إلا إذا أستمنى بيده مما يعطل وظيفته كزوج، ويقتل صلاحية عضوه أو يقلل كفاءته الزوجية، وكل هذا من المفاسد المنهى عنها