Soalan
Assalamualaikum, saya ada pertanyaan berkaitan puasa Ramadan. Saya akan pulang ke kampung halaman untuk bercuti bertemu ibu bapa di sana. Jarak perjalanan ke kampung melebihi dua marhalah. Persoalannya, sekiranya saya tidak berpuasa sepanjang perjalanan dan kemungkinan akan tiba di kampung pada waktu siang hari, adakah saya diwajibkan untuk untuk tidak makan kerana masih siang atau boleh saja saya makan apabila tiba di kampung nanti. Mohon pencerahan SS Datuk, terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Mereka yang bermusafir di bulan Ramadan diberikan rukhsah untuk berbuka puasa semasa dalam permusafiran. Mereka dibenarkan mengambil rukhsah berbuka puasa sepanjang perjalanan asalkan mereka keluar daripada kawasan permukiman sebelum masuk waktu subuh, namun mereka disunatkan menahan diri daripada makan dan minum (imsak) setibanya dia di destinasi permukiman pada siang hari Ramadan. Hal ini bagi menghormati kemuliaan bulan Ramadan.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Rukhsah adalah keuzuran yang dibenarkan oleh syarak untuk berbuka puasa antaranya adalah bermusafir dengan tujuan yang diharuskan (bukan makruh dan maksiat)[1] sebagaimana firman Allah SWT:
أَيَّامًا مَّعْدُودَاتٍ ۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ
Maksudnya: “Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain..”
(Surah al-Baqarah: 184)
Menurut mazhab Syafi’i, kelayakan untuk mendapat rukhsah berbuka puasa bagi orang yang musafir antara syaratnya adalah dengan melakukan permusafiran sebelum terbitnya fajar. Sekiranya seseorang itu keluar bermusafir pada siang hari Ramadan, maka tidak dibenarkan untuk berbuka puasa. Hal ini kerana syarak tidak membenarkan untuk memutus atau membatalkan sesuatu ibadah tanpa sebarang keuzuran[2]. Sebagaimana firman Allah SWT:
وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”
(Surah Muhammad, 33)
Namun, sekiranya seseorang itu berpuasa dan keluar bermusafir pada siang hari Ramadan, kemudian dalam perjalanannya dia ditimpa kemudaratan dan kesulitan maka dibenarkan untuk berbuka kerana kemudaratan tersebut bukan kerana rukhsah musafir. Dr Muhammad Zuhaili menyatakan bahawa:
إذا اضطر للفطر فيفطر للضرورة وليس للسفر
Maksudnya: “Sekiranya seseorang itu terpaksa untuk berbuka puasa, maka berbuka puasa itu adalah kerana darurat bukan kerana (rukhsah) musafir.”[3]
Rukhsah dan keharusan berbuka puasa bagi orang yang bermusafir pada bulan Ramadan merupakan rukhsah yang sama sebagaimana rukhsah untuk mengqasarkan solat bagi mereka yang bermusafir dengan jarak perjalanan yang dibenarkan mengambil rukhsah.[4] Mereka yang berpuasa dalam keadaan musafir afdal meneruskan puasanya sekiranya puasa itu tidak mendatangkan kemudaratan ke atas diri. Jika berpuasa lebih memudaratkan dirinya maka afdal untuk berbuka.[5]
Merujuk kepada persoalan, sekiranya seseorang yang bermusafir berbuka puasa dalam perjalanannya dan dia tiba di destinasi atau tempat bermukim ketika masih di siang hari bulan Ramadan, maka dia disunatkan menahan diri (imsak) sehingga waktu berbuka. Hal Ini bagi menghormati waktu berpuasa. Perkara ini bukanlah suatu kewajipan namun mereka yang mengambil rukhsah berbuka dilarang daripada makan dan minum di hadapan orang yang tidak mengetahui keuzuruannya (rukhsah) kerana dikhuatiri mendatangkan tuduhan dan fitnah.[6]
Kesimpulan
Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa mereka yang bermusafir di bulan Ramadan diberikan rukhsah untuk berbuka puasa semasa dalam keadaan musafir. Mereka dibenarkan mengambil rukhsah berbuka puasa sepanjang perjalanan asalkan mereka keluar daripada kawasan permukiman sebelum masuk waktu subuh, namun mereka menahan diri daripada makan dan minum (imsak) setibanya dia di destinasi permukiman pada siang hari Ramadan. Hal ini bagi menghormati kemuliaan bulan Ramadan.
Wallahu‘alam
Rujukan:
[1] Dr. Muhammad Zuhaili, Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1432H) Jld.2 Hlm.196
ويشترط أن يكون السفر مباحاً، حتى لا يكون الفطر إعانة له على المعصية،
[2] Ibid.
كما يشترط أن يبتدئ السفر أو يتحقق قبل طلوع الفجر، فإن كان مقيماً وأصبح صائماً، ثم سافر أثناء النهار فلا يجوز له الإفطار ، لأنه شرع في الصوم والعبادة فلا يجوز قطعه
[3] Ibid.
[4] Abu al-Hassan Ali bin Muhammad al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1419) Jld. 3/Hlm. 445
الحاوي الكبير (3/ 445)
قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ: وَهَذَا كَمَا قَالَ كُلُّ مَسَافَةٍ جَازَ أَنْ تُقْصَرَ فِيهَا الصَّلَاةُ جَازَ أَنْ يُفْطَرَ فِيهَا فِي شَهْرِ رَمَضَانَ، لِأَنَّ الْفِطْرَ رُخْصَةٌ كَالْقَصْرِ،
[5] Abu Zakaria Mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (t.tp:Dar al-Fikr, t.t) Jld. 6 Hlm. 261
إن تضرر بالصوم فالفطر افضل والا فالصوم افضل
[6] Dr. Muhammad Zuhaili, Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam, 1432H) Jld.2 Hlm.197
وإذا كان المسافر مفطراً في السفر فقدم بلده ، أو أقام في بلد، استحب له الإمساك بقية النهار لحرمة الوقت، ولا يجب، لأنه أفطر لعذر، ولكن لا يأكل عند من لا يعرف عذره، لخوف التهمة والعقوبة