Soalan
Assalammualaikum, Saya wanita hamil dan bakal bersalin pada bulan Ramadan. Saya berazam untuk berpuasa penuh sekiranya ia tidak menjejaskan kesihatan saya dan bayi berdasarkan nasihat doktor. Namun, sekiranya saya berpuasa pada siang hari, kemudian pada malam hari Doktor melakukan pemeriksaan vagina (cek bukaan faraj) dan sekiranya esoknya saya bersalin, adakah ia membatalkan puasa walaupun ia tidak disusuli darah nifas. Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih
Ringkasan Jawapan
Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, wanita yang melahirkan anak terbatal puasanya secara mutlak, tanpa mengira sama ada kelahiran itu disertai darah nifas atau tidak. Hal ini kerana para fuqaha Syafi’iyyah berhujah bahawa wanita yang bersalin (wiladah) tanpa darah nifas sekalipun tetap dikira berhadas besar dan diwajibkan mandi junub.
Huraian Jawapan
Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga,sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.
Wanita yang mengalami nifas dan haid terhalang daripada melaksanakan ibadah puasa berdasarkan hadis riwayat Abu Said RA, Nabi SAW bersabda
أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ، فَذَلِكَ نُقْصَانُ دينها
Maksudnya: “Bukankah seorang wanita apabila dia dalam keadaan haid, dia tidak boleh solat dan berpuasa? Maka yang demikian itu adalah kekurangan pada agamanya”.
(Riwayat al-Bukhari)
Malahan, wanita yang melahirkan anak tanpa darah nifas turut terbatal puasanya. Perkara ini dinyatakan oleh Imam al-Syirbini dalam kitab al-Iqna'
وَمُقْتَضى قَول النَّوَوِيّ أَنَّهَا إِذا ولدت ولدا جافا بَطل صَومهَا
Maksudnya : “Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa wanita yang melahirkan anak dalam keadaan kering batal puasanya. [1]
Berdasarkan kenyataan di atas, menurut mazhab Syafi'i bahawa kelahiran anak itu sendiri membatalkan puasa secara mutlak tanpa perlu membezakan sama ada disertai darah nifas ataupun tidak. .[2]
Menurut pandangan al-Mawardi, al-Baghawi dan ulama lain, bersalin membatalkan puasa berdasarkan hujah kewajipan mandi wajib. Jika bersalin (wiladah) mewajibkan mandi junub, maka puasanya batal. Namun, sekiranya tidak diwajibkan mandi wajib, ini bermakna puasanya tidak batal. [3]
Selain itu, pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i menyatakan bahawa sekiranya wanita itu bersalin tanpa darah sekalipun, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan dan diwajibkan mandi junub. Perkara ini juga dijelaskan oleh Imam Ibn Qasim dalam Fath al-Qarib al-Mujib:
(والوِلادة) المصحوبة بالبلل موجبة للغسل قطعا. والمجردة عن البلل موجبة في الأصح.
Maksudnya : “Dan kelahiran ( wiladah) yang disertai dengan kebasahan mewajibkan mandi (junub) menurut sepakat para ulama Syafi'iyyah" . Sedangkan kelahiran yang tidak disertai kebasahan turut diwajibkan mandi menurut pendapat yang muktamad.[4]
Seterusnya, status wanita yang bersalin yang adakalanya tidak keluar darah (nifas) adalah sama dengan hukum orang yang berhadas besar (janabah) yang diwajibkan mandi junub. Hal Ini kerana anak yang lahir itu ialah terbentuk daripada air mani wanita dan air mani lelaki. Apabila kelahiran anak diikuti dengan keluarnya darah seperti kebiasaan perempuan yang melahirkan anak, darah tersebut dinamakan nifas seperti mana yang diketahui ia penyebab kepada wajib mandi junub setelah suci daripadanya.[5]
Oleh yang demikian, wanita yang melahirkan anak di siang hari Ramadan menyebabkan puasanya terbatal berdasarkan hujah seperti hukum janabah orang yang berhadas yang diwajibkan mandi.
Informasi tambahan, rujuk perbahasan wanita hamil yang berkemampuan diwajibkan berpuasa sekiranya tidak mendatangkan mudarat kepada dirinya serta anaknya pada pautan berikut: https://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1868-al-kafi-434-hukum-perempuan-hamil-berpuasa
Penutup
Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafi’i, wanita yang melahirkan anak terbatal puasanya secara mutlak, tanpa mengira sama ada kelahiran itu disertai darah nifas atau tidak. Hal ini berdasarkan hujah wanita bersalin tanpa darah sekalipun tetap dikira seperti hukum orang yang berhadas besar yang diwajibkan mandi junub.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Al-Khatib As-Syirbini. Syamsuddin, t.th, Al-Iqna’ Fi Hal Al-Fazd Abi Syuja’ (Beirut: Dar al-Fikr) P:98
[2] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad, 1995, al-Bujairimi Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib: Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh Al-Khatib (Beirut: Dar al-Fikr) Jld : 1 P: 351
وَالْمُعْتَمَدُ أَنَّ الْوِلَادَةَ مُبْطِلَةٌ لِلصَّوْمِ مُطْلَقًا، وَعِبَارَةُ ق ل هَذَا الْمَحَلُّ لَا مَحَلَّ لَهُ؛ لِأَنَّ الْوِلَادَةَ مُفْطِرَةٌ لِذَاتِهَا اهـ قَالَ م ر فِي بَابِ الصَّوْمِ: وَلَوْ وَلَدَتْ وَلَمْ تَرَ دَمًا بَطَلَ صَوْمُهَا كَمَا صَحَّحَهُ فِي الْمَجْمُوعِ وَالتَّحْقِيقِ، وَلَا فَرْقَ بَيْنَ أَنْ تَرَاهُ قَبْلَ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا أَوْ لَا. فَالْمُعْتَمَدُ بُطْلَانُ الصَّوْمِ بِالْوَلَدِ الْجَافِّ سَوَاءٌ كَانَ لَهَا نِفَاسٌ أَوْ لَا م د.
[3] Al-Nawawi, Abu Zakariyya Mahya Ad-Din bin Syarah, Majmu’ Syarh al-Muhadzzab.(t.t Dar al-Fikr, t.th) J: 2 P: 150
إذا ولدت في نهار رمضان ولم ترد ما فَفِي بُطْلَانِ صَوْمِهَا طَرِيقَانِ أَحَدُهُمَا لَا يَبْطُلُ سَوَاءٌ أَوْجَبْنَا الْغُسْلَ أَمْ لَا وَبِهِ قَطَعَ الْفُورَانِيُّ فِي كِتَابِ الْحَيْضِ: (وَالثَّانِي) فِيهِ وَجْهَانِ بِنَاءً عَلَى الْغُسْلِ إنْ أَوْجَبْنَاهُ بَطَلَ الصَّوْمُ وَإِلَّا فَلَا وَبِهَذَا الطَّرِيقِ قَطَعَ الْمَاوَرْدِيُّ وَالْبَغَوِيُّ وَغَيْرُهُمَا وَأَنْكَرَهُ صَاحِبُ الْبَحْرِ وَقَالَ عِنْدِي أَنَّهُ لَا يَبْطُلُ لِأَنَّهَا مَغْلُوبَةٌ كَالِاحْتِلَامِ وَهَذَا الَّذِي قَالَهُ قَوِيٌّ فِي الْمَعْنَى ضَعِيفُ التَّعْلِيلِ (1) أَمَّا ضَعْفُ تَعْلِيلِهِ فَلِأَنَّهُ يُنْتَقَضُ بِالْحَيْضِ فَإِنَّهُ يُبْطِلُ الصَّوْمَ وَإِنْ كَانَتْ مَغْلُوبَةً: وَأَمَّا قُوَّتُهُ فِي الْمَعْنَى فَلِأَنَّ الَّذِي اعْتَمَدَهُ الْأَصْحَابُ فِي تَعْلِيلِ وُجُوبِ الْغُسْلِ أَنَّ الْوَلَدَ مَنِيٌّ مُنْعَقِدٌ وَهَذَا يَصْلُحُ لِوُجُوبِ الْغُسْلِ لَا لِبُطْلَانِ الصَّوْمِ فَإِنَّ خُرُوجَ الْمَنِيِّ مِنْ غَيْرِ مُبَاشَرَةٍ وَلَا اسْتِمْنَاءٍ لَا يُبْطِلُ الصَّوْمَ وَاَللَّهُ أَعْلَمُ
[4] Al-Ghazzi, Muhammad bin Qasim. 2005 Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, (Beirut: Dar Ibn.Hazim li al-Taba’ah wa al-Nasyr wa al-Tawzi’,) Hlm. 42
[5] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Sharbaji . 1992. Fiqh al-Manhaji ala mazhab al-Imam al-Syafi'I (Damsyik : Dar al-Qalam) J: 1P :82
الولادة، وهي وضع الحمل: قد تكون الولادة ولا يعقب خروج الولد دم، فحكمها حينئذ حكم الجنابة، لأن الولد منعقد من ماء المرأة وماء الرجل. ولا يختلف الحكم مهما اختلف الحمل الموضوع، أو طريقة وضعه. وإذا أعقب خروج الولد دم - وهو الغالب - سمى نفاساً، به أحكام إليك بيانها.