Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-204  : HUKUM MENAYANG GAMBAR DAN VIDEO PERLAKSANAAN PENYEMBELIHAN HAIWAN DI MEDIA SOSIAL

Soalan:

Assalamualaikum wbt,

Apakah pandangan syeikh tentang share gambar/video sedang sembelih haiwan korban di media sosial?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada-Nya atas pelbagai kurniaan nikmat yang tak terhitung. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah hingga Hari Kesudahan.

 

Hukum Mengambil Foto dan Video

Terdapat beberapa nas yang dikaitkan dengan pengharaman menghasilkan patung dan gambar.[1] Antaranya ialah sabda Rasulullah SAW:

لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya:  “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung”.

Riwayat al-Bukhari (2106)

Daripada Abdullah berkata aku mendengar Nabi SAW bersabda :

إِنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَذَابًا عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ القِيَامَةِ المُصَوِّرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di Hari Kiamat ialah orang yang membuat gambar (patung).”

Riwayat al-Bukhari (5950)

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Minhaj Syarh Sahih Muslim mengatakan bahawa membuat gambar haiwan adalah diharamkan kerana ia termasuk dosa besar kerana meniru ciptaan Allah.

Kami berpendapat hukum asal menghasilkan fotografi dan videografi dalam harus. Ini kerana fotografi dan videografi tidak termasuk dalam kategori taswir (menggambar atau mengukir) makhluk bernyawa yang diharamkan oleh ramai ulama kerana hilangnya illah/sebab menandingi ciptaan Allah SWT. Al-Allamah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah menukilkan dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (hal. 203) yang telah kami terjemahkan:

“Fatwa Syeikh Muhammad Bakhit (bekas Mufti Mesir) bahawa bergambar dengan alat fotografi itu ibarat menangkap bayangan dengan cara yang diketahui oleh ahlinya tersebut dan ianya sama sekali bukan cara yang dilarang oleh Islam. Inilah pendapat kami.”

Ini juga adalah pendapat Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya`rawi.

Namun, keharusannya bergantung kepada matlamat foto dan video tersebut dibuat. Jika tujuannya adalah baik dan keperluan maka hukumnya adalah harus. Sebaliknya, jika tujuannya adalah buruk maka hukumnya adalah dilarang.

 

Maksud Media Sosial

Manakala, maksud media sosial itu sendiri ialah “sejenis media yang digunakan terus secara talian dengan membolehkan para pengguna dengan mudah untuk menyertai, berkongsi, dan mencipta isi meliputi blog, rangkaian sosial, wiki, forum dan dunia virtual.”[2] Ini termasuklah media sosial yang popular menggunakan gambar dan video seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

Oleh sebab akses dan capaian yang begitu meluas melalui media sosial, timbul pelbagai reaksi terhadap satu-satu isu. Kadang-kadang suatu perkara yang pada asal hukumnya adalah disyariatkan di dalam Islam boleh disalahfaham dan mencalar imej Islam sama ada kerana tiada penjelasan, terdapat tokok tambah atau disebarkan tanpa adab Islam yang luhur. Ini banyak berlaku seperti dalam isu-isu pemerkasaan undang-undang Syariah, isu poligami, isu nasab anak zina dan tidak terkecuali isu berkongsi foto dan video penyembelihan haiwan korban melalui media sosial.

Oleh itu, di dalam fiqh dakwah terdapat konsep al-tadarruj (beransur-ansur) di mana sesuatu hukum syarak itu dilaksanakan dan diajar secara bermanhaj dan mengambilkiira keadaan mad`u (orang yang sedang didakwah dan diajar). Lihatlah bagaimana ayat-ayat pengharaman arak diturunkan sebanyak tiga peringkat bermula pada menyatakan keburukannya pada diri dan ibadat, seterusnya disarihkan pengharamannya. Ini kerana mafsadah jika ada manusia yang lemah imannya setelah memeluk Islam lalu keluar Islam itu lebih besar daripada terus difokuskan pada perlaksanaan syariat yang bersifat luaran.

 

Hukum dan Dawabit Perlaksanaan

Haiwan yang dihalalkan untuk dimakan seperti unta, lembu dan kambing, disediakan untuk ibadah korban seperti mana yang telah disyariatkan. Allah SWT menjadikan haiwan untuk maslahat hidup manusia. Sebahagiannya dijadikan sebagai kenderaan dan alat bertani manakala sebahagian lain dijadikan makanan. Jika suatu itu sudah disyariatkan maka sudah barang pasti ada kebaikan dan maslahat untuk hidup manusia. Yang penting, hendaklah syariat itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan ihsan.

Justeru, kami berpandangan bahawa hukum menayang gambar dan video penyembelihan di media sosial adalah harus namun mestilah dilaksanakan dengan dawabit yang khusus. Dawabit atau garis panduang tersebut ialah:

  1. Hendaklah tujuan penerbitan gambar dan video penyembelihan tersebut bertujuan baik dengan dinyatakan penjelasan. Contohnya meninggi syiar Islam sempena Hari Raya, menunjukkan proses penyembelihan mengikut syarak, isu-isu syarak yang berkaitan dengan penyembelihan dan adab-adab ketika menyembelih. Firman Allah Taala:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.”

(Surah al-Dhuha: 11)

Imam al-Qurtubi (w.671) rahimahullah menyebut tafsir ayat ini: “Sebarkanlah apa yang Allah kurniakan kepada kamu dengan perasaan syukur dan pujian kepada Allah. Menyebut-nyebut pelbagai nikmat Allah dan mengiktiranya nikmat tersebut adalah bentuk kesyukuran.”

Rujuk Tafsir al-Qurtubi (20/102)

 

  1. Hendaklah ditunjukkan akhlak, etika dan adab sebenar dalam Islam ketika menyembelih untuk menunjukkan konsep ihsan. Sabda Rasulullah SAW:

 Daripada Syaddad RA bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan ihsan atas setiap perkara. Maka apabila kamu membunuh, bunuhlah dengan baik. Dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan baik. Tajamkanlan alat sembelihan dan tenangkanlah haiwan sembelihan”.

Riwayat Muslim (1955)

Imam al-Nawawi (w.676) rahimahullah ketika mensyarahkan hadis ini menyebut:

“Sabda Nabi SAW tentang ‘maka bersikap ihsanlah ketika membunuh’ adalah umum meliputi setiap jenis benda hidup yang dimatikan sama ada binatang sembelihan atau bunuh balas akibat qisas, dan dalam hudud, dan perkara yang seumpamanya. Hadis ini adalah hadis daripada hadis-hadis yang merangkumi kaedah-kaedah asas Islam.”

Rujuk al-Minhaj Syarh Muslim (13/106)

 

  1. Hendaklah dielakkan unsur-unsur provokasi dan fitnah yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat dan menjadi tohmahan memburukkan imej Islam. Contohnya sengaja mencetuskan kenyataan atau tindakan yang boleh ditafsirkan sebagai menghina golongan bukan Islam atau komuniti yang memperjuangkan hak-hak binatang, atau memijak-mijak kepala haiwan sembelihan dan sebagainya. Sebahagian fuqaha mengatakan:

اِتَّقُوا مَوَاضِعَ التُّهَم

Maksudnya: “Takutilah kalian tempat-tempat yang boleh mendatangkan tohmahan orang.”

Kata Imam al-Ghazali (w.505) rahimahullah:

Hendaklah seseorang itu bertaqwa (menjaga dirinya) pada tempat-tempat yang boleh menimbulkan tohmahan bagi memelihara hati manusia daripada berburuk sangka dan lidah mereka daripada menyebut perkara yang mengaibkan. Ini kerana sekiranya dengan ucapan tersebut menyebabkan mereka bermaksiat kepada Allah maka orang yang menyebabkan juga adalah bersekutu melakukan dosa tersebut.”

Rujuk Ihya Ulum al-Din (2/201)

Kemudian beliau menyebut firman Allah SWT:

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

(Surah al-An`am: 108)

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ مِنْ أَكْبَرِ الكَبَائِرِ أَنْ يَلْعَنَ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَلْعَنُ الرَّجُلُ وَالِدَيْهِ؟ قَالَ يَسُبُّ الرَّجُلُ أَبَا الرَّجُلِ، فَيَسُبُّ أَبَاهُ وَيَسُبُّ أُمَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya satu jenis dosa daripada sebesar-besar dosa adalah perbuatan seorang lelaki melaknat ibu ayahnya. Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah! Bagaimana seorang lelaki boleh melaknat ibu bapanya?” Baginda menjawab, “Lelaki itu mengejek ayah seorang lelaki lain, lalu lelaki tersebut mengejek ayahnya dan ibunya.”

Riwayat al-Bukhari (5973)

Di dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah SAW dilihat sedang berdua-duan dengan seorang perempuan. Lalu dua orang lelaki dari kalangan Ansar melalui kawasan tersebut. Sebaik sahaja mereka melihat Nabi, keduanya terus berjalan secara laju. Maka sabda Nabi SAW:

 عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّة بِنْت حُيَي فَقَالَا‏‏ سُبْحَانَ اللَّه يَا رَسُولَ اللَّهِ‏!‏ ‏إِنّ الشَّيطَانَ يجَرِي مِن ابنِ آَدَمَ مَجْرَى الدَّم وَإِنِّي خَشِيْت أن يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرَّا

Maksudnya: “Nanti dahulu wahai kamu berdua, sesungguhnya wanita ini adalah isteri aku Safiyyah binti Huyaiy.” Lalu keduanya berkata: “Maha Suci Allah wahai Rasulullah.” Maka sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya syaitan itu mengalir dalam tubuh badan manusia mengikut saluran darah dan aku takut dia mencampakkan keburukan dalam hati kamu berdua.”

Riwayat Muslim (2175)

Ini menunjukkan bahawa adab seorang Muslim ialah tidak menimbulkan situasi yang boleh mendatangkan tohmahan kepada Islam dan maruah dirinya disebabkan perbuatan dirinya. Semoga penjelasan ini memberikan kebaikan kepada semua pihak dengan meraikan hak untuk beramal dengan agama tanpa meminggirkan sensitiviti warganegara yang lain.

Wallahua’lam.

 

 

[1] Rujuk Irsyad Al-Fatwa Ke-27: Hukum Pembinaan Monumen Atau Memorial Sebagai Peringatan http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/773-27

[2] https://ms.wikipedia.org/wiki/Media_sosial