Soalan:
"Saya pernah bernazar untuk iktikaf, tetapi tak niat pun tempohnya, dan pada bulan apa. Bolehkah saya tunaikan nazar itu di luar Ramadan kerana saya agak sibuk pada bulan ini? Berapa lamakah perlu saya iktikaf? Mohon pencerahan, terima kasih."
Ringkasan Jawapan:
Bagi menunaikan nazar yang diniatkan secara umum, maka seseorang itu mestilah beriktikaf iaitu dengan berada di dalam masjid untuk tempoh minimum dengan melebihi kadar tomakninah di dalam Solat, dan iktikaf tersebut juga boleh dilakukan pada selain daripada bulan Ramadan. Manakala tempoh yang paling baik (afdal) ialah dengan melakukan iktikaf untuk tempoh tidak kurang daripada sehari.
Huraian Jawapan:
Amalan iktikaf boleh didefinisikan sebagai perbuatan menetap di dalam masjid dengan tujuan ibadah yang dilakukan oleh seorang muslim yang mumayyiz, berakal, suci daripada hadas besar, dan dia menghalang dirinya daripada sebarang perbuatan untuk memenuhi keinginan syahwatnya.[1]
Iktikaf adalah merupakan salah satu daripada amalan-amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Pada setiap kali bulan Ramadan, Rasulullah SAW pastinya akan beriktikaf selama 10 hari. Bahkan pada bulan Ramadan terakhir di dalam hayat Rasulullah SAW, Baginda telah beriktikaf selama 20 hari.[2]
Memandangkan pertanyaan adalah berkaitan dengan tempoh iktikaf, justeru penulisan ini akan memfokuskan mengenai syarat-syarat tempoh minimum iktikaf. Perincian mengenai syarat-syarat tempat dan lain-lain berkenaan iktikaf boleh dirujuk pada artikel yang telah diterbitkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang boleh diakses melalui pautan berikut: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-hukum/edisi-ramadhan/1051-irsyad-al-fatwa-khas-ramadhan-79-iktikaf-pengertian-dan-persoalan-berkaitan.
Amalan iktikaf ini juga tidak disyaratkan untuk dilakukan hanya pada bulan Ramadan, bahkan amalan ini juga boleh dilakukan di luar daripada bulan Ramadan. Hal ini demikian kerana, Rasulullah SAW juga turut melakukan iktikaf pada bulan Syawal.[3] Bahkan, Imam Ibn ‘Abd al-Barr menyatakan bahawa para ulama bersepakat bahawa amalan iktikaf ini boleh dilakukan juga di luar bulan Ramadan.[4]
Tempoh Minimum Iktikaf
Secara umumnya, para ulama tidak bersepakat mengenai tempoh minimum bagi pelaksanaan iktikaf. Sebahagian ulama menetapkan tempoh minimum iktikaf itu selama tempoh sehari,[5] ada juga yang menetapkan sehari semalam sebagai tempoh minimum iktikaf,[6] dan ada juga yang menetapkan iktikaf mestilah dilakukan dalam tempoh 10 hari.[7]
Menurut pandangan muktamad dalam Mazhab Syafi’i, tempoh minimum untuk melakukan iktikaf adalah dengan berada di dalam masjid dalam tempoh sekurang-kurangnya melebihi tempoh tomakninah di dalam Solat.[8]
Manakala tempoh iktikaf yang terbaik adalah untuk beriktikaf dalam tempoh yang tidak kurang daripada sehari, seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.[9] Imam al-Syafi’i sendiri menggalakkan agar diambil pandangan ini supaya terkeluar daripada perbezaan pandangan yang menyatakan tempoh minimum iktikaf ialah selama sehari, iaitu pandangan Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.[10]
Oleh kerana pertanyaan yang diajukan ini adalah berkaitan dengan nazar yang merupakan satu tuntutan yang wajib dilaksanakan, maka kami juga mencadangkan agar langkah ihtiyat (berhati-hati bagi memastikan kewajipan benar-benar terlaksana) diambil, iaitu dengan memilih tempoh iktikaf yang paling baik (afdal) sekiranya amalan ini tidak menyulitkan urusan-urusan lain.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan iktikaf dalam tempoh melebihi tempoh melebihi kadar tomakninah pun sudah cukup untuk dikira sebagai iktikaf mengikut pandangan yang muktamad di dalam Mazhab Syafi’i bagi nazar yang dilakukan secara mutlak tanpa disebutkan tempoh masanya.[11]
Wallahu A'lam.
Rujukan:
[1] Shams al-Din al-Ramliy (1984), Nihayah al-Muhtaj ila Sharh al-Minhaj. Beirut: Dar al-Fikr, 3:213.
لُبْثٌ فِي مَسْجِدٍ بِقَصْدِ الْقُرْبَةِ مِنْ مُسْلِمٍ مُمَيِّزٍ عَاقِلٍ طَاهِرٍ عَنْ الْجَنَابَةِ وَالْحَيْضِ وَالنِّفَاسِ صَاحٍ كَافٍ نَفْسَهُ عَنْ شَهْوَةِ الْفَرْجِ مَعَ الذِّكْرِ وَالْعِلْمِ بِالتَّحْرِيمِ
[2] Hal ini adalah merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:
كانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَعْتَكِفُ في كُلِّ رَمَضَانٍ عَشَرَةَ أيَّامٍ، فَلَمَّا كانَ العَامُ الذي قُبِضَ فيه اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا
Terjemahan: “Rasulullah SAW beriktikaf pada setiap Ramadan selama 10 hari. Manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda telah beriktikaf selama 20 hari”.
[Riwayat al-Bukhariy]
[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh 'Aisyah:
فَلَمَّا أفْطَرَ اعْتَكَفَ عَشْرًا مِن شَوَّالٍ.
Terjemahan: "maka apabila Baginda SAW selesai berpuasa, Baginda pun beriktikaf untuk tempoh 10 hari di dalam bulan Syawal".
[Hadis riwayat al-Bukhari, 2045]
[4] Ibn ‘Abd al-Barr (2000), al-Istidhkar. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 3:385.
وأجمعوا أن سنة الاعتكاف المندوب إليها شهر رمضان كله أو بعضه وأنه جائز في السنة كلها
[5] Pandangan ini adalah mengikut satu riwayat daripada Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Rujuk Muhyi al-Din al-Nawawiy (1991), Rawdah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 2:391.
وَاسْتَحَبَّ الشَّافِعِيُّ رحمه الله، أَنْ يَعْتَكِفَ يَوْمًا لِلْخُرُوجِ مِنَ الْخِلَافِ، فَإِنَّ مَالِكًا وَأَبَا حَنِيفَةَ رَحِمَهُمَا اللَّهُ، لَا يُجَوِّزَانِ اعْتِكَافَ أَقَلَّ مِنْ يَوْمٍ.
[6] Ini adalah pandangan Mazhab Maliki. Rujuk Muhammad al-‘Arabiy al-Qurawiy (1431H), al-Khulasah al-Fiqhiyyah ‘ala Madhhab al-Sadah al-Malikiyyah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 257.
أقل مدة الإعتكاف يوم بليلته ولا حد لأكثره
[7] Ini juga adalah salah satu pandangan Imam Malik. Rujuk Malik bin Anas (1994), al-Mudawwanah, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1:297.
قَالَ ابْنُ الْقَاسِمِ: بَلَغَنِي ذَلِكَ عَنْهُ فَسَأَلْتُهُ عَنْهُ فَأَنْكَرَهُ، وَقَالَ أَقَلُّ الِاعْتِكَافِ عَشَرَةُ أَيَّامٍ وَلَمْ يَرَهُ فِيمَا دُونَ ذَلِكَ، قَالَ ابْنُ الْقَاسِمِ: وَلَا أَرَى اعْتِكَافًا دُونَ عَشَرَةِ أَيَّامٍ
[8] Muhyi al-Din al-Nawawiy (1347H), al-Majmu’ Sharh al-Muhadhdhab, Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah, 6:489.
الصَّحِيحُ الْمَنْصُوصُ الَّذِي قَطَعَ بِهِ الْجُمْهُورُ أَنَّهُ يُشْتَرَطُ لُبْثٌ فِي الْمَسْجِدِ وَأَنَّهُ يَجُوزُ الْكَثِيرُ مِنْهُ وَالْقَلِيلُ حَتَّى سَاعَةٍ أَوْ لَحْظَةٍ قَالَ إمَامُ الْحَرَمَيْنِ وَغَيْرُهُ وَعَلَى هَذَا لَا يَكْفِي مَا فِي الطُّمَأْنِينَةِ فِي الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ وَنَحْوِهِمَا بل لابد مِنْ زِيَادَةٍ عَلَيْهِ بِمَا يُسَمَّى عُكُوفًا وَإِقَامَةً
[9] Ibid, 6:489.
وَالْأَفْضَلُ أَنْ لَا يَنْقُصَ اعْتِكَافُهُ عَنْ يَوْمٍ لِأَنَّهُ لَمْ يُنْقَلْ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابِهِ اعْتِكَافٌ دُونَ يَوْمٍ وَلِيَخْرُجَ مِنْ خِلَافِ أَبِي حَنِيفَةَ وَغَيْرِهِ مِمَّنْ يَشْتَرِطُ الِاعْتِكَافَ يَوْمًا فَأَكْثَرَ
[10] Muhyi al-Din al-Nawawiy (1991), Rawdah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 2:391.
وَاسْتَحَبَّ الشَّافِعِيُّ رحمه الله، أَنْ يَعْتَكِفَ يَوْمًا لِلْخُرُوجِ مِنَ الْخِلَافِ، فَإِنَّ مَالِكًا وَأَبَا حَنِيفَةَ رَحِمَهُمَا اللَّهُ، لَا يُجَوِّزَانِ اعْتِكَافَ أَقَلَّ مِنْ يَوْمٍ
[11] Ibid.
وَلَوْ نَذَرَ اعْتِكَافًا مُطْلَقًا، خَرَجَ مِنْ عُهْدَةِ النَّذْرِ، بِأَنْ يَعْتَكِفَ لَحْظَةً