Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD FATWA KHAS RAMADHAN SIRI-96: TANDA DAN HUKUM MENGKHABARKAN MALAM AL-QADAR

 

Soalan: Apakah tanda dan hikmah dirahsiakan malam al-Qadar?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, antara rahsia Allah SWT menyembunyikan malam al-Qadar adalah supaya menjadi pendorong kepada orang ramai agar mencarinya. Selain itu juga, supaya mereka berusaha bersungguh-sungguh dalam menunaikan ibadah demi mencari dan mendapatkan malam al-Qadar. Hal ini sama sebagaimana disembunyikan masa berlakunya malam al-Qadar seperti disembunyikan juga masa yang diperkenan doa pada hari Jumaat.

 

Berkaitan tanda-tanda malam al-Qadar, sebahagian ulama’ telah menyebut di dalam kitab masing-masing berkenaan sebahagian tanda atau alamat yang mungkin dapat dilihat oleh sebahagian hamba Allah yang diizinkannya oleh-Nya pada setiap kali bulan Ramadhan. Ini kerana, banyak hadith dan juga pengkhabaran daripada orang yang soleh melalui riwayat mereka yang telah membincangkan berkaitan tanda-tandanya, antaranya:

 

  • Daripada Ubadah Bin Al-Somit RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 

إِنَّ أَمَارَةَ لَيْلَةِ الْقَدْرِ أَنَّهَا صَافِيَةٌ بَلْجَةٌ كَأَنَّ فِيهَا قَمَرًا سَاطِعًا سَاكِنَةٌ سَاجِيَةٌ لَا بَرْدَ فِيهَا، ولَا حَرَّ وَلَا يَحِلُّ لِكَوْكَبٍ أَنْ يُرْمَى بِهِ فِيهَا حَتَّى تُصْبِحَ، وَإِنَّ أَمَارَتَهَا أَنَّ الشَّمْسَ صَبِيحَتَهَا تَخْرُجُ مُسْتَوِيَةً لَيْسَ لَهَا شُعَاعٌ مِثْلَ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ، لَا يَحِلُّ لِلشَّيْطَانِ أَنْ يَخْرُجَ مَعَهَا يَوْمَئِذٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya malam tersebut bersih terang, seolah-olah bulan yang menerangi tenang, nyaman tidak terlalu sejuk pada malam tersebut dan tidak terlalu panas dan tiadalah tempat bagi bintang untuk dilihat dengannya hingga ke waktu pagi. Dan daripada tandanya bahawa matahari pada waktu paginya keluar dalam keadaan tidak bercahaya dengan kepanasan seperti bulan penuh purnama dan syaitan tidak ada tempat untuk keluar bersamanya pada hari tersebut. [Riwayat Ahmad (22765)]

 

  • Daripada Ubay Bin Ka’ab RA berkata, daripada Nabi SAW  bersabda:

 

وَأَمَارَتُهَا أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فِي صَبِيحَةِ يَوْمِهَا بَيْضَاءَ لَا شُعَاعَ لَهَا

Maksudnya: “Dan tandanya sesungguhnya matahari terbit pada hari tersebut bercahaya dan tidak kepanasan”. [Riwayat Muslim (762)]

 

  • Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau berkata:

 

فَإِنَّ الشَّمْسَ تَطْلُعُ كُلَّ يَوْمٍ بَيْنَ قَرْنَيْ شَيْطَانٍ إِلَّا صَبِيحَةَ بَدْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya matahari keluar setiap hari antara dua tanduk syaitan, kecuali pagi malam al-Qadar”.  [Riwayat Ibn Abi Syaibah (9529)]

 

Seperkara yang penting ialah, jika seseorang itu mengetahui dan menjangkakan malam itu adalah malam al-Qadar maka adakah wajar baginya untuk mewarwarkan atau dia perlu menyembunyikannya?

 

Imam al-Subki telah mengistinbat (mengeluarkan hukum) dalam al-Halabiyyat daripada kisah ini (kisah Allah menyembunyikan malam al-Qadar daripada Rasulullah SAW) adalah disunatkan menyembunyikan pengkhabaran malam al-Qadar bagi sesiapa yang melihatnya. Dalilnya adalah kerana Allah SWT telah mengtaqdirkan bagi nabi-Nya untuk tidak memberitahu baginda SAW berkaitan hal ini.  Maka sebaik-baiknya dengan apa yang telah ditakdirkan ini adalah disunatkan kita mengikutnya. Telah disebut di dalam Syarah al-Minhaj dan begitu juga di dalam al-Hawi. Antara hikmah disembunyikannya sepertimana yang disebut adalah kerana ia merupakan Karamah (kemuliaan) dan kemuliaan sayugia disembunyikan tanpa berlaku khilaf antara ahli al-Thariq (tarekat) daripada memandang kepada jiwa kerana dibimbangi akan dicabut, lebih besar daripada itu tidak aman daripada riyak. Mengikut adabnya pula, janganlah dia sibuk mengsyukuri Allah dengan melihat kepadanya (hanya melihat malam al-Qadar) sahaja serta mewarwarkannya kepada manusia. Tambahan pula, hal ini dibimbangi akan berlaku hasad dengki padanya. Maka dengan itu, orang tersebut telah termasuk di dalam perkara yang ditegah untuk dihampirinya. [Lihat: Fath al-Bari, 268/4]

 

Telah berkata pengarang al-Hawi bahawa disunatkan bagi sesiapa yang melihat malam al-Qadar agar menyembunyikanya dan hendaklah dia berdoa dengan ikhlas serta niat dan yakin dengan apa yang lebih disukai daripada agama atau dunia. Akan tetapi, hendaklah dia berdoa kepada Allah berkaitan hal agama dan akhirat lebih banyak (berbanding hal-hal lain seperti dunia). [Lihat: al-Majmu’, 461/6]

 

Kesimpulannya, sudah menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah dan rasul untuk memburu malam yang mulia ini kerana ganjaran cukup besar dan ia juga merupakan anjuran Nabi SAW kepada kita berdasarkan sebuah hadith yang sahih.

 

  • Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فِي الوِتْرِ، مِنَ العَشْرِ الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Burulah (atau carilah) malam al-Qadar pada malam ganjil daripada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan”. [Riwayat al-Bukhari (2017)]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan amal kebajikan dengan menghidupkan malam tersebut, seterusnya melayakkan kita mendapat rahmat, keampunan dan pelepasan azab api neraka daripada-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam