Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 271: MAKAN BERAS IMPORT ZAKAT BERAS TEMPATAN, SAHKAH ZAKAT?

MAKAN_BERAS_IMPORT_ZAKAT_BERAS_TEMPATAN_SAHKAH_ZAKAT.jpg

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, saya dan keluarga sering makan beras import namun soalan saya, bolehkah saya mengeluarkan zakat mengikut kadar beras tempatan?

Ringkasan Jawapan

Hukum seseorang yang makan beras import dan ingin mengeluarkan zakat mengikut kadar beras tempatan adalah harus. Meskipun begitu, sekiranya seseorang itu berkemampuan untuk mengeluarkan zakat melebihi kadar yang diwajibkan atau menunaikan mengikut kadar jenis beras yang dimakan sebagaimana diamalkan kini, maka ia amatlah digalakkan dan sunat hukumnya.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Ibn Umar R.Anhuma meriwayatkan sebuah hadis:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ، صَاعًا مِنْ تَمْرٍ، أَوْ صَاعًا مِنْ شَعِيرٍ، عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ، ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى، مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya:Sesungguhnya Rasulullah SAW mewajibkan zakat Fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam sebanyak satu gantang tamar atau satu gantang barli bagi setiap yang merdeka atau hamba sama ada lelaki atau perempuan muslim.”

(Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa zakat Fitrah diwajibkan ke atas setiap individu Muslim yang merdeka dengan nilai zakat sebanyak satu gantang kurma atau barli. Menurut mazhab Syafie, ia ditentukan berdasarkan kepada makanan asasi atau ruji sesebuah tempat atau masyarakat (ghalib qut al-balad)[1].

Dalam konteks di Malaysia, makanan asasi bagi negara ini ialah beras. Namun, pengamalannya di sini ialah zakat ditunaikan dalam bentuk nilaian mata wang dengan mengambil kira pandangan mazhab Hanafi yang mengharuskan perkara sedemikian. Hal ini kerana kewajipan ini pada hakikatnya membawa maslahat untuk umat dengan memenuhi keperluan yang mencukupi untuk golongan fakir dan miskin.[2] Oleh yang demikian, kecukupan boleh diperolehi dengan nilaian mata wang bahkan ia lebih baik kerana ia lebih memenuhi keperluan penerima zakat.

Sehubungan dengan itu, kebiasaan yang berlaku apabila menjelang Ramadan, Jawatankuasa Syariah atau Fatwa Negeri akan memutuskan nilai harga beras semasa mengikut daerah atau jenis dan gred beras yang dimakan oleh penduduk. Kemudian diputuskan dengan mengambil kira nilaian sebanyak segantang beras iaitu hampir kepada 2.60 kg.

Justeru itu, kadar kewajipan zakat fitrah bagi negeri-negeri di semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat oleh BERNAS bagi setiap beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Baghdad bersamaan 2.60kg. Sebagaimana di Wilayah Persekutuan, harga 1 kilogram Beras Super Spesial Tempatan 5% adalah sebanyak RM2.60 didarabkan dengan 2.70kg bersamaan RM7.02. Oleh yang demikian, jumlah tersebut digenapkan kepada RM7.00.

Kini, beberapa negeri sudah mula mengamalkan sistem bayaran zakat mengikut jenis beras yang dimakan. Amalan ini tidaklah bertentangan dengan syarak oleh kerana adanya anjuran untuk mengeluarkan zakat lebih daripada kadar kewajipan. Anjuran ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

فَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَّهُ ۚ

Maksudnya:Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya.”

(Surah al-Baqarah :184)

Oleh kerana itulah, diwujudkan dua kadar pilihan tambahan iaitu sebanyak RM15 dan RM22 dan digalakkan bayaran zakat Fitrah ditunaikan mengikut jenis beras yang dimakan. Jelas di sini bahawa kadar bayaran mengikut harga beras yang dimakan ini hukumnya sunat dan bukanlah kewajipan yang mesti ditunaikan dan diikuti. Oleh itu, berdasarkan kepada soalan yang ditanya, tidaklah menjadi kesalahan ke atas individu yang menggunakan beras mahal untuk membayar mengikut nilai minimum iaitu RM7, begitu juga sebaliknya.

Kesimpulan

Rasulullah SAW amat menggalakkan kita untuk melipatgandakan kebaikan pada bulan Ramadan kerana amalan menunaikan ibadah fardu dalam bulan mulia ini akan digandakan oleh Allah sebanyak 70 kali, manakala amalan sunat akan menerima ganjaran ibadah wajib. Oleh yang demikian, bayaran zakat dengan kadar yang melebihi kadar kewajipan adalah amat dianjurkan.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Minhaj Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 7/61.

وَالْأَصَحُّ أَنَّهُ يَتَعَيَّنُ عَلَيْهِ غَالِبُ قُوتِ بَلَدِهِ

Lihat juga: Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, (T.tp: Dar al-Fikr, t.c, t.t), 6/132.

قَالَ أَصْحَابُنَا فِي الْوَاجِبِ مِنْ هَذِهِ الْأَجْنَاسِ الْمُجْزِئَةِ ثَلَاثَةُ أَوْجُهٍ (أَصَحُّهَا) عِنْدَ الْجُمْهُورِ غَالِبُ قُوتِ الْبَلَدِ مِمَّنْ صَحَّحَهُ الْمَحَامِلِيُّ وَالْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ وَالْجُرْجَانِيُّ فِي التَّحْرِيرِ وَالْبَغَوِيُّ وَآخَرُونَ وَقَطَعَ بِهِ جَمَاعَةٌ مِنْ أَصْحَابِ الْمُخْتَصَرَاتِ وَنَقَلَهُ الْمَحَامِلِيُّ فِي الْمَجْمُوعِ وَصَاحِبُ الْبَيَانِ عَنْ جُمْهُورِ الْأَصْحَابِ وَنَقَلَ الرَّافِعِيُّ عَنْ الْجُمْهُورِ تَصْحِيحَهُ قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ وهو قول ابن سريج ابي اسحق المروزى

[2] Al-Zuhaili, Wahbah bin Mustafa. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-4, t.t), 3/2044.

دفع القيمة عندهم: يجوز عند الحنفية أن يعطي عن جميع ذلك القيمة دراهم أو دنانير أو فلوساً أو عروضاً أو ما شاء؛ لأن الواجب في الحقيقة إغناء الفقير، لقوله صلّى الله عليه وسلم: «أغنوهم عن المسألة في مثل هذا اليوم» والإغناء يحصل بالقيمة، بل أتم وأوفر وأيسر؛ لأنها أقرب إلى دفع الحاجة، فيتبين أن النص معلل بالإغناء.